KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060313

Masjid Wajar Tubuh Kelab Bolasepak Remaja

Senawang Ahad 12 Feb – Kejohanan Bolasepak 7 Sebelah Remaja Bawah 15 Tahun Masjid dan Surau yang julung-julung kali diadakan di kariah Masjid Bandar Baru Senawang di Padang Taman Alamanda telah mendapat sambutan diluar dugaan. Seramai 18 pasukan telah mengambil bahagian mewakili masjid ataupun surau masing-masing. Malah terdapat penyertaan yang terpaksa ditolak oleh pihak penganjur memandangkan jumlah pasukan yang terlalu ramai menyertai kejohanan kali ini.

Antara masjid serta surau yang menghantar pasukan ke kejohanan kali ini ialah Masjid Marida, Surau Anggerik, Surau Senawang Indah, Surau Teratai, Surau Teratai, Surau Alamanda, Surau Ixora, Surau Cempaka 2, Surau Desa Dahlia, Surau Desa Melor, Surau Flat Senawang, Surau Pancor Jaya, Surau SMI ABIM.

Dalam ucapan perasmian oleh Tn Hj Arshad, Imam Masjid Bandar Baru Senawang, beliau menyeru agar para remaja menunjukkan contoh yang baik kepada rakan dan taulan mereka. Beliau juga menyeru agar para remaja sentiasa mendampingi masjid serta surau dalam setiap aktiviti yang dianjurkan khususnya untuk para remaja. Dalam pada itu pihak Masjid Bandar Baru Senawang menurut beliau sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua program untuk membentuk remaja yang berperibadi mulia termasuk dalam bidang sukan. Malah ujar beliau lagi pihak masjid sedia mempertimbangkan untuk menubuhkan Kelab Bolasepak Remaja Masjid untuk mewakili Masjid Bandar Baru Senawang dalam mana-mana kejohanan bolasepak.

Apa yang menarik dalam kejohanan kali ini terdapat beberapa remaja India bukan Islam yang turut serta mewakili surau di taman mereka.

Sementara itu menurut En Zulkifli yang juga merupakan pengarah kejohanan, sewajarnya pihak masjid serta surau menganjurkan program untuk remaja terutamanya di musim cuti sekolah agar para remaja ini dapat memenuhi cuti sekolah mereka dengan melakukan aktiviti yang berfaedah dengan bimbingan teratur dari kalangan orang dewasa.

Pada perlawanan akhir pasukan remaja Surau Senawang Indah telah muncul juara apabila menewaskan pasukan remaja Surau Taman Desa Ixora.

Rozmal bin Malakan
Setiausaha Surau dan Taman Alamanda
Senawang