KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100911

Mari kita jual agama Islam, ianya amat menguntungkan

Sekarang ini semua orang cakap pasal perniagaan, skim itu, skim ini, saham itu, saham ini, direct selling itu, direct selling ini. Mari kita bergiat dalam perniagaan agama Islam pula. Ianya perniagaan yang paling menguntungkan. Tiada tandingan dengan keuntungan billion dan jutaan ringgit. Tak perlu modal wang ringgit. Mudah saja iaitu Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta Berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa.

Jadi kalau orang tuduh kita jual agama jangan marah. Kerana dalam Quran pun suruh kita jual agama Islam, tapi bukan jual untuk dapat pangkat dan kekayaan, jual dan promosi agama Islam ini supaya manusia Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta Berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kerana ianya amat menguntungkan.

Perniagaan yang paling menguntungkan

Al Shaff: 10 - 14

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيم ٍ (10) تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (11) يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (12) وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (13) يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ ءَامَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ (14)

TERJEMAHAN:
Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih ?
(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.
Nescaya Allah akan mengampuni dosa dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai sungai, dan (memasukkan) kamu ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar.
Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut pengikutnya yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolong penolongku untuk menegakkan agama) Allah? Pengikut pengikutnya yang setia itu berkata: Kamilah penolong penolong agama Allah. Lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan (yang lain) kafir. Maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

TAFSIRAN AYAT:
(10) Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?

Ini adalah wasiat dan panduan serta bimbingan dari Allah Yang Maha Penyayang untuk hamba hamba-Nya yang beriman tentang perniagaan yang paling agung iaitu perniagaan yang dapat menghindarkan mereka daripada azab yang sangat pedih dan memperolehi pulangan ni’mat yang paling istimewa.

Wasiat ini disampaikan oleh Allah dalam bentuk tawaran. Ini menunjukkan bahawa perniagaan yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang menarik minat sesiapa yang mahu mengambil iktibar dan bagi orang yang mahu memikirkannya. Jadi seolah olah Allah ingin bertanya: Perniagaan apakah yang sedemikian hebat pulangannya itu? Lalu Allah sendiri menjelaskannya:

(11) (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan hartamu dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.

Perniagaan yang sangat hebat pulangannya itu ialah:

Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
Berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa.
Sebagaimana kita maklum bahawa iman yang sempuna ialah keyakinan yang teguh terhadap kebenaran Allah dan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasul-Nya. Keyakinan yang membuahkan amalan anggotanya. Keimanan yang sebenarnya akan mendorong seseorang untuk berjihad di jalan Allah, apakah dengan harta ataupun dengan jiwanya.

Al Jihad Fi Sabilillah sangat banyak jenisnya. Jihad melawan musuh di medan pertempuran untuk membela dan menegakkan agama Allah, jihad terhadap diri sendiri dengan melawan kehendak nafsu syahwat yang liar, jihad di antara diri dengan makhluk lain seperti menghindarkan sifat tamak terhadap harta orang lain (khianat, menipu, mencuri dll), tetapi sebaliknya hormat, berlemah lembut, pemurah terhadap mereka, jihad diantara dirinya dengan dunia iaitu agar dunia jangan sampai menguasai dirinya. Dia akan sentiasa waspada terhadap pendapatan (income) dari sumber yang haram, dia tahu kemana hartanya mesti dinafkahkan, samada nafkah wajib seperti mengeluarkan zakat, menyara tanggungan seperti isteri dan anak anak ataupun nafkah sunat seperti sadakah.

Jihad berasal dari kata " Juhd " iaitu masyaqqah yang maknanya sukar atau susah. Sedangkan Sabillillah maksudnya jalan yang akan membawa seseorang kepada keredhaan Allah. Jadi maksud Al Jihad Fi Sabilillah ialah amal salih atau segala bentuk usaha atau kesungguhan yang dilakukan dengan tujuan semata mata untuk mencapai keredhaan Allah.

" Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui ". Maksudnya: Iman dan jihad adalah lebih baik bagi kamu daripada segala sesuatu yang ada dimuka bumi ini samada jiwamu, hartamu ataupun anak anakmu sekiranya kamu orang yang faham, berakal waras dan mempunyai wawasan yang jitu. Sebab hakikat sesuatu kebaikan adalah sangat tergantung pada kebaikan kesudahannya bukan hanya pada pemulaannya.

