KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080503

Pembeli rumah di Parlimen Rembau tiada pembelaan

Mungkin ramai antara kita tidak pernah dengar nama Titian Bintangor, adakah ianya nun jauh di pedalaman di Sarawak ? Tidak ianya terletak di DUN Kota , Parlimen Rembau.

Kisahnya bermula pada 1 November 2003. Ianya adalah merupakan Projek Perumahan Desa Indah dimana pemajunya ialah PDS Properties Sdn Bhd , Tamun Maluri, Kuala Lumpur dan kini alamat pemajunya di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

Projek Perumahan Desa Indah sekiranya siap mempunyai 95 unit rumah teres kos sederhana rendah dan 60 unit rumah teres kos rendah.

Ibrahim bin Mahat 38 tahun adalah salah seorang daripada pembeli rumah yang rata-ratanya orang Melayu yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dari mana-mana pihak. Beliau dan isteri telah menghabiskan wang simpanan lebih RM 11,000 sebagai wang pendahuluan rumah idaman mereka. Rumah yang berharga RM 44,500 itu sepatutnya siap dalam masa 2 tahun iaitu pada November 2005. Namun kali terakhir surat yang diterima daripada pihak pemaju ialah pada 12 September 2005 yang menyatakan rumah beliau pada saat itu adalah 35% siap.

Namun begitu Ibrahim sedikit bernasib baik kerana beliau belum membuat pinjaman perumahan justeru itu beliau tidak dibebankan dengan bayaran bulanan daripada institusi kewangan. Menurut beliau ada antara pembeli-pembeli yang terpaksa membayar pinjaman bank, ada yang telah diambil tindakan mahkamah , ada yang telah menerima tunggakan cukai tanah dan pelbagai cerita lain.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pembeli-pembeli di Lubuk Cina, Mukim Titian Bintangor, Daerah Rembau dalam DUN Kota dan Parlimen Rembau ini. Namun sehingga ke saat ini tiada siapa yang mendengar keluhan mereka. Apakah ianya satu tempat yang kita jarang dengar namanya dan tidak jumpa dalam peta mereka ini disisihkan daripada mendapat pembelaan, walaupun mereka ini adalah anak jati Malaysia, anak jati Negeri Sembilan , anak jati Rembau ?

Siapakah yang akan membela nasib mereka ini ? Mereka yang sudi membantu nasib pembeli-pembeli rumah ini bolehlah menghubungi :

Ibrahim bin Mahat
No 6, Blok A, Rumah Rakyat Lubok Cina
71150 Linggi, N.Sembilan
Tel : 012-6091341