KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070904

Yayasan Kasih Sayang NS Bantu Saudara Baru

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Ramai di antara kita, terutamanya mereka yang baru memeluk agama Islam, yang tidak menyedari tentang kewujudan badan sukarelawan yang berada berhampiran yang boleh membantu mereka yang mempunyai masalah.

Antara badan sukarelawan ini ialah Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKS) di Taman Bukit Pilah Perdana, Kuala Pilah, yang ditubuhkan pada 5 Feb, 2003.

Muhammad Adnan Abdullah, Presiden YKS Negeri Sembilan yang sudah 18 tahun memeluk agama Islam berkata, sebenarnya permohonan untuk menubuhkan pertubuhan ini telah dibuat pada tahun 2001, tetapi ia hanya diluluskan pada 2003.

"Saya menubuhkan pertubuhan ini bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan seperti anak yatim, ibu tunggal, saudara baru (mereka yang baru memeluk agama Islam) kerana jika tidak dibantu mereka akan hilang arah tujuan," beliau memberitahu Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

MATLAMAT PENUBUHAN

Matlamat penubuhan yayasan ini ialah untuk membangunkan tahap sosio-ekonomi dan penjagaan kebajikan saudara baru serta ibu tunggal dan anak yatim piatu.

"Kita mempunyai inisiatif sendiri membantu ibu tunggal iaitu dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas," kata Muhammad Adnan.

Antara aktiviti yang dijalankan di YKS ialah kelas menjahit dan reka fesyen dengan tujuan membantu mereka untuk menguasai bidang jahitan. Dengan menguasai bidang jahitan, mereka boleh memperoleh wang untuk perbelanjaan.

Ia ibarat "memberi pancing" kepada mereka supaya mereka boleh berusaha sendiri tanpa mengharap bantuan orang lain, jelas beliau.

BANTUAN KEWANGAN

Pertubuhan ini mendapat bantuan kewangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"Dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan kami berjalan dengan lancar," katanya lagi.

YKS turut membantu Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjaga kebajikan saudara baru selain memberi nasihat dan kaunseling kepada mereka yang mahu kembali kepada agama asal mereka.

"Kes murtad di kalangan saudara baru memang mendukacitakan dan kami berdepan secara langsung dengan kumpulan ini. Kami turut mengadakan sesi runding cara untuk mengenal pasti masalah mereka dan mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Setiap bulan, pertubuhan ini menjalankan aktiviti ziarah dan dakwah iaitu dengan melawati rumah saudara baru dan bertanyakan masalah dan keperluan mereka bagi memastikan mereka tidak berasa terasing dengan agama Islam dan kembali kepada agama asal mereka semula.

"Jika mereka mahu belajar di kelas fardu ain kita akan cuba aturkan mengikut kesesuaian masa mereka, selain itu juga kita akan menghantar guru dari pertubuhan kita yang datang ke rumah mereka untuk mengajar mereka mengaji".

JABATAN PENDAFTARAN NEGARA

Beliau berkata, masalah utama yang dihadapi saudara baru ialah dalam pertukaran kad pengenalan iaitu terlalu rumit untuk proses penukaran nama.

"Contohnya sebaik sahaja masuk agama Islam, mereka kena dapatkan surat akuan masuk Islam di jabatan agama, kemudian kena jumpa Pesuruh Jaya Sumpah untuk mengangkat sumpah.

"Akhir sekali kena pergi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk isi borang tukar nama dan kena tunggu hingga lima ke enam bulan barulah mereka (JPN) hantar surat kelulusan tukar nama".

Beliau berharap JPN mempermudahkan urusan saudara baru ini dan sepatutnya ada hubungan antara Jabatan Agama dengan JPN, maknanya sebaik sahaja seseorang itu masuk agama Islam maklumat itu sudah berada dalam rekod JPN.

"Walaupun pertukaran nama ada proses lain di Jabatan Pendaftaran Negara tetapi sepatutnya sudah ada maklumat yang mengatakan bahawa orang ini sudah masuk Islam supaya apabila orang ini meninggal tidak berlaku perebutan terhadap mayat mereka.

BANTUAN PELAJARAN

Pertubuhan ini turut membantu mereka dari keluarga miskin yang mahu meneruskan pelajaran dengan cara menyalurkan maklumat kepada Majlis Agama Islam.

Dengan ini Majlis Agama Islam dapat mengenal pasti sama apa layak atau tidak untuk dibantu.

Mereka yang dibantu mesti dari keluarga yang susah dan mempunyai potensi untuk meneruskan pelajaran.

Yayasan ini juga memberi bantuan kepada mereka yang hamil tanpa suami dalam usia yang muda.

"Ia bertujuan untuk mengelakkan mereka daripada menggugurkan kandungan, buang anak dan sebagainya," tambah Muhammad Adnan.

-- BERNAMA http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=282637