Atas sebab inilah mengapa pada ayat berikutnya Allah dahulukan ganjaran ukhrawy kemudian barulah disusuli oleh ganjaran duniawy. Jadi perniagaan tersebut menghasilkan beberapa faedah, iaitu faedah yang segera dan faedah yang ditangguhkan. Di dalam ayat di atas Allah dahulukan dengan faedah yang ditangguhkan di akhirat nanti iaitu:

(12) Nescaya Allah akan mengampuni dosa dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

Maksudnya: Jika kamu lakukan perniagaan diatas iaitu dengan sentiasa emantapkan iman dan berjihad di jalan Allah nescaya Dia akan hapuskan semua kesalahanmu, memasukkan kamu ke dalam syurga-Nya dan ditempatkan di suatu tempat yang paling indah dan istimewa yang menjadi idaman setiap insan yang waras. Mereka kekal abadi di dalamnya. Inilah keberuntungan yang hakiki (sebenarnya). Dan kemudian Allah susuli pula dengan pulangan segera di dunia ini, iaitu:

(13) Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman.

Selain dari ganjaran yang ditangguhkan di akhirat, mereka juga akan dianugerahkan oleh Allah dengan ganjaran segera di dunia ini iaitu berupa pertolongan Allah untuk mengalahkan musuh musuhmu dan mendapat kemenangan atau penaklukan negeri negeri baru sehingga akan tegaklah hanya agama Allah di muka bumi ini.

Allah SWT akan senantiasa bersama mereka dalam segala usaha dan perjuangan mereka untuk menegakkan agama Allah. Ini adalah permulaan berita gembira untuk mereka yang beriman dan berjihad di jalan Allah.

Atas sebab itulah Allah menyuruh kita agar menjadi penolong-Nya dalam setiap waktu. Jangan menjadi manusia pemalas hanya pasrah tidak berusaha untuk menegakkan kebenaraan, jangan takut menyatakan dan membela kebenaran (Al Haq) walaupun pahit padahnya. Kita mestilah mempunyai prinsip bahawa redha Allah adalah mengatasi segala galanya, walaupun untuk mencapainya kita terpaksa berhadapan dengan kemurkaan dan cacian semua makhluk di muka bumi ini.

Allah pasti menolong hamba-Nya yang berusaha menegakkan agama-Nya sebagaimana Allah telah menolong pengikut pengikut setia Nabi 'Isa Alaihis Salam.

(14) Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut pengikutnya yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolong penolongku (untuk menegakkan agama Allah)? Pengikut pengikut yang setia itu berkata: Kamilah penolong penolong agama Allah. Lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan (yang lain) kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang orang beriman terhadap musuh musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

Dalam ayat ini selain Allah menyuruh kita agar menjadi penolong-Nya, juga Allah berjanji akan membantu kita dalam menghadapi setiap cabaran dan tantangan dari pihak musuh yang membenci ajaran yang dibawa oleh Rasul-Nya. Ini sebagaimana pertolongan dan kemenangan yang Allah anugerahkan kepada pengikut penyikut setia Nabi 'Isa Alaihis Salam.

Allah SWT. menceritakan dalam ayat diatas bahawa Bani Israil terbagi menjadi dua puak dalam menghadapi tawaran Nabi Isa tersebut. Ada puak yang beriman dan ada pula puak yang kafir (ingkar). Dan menurut sejarah bahawa puak yang ingkar itu terbagi lagi menjadi dua puak:

Puak yang menentang ajaraan Isa dan menuduh beliau dan ibunya telah melakukan perbuatan terkutuk (zina). Ini sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi,
Puak yang melampau memuji Nabi Isa sehingga mereka beranggapan Isa adalah anak Allah.
Kisah ini seolah olah memberi isyarat supaya kita umat Nabi Muhammad SAW jangan sampai bersikap demikian terhadap baginda SAW. Kita mestilah " i’tidal " dalam segala hal, tidak " tatarruf ’ yakni mengurangi kedudukannya dan tidak pula " itraaf " yakni melampaui kedudukan yang telah Allah berikan padanya.

Ya Allah, berilah kami taufiq dan restu-Mu sehingga termasuk kedalam golongan penolong penolong-Mu dalam menegakkan dan membela agama-Mu. Berilah kami pertolongan-Mu sebagaimana yang telah Engkau janjikan. Sesungguhnya Engkau tidak pernah mungkir janji.

http://www.al-nidaa.com.my/artikel.php?id=26&action=view

Tiada ulasan: