KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100206

Negara dilanda wabak denggi, amalkan doa ini


Nyamuk adalah makhluk ALLAH jua. Hanya kepada ALLAH kita berserah dan bertawakal.

Menjaga kebersihan persekitaran kita adalah amat penting. Kebersihan adalah sebahagian daripada iman.

Pautan berikut mengandungi Doa Untuk Keselamatan Dan Kesentosaan Daripada Segala Penyakit yang dipanjangkan oleh Dato Hj Mohd Murtadza bin Hj Ahmad semasa beliau menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus
http://hjmohdmurtadza.blogspot.com/2009/04/doa-keselamatan-daripada-wabak.html

…….kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan kes dengan Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan jumlah kes yang begitu ketara.

***********************************
Tiga mati akibat denggi minggu lalu
Utusan Malaysia 5 Feb 2010

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Sebanyak tiga kematian akibat denggi dilaporkan minggu lalu yang turut menyaksikan sebanyak 1,101 kes dilaporkan iaitu peningkatan tiga peratus berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Marican (gambar) berkata, kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan kes dengan Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan jumlah kes yang begitu ketara.

''Jumlah kes terkumpul yang dilaporkan pada tahun ini adalah 4,132 kes dengan 14 kematian berbanding 5,534 kes dan 14 kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lalu,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun kes pada tahun ini lebih rendah daripada tahun lalu, trend yang ditunjukkan adalah meningkat dan membimbangkan jika ia berterusan.

Beliau memberitahu, kes kematian itu melibatkan seorang jururawat di Baling, Kedah, seorang pembantu kedai makan di Shah Alam dan seorang pemandu di Miri, Sarawak.

Mohd. Ismail memberitahu, pada minggu lalu juga terdapat 12 lokaliti telah bebas 'hotspot' tetapi 11 lokaliti 'hotspot' baru dikenal pasti yang menjadikan jumlah keseluruhan 30 lokaliti.

Bagaimanapun katanya, 40 peratus daripada 'hotspot' itu masih melaporkan kes denggi dan sebanyak 47 peratus mempunyai kadar pembiakan nyamuk aedes yang tinggi.

"Kurangnya kerjasama masyarakat dalam menjalankan aktiviti gotong-royong merupakan punca masalah ini dengan hanya enam daripada 30 lokaliti 'hotspot' melaksanakan aktiviti itu," tegas beliau.

Bagi penyakit Chikungunya pula, Mohd. Ismail berkata, sejumlah 76 kes chikungunya telah dilaporkan pada minggu lalu iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya iaitu sebanyak 68 kes.

"Hampir kesemua iaitu 74 kes dilaporkan di Sarawak sementara dua kes di Sabah," ujar beliau.

Ekoran peningkatan kes itu, beliau meminta masyarakat memberi kerjasama dengan memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan aedes di sekitar rumah masing-masing, sekurang-kurangnya 10 minit seminggu.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0205&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm&arc=hive

Tiada ulasan: