KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100128

Kafir kencing dalam masjid pun Nabi tak marah ?

Kenapalah umat Islam sekarang ini bersifat pembengis, berdendam ? Mana perginya sifat kasih sayang, rahmat, cinta terhadap sesama insan termasuk mereka yang kafir ?

Ingat lagi kisah seorang Arab Badwi (tidak pasti samada kafir atau Islam ketika itu) yang kencing dalam masjid. Para sahabat dah panas baran dan nak menyerang lelaki Arab Badwi tadi. Tapi Nabi saw dengan tenang membiarkan sahaja lelaki tadi kencing dalam masjid dan tidak marah sedikit pun.

Macamana kita hendak berdakwah kepada bukan Islam kalau kita begitu kurang sifat kasih sayang dan cinta ?

Bagaimana kita nak tunjukkan kepada orang bukan Islam kita cintakan masjid tapi kita jarang sekali membersihkan tandas masjid, nampak tahi cicak dalam masjid pun biar siak yang bersihkan.

Macamana kita nak tunjukkan kepada orang bukan Islam kita cintakan masjid tapi sering kita jadikan masjid sekadar tempat laluan, tempat buang air besar atau air kecil serta tempat tukar lampin anak-anak.

Berapa kali saya membuang pampers dalam tandas wanita, membersih tahi-tahi yang dah kering bertaburan dalam tandas lelaki di surau. Kasihan tengok sikap orang Melayu yang tidak cintakan masjid dan surau.

Kalau cintakan masjid, rajinlah datang masjid, nescaya orang bukan Islam pun akan terpikat.

Kalau cintakan agama dan bangsa, Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro dan Kosmo, janganlah disiarkan lagi iklan judi dalam akhbar.

Kalau kasihkan Nabi saw , ikutlah cara hidup Nabi saw, janganlah hidup bermewah-mewah, kejarlah kekayaan, tapi gunakan kekayaan itu untuk membina lebih banyak rumah kebajikan, masjid, surau, madrasah, membantu fakir miskin dan lain-lain amal kebajikan untuk menambah saham kita di akhirat.

Sebarkanlah kasih sayang. Hidup di dunia hanya sekelip mata, hidup di akhirat kekal selama-lamanya.

___________________

Utusan Malaysia 25 Mei 2009

Contohi hikmah Rasulullah sebar risalah Islam
Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

Kita telah diingatkan kepada peristiwa seorang Arab Badwi yang telah memasuki masjid Nabi SAW, lalu dengan sewenang-wenangnya membuang air kecil di salah satu sudutnya. Para sahabat yang menyaksikan hal itu menjadi berang dan ingin menerpa ke arah lelaki Badwi tersebut disebabkan kebiadapannya mencemari rumah Allah SWT.

Rasulullah SAW bersama sifat kasih, cinta dan rahmat yang menebal di dalam dirinya menahan para sahabatnya dari bertindak melulu, kasar, mencaci serta menjatuhkan maruah insan lain.

Baginda SAW membiarkan lelaki Badwi tersebut menghabiskan sisa kencingnya tanpa menyergahnya atau melemparkan kata cacian, cercaan dan unsur-unsur yang boleh menjatuhkan maruah.

Bahkan Baginda SAW menasihati dengan baik, penuh hikmah dan kasih sayang. Dalam kekalutan itu, Baginda SAW sempat menyampaikan dengan tenang satu sunnah kepada para sahabat iaitu cara bagaimana hendak menyucikan kencing dan najis dengan sabdanya, "Jiruslah pada air kencingnya itu sebaldi air".

Hikmah kebijaksanaan Baginda SAW menghalang sahabat bertindak kasar terhadap Arab Badwi tersebut, telah dapat mengelakkan kencing Arab Badwi itu bertaburan di dalam masjid kerana melarikan diri dari para sahabat.

Rasulullah SAW juga mengingatkan peranan mereka pada akhir hadis dengan sabdanya: Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyukarkan. (riwayat al Bukhari)

Melalui peristiwa ini, kita akan mendapati suatu contoh amali bagaimana harus subur merimbun di hati seorang pendakwah perasaan rahmat, cinta dan kasih terhadap golongan yang menjadi sasaran dakwahnya.

Memang sewajarnya, setiap muslim itu mencari dan mengutip bekalan ilmiah dan thaqafah Islamiah secukupnya dan bukan hanya bermodalkan sifat cemburu dan ghairah dalam memperjuangkan agama bagi menjamin pencapaian dakwah dan penyebaran risalah yang lebih gemilang. Wallahu a'lam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

1 ulasan:

FREE FONTS berkata...

hi there! warm greeting o_0

you can download unique fonts in our website for free