KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070919

Wahai Saudara , Bantulah Kami Ramadhan Kali Ini

Pasukan Perubatan Yayasan Amal Malaysia yang diketuai oleh Pengarahnya Haji Husin bin Ismail akan berada di Indonesia iaitu di Padang dan Selatan Sumatera untuk Misi Bantuan Mangsa Gempa Bumi pada 22 Sep hingga 27 Sep 2007. Semua ahli adalah diseru untuk mendapatkan dana dalam menjayakan misi bantuan ini. Maklumat lanjut di http://amalmalaysia.net

PAS Pusat mengalu-alukan sumbangan semua ahli dari seluruh Malaysia untuk menjayakan Program Berbuka Puasa Warga Kota Yang Tidak Berkemampuan. Program ini diadakan pada setiap hari di Pejabat PAS Pusat di tengah-tengah kesibukan ibukota dimana bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada mereka-mereka yang memerlukan. Lagi banyak sumbangan lagi banyak agihan dapat dilakukan. Lagi banyak sumbangan lagi berkat rezeki kita. Lagi banyak sumbangan lebih banyak juadah dapat disediakan. Untuk sumbangan dapatkan maklumat di http://parti-pas.org


***************************
NGO syor wujud segera badan khas - JKM tak boleh dibeban pantau penduduk bandar

Berita Harian 19 Sep 07. KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpendapat cadangan mewujudkan badan khas untuk menangani masalah kemiskinan di bandar wajar dan perlu disegerakan bagi memastikan kualiti hidup masyarakat bandar seimbang pembangunan negara.

Mereka berpendapat masalah kemiskinan bandar perlukan perhatian khusus kerana ia lebih teruk berbanding luar bandar dan tanggungjawab memantau kualiti hidup masyarakat bandar tidak boleh diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tugasnya berat memastikan kebajikan masyarakat terus terpelihara.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata jabatan atau unit khas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu diwujudkan bagi melaksanakan kerja memastikan kemiskinan bandar ditangani.

Katanya, kewujudan jabatan atau unit khusus lebih mempermudah dan mempercepatkan usaha kerajaan menangani kemiskinan bandar.

"Pendekatan menangani masalah miskin di bandar perlu berbeza dengan cara mengatasi kemiskinan luar bandar. Ini kerana suasana dan corak hidup di bandar berbeza daripada kampung. Di bandar kos sara hidup tinggi walaupun seseorang mempunyai gaji sama dengan pekerja di luar bandar.

"Di bandar semuanya memerlukan duit, bergerak sedikit pun wang perlu dikeluarkan, malah untuk ke tandas awam pun terpaksa mengeluarkan duit," katanya yang mahu tafsiran mengenai tahap kemiskinan di bandar dan luar bandar dibezakan.

Beliau mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang mahu menilai semula kemiskinan bandar dan luar bandar, selain memberi tanggungjawab mengatasi masalah itu kepada JKM.

Shahrizat dilaporkan berkata, kemiskinan bandar dan luar bandar adalah antara perkara akan dinilai semula dan dimasukkan dalam kriteria baru untuk seseorang dipilih menerima bantuan kebajikan masyarakat.

Cadangan Shahrizat itu sebagai reaksi kepada laporan khas Berita Harian kelmarin mengenai cadangan penubuhan agensi khas bagi memantau kualiti hidup penduduk bandar yang jauh lebih teruk berbanding orang miskin luar bandar.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Kebajikan Masyarakat Kebangsaan (Makpem), Zainal Abidin Md Alias, berkata kerajaan perlu menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar dengan pendekatan berbeza kerana tafsiran mengenai miskin tidak sama di kedua-dua kawasan.

Katanya, unit khas berkenaan perlu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana kemiskinan di bandar lebih serius dan berkait rapat dengan masalah sosial.

"Jika tidak ditangani secara serius kita khuatir ia memberi imej tidak baik terhadap penduduk bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Georgetown dan Johor Bahru," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20070919005719/Article/index_html