KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100930

Melayu akan hilang kuasa bila Masjid mati macam di Johor ni

Kesuraman Masjid Taman Tampoi Indah dan kawasan persekitaran yang gelap menyebabkan ia menjadi tumpuan sekumpulan remaja menjadikan kawasan wakaf di pekarangan masjid itu sebagai tempat untuk bercengkerama dan melakukan maksiat. Kelemahan pengurusan masjid itu dipercayai berlaku sejak separuh daripada ahli jawatankuasa masjid bagi sesi 2008/2010 meletakkan jawatan secara beramai-ramai pada November 2008 berikutan tidak sehaluan dengan kepemimpinan utamanya.

( Bukan di Johor saja, malahan seluruh Malaysia banyak masjid yang mati dan dibiarkan mati oleh orang Melayu sendiri. Jangan salahkan orang Cina atau orang India kalau masjid mati dengan matinya solat jemaah , majlis ilmu dan lain-lain )

JIKA MASJID MATI , MELAYU PUN PUPUS

*************************
Masjid suram di Johor
Berita Harian 30 September 2010

TAMPOI: Jika kebanyakan masjid ceria dan diimarahkan jemaah yang mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan, Masjid Taman Tampoi Indah, di sini sebaliknya suram termasuk sepanjang Ramadan lalu berikutan kurangnya aktiviti keagamaan dan persekitaran yang gelap.

Bahkan, kesuraman masjid dan kawasan persekitaran yang gelap menyebabkan ia menjadi tumpuan sekumpulan remaja menjadikan kawasan wakaf di pekarangan masjid itu sebagai tempat untuk bercengkerama dan melakukan maksiat.

Ia bukan saja mencemari nama baik masjid yang sudah digunakan lebih dua tahun lalu tetapi juga memberi tanggapan negatif kepada masyarakat bukan Islam terutama yang berjiran dan tinggal berhadapan kawasan masjid berkenaan.

Penduduk, Samsir Selamat, 40, berkata beliau kesal kerana ketika sambutan Maulidur Rasul dan sepanjang Ramadan lalu, suasana masjid tidak ceria berikutan pekarangan luar masjid bergelap disebabkan kerosakan lampu yang tidak diperbaiki sejak hampir empat bulan lalu.

Beliau berkata, kelemahan pengurusan masjid itu dipercayai berlaku sejak separuh daripada ahli jawatankuasa masjid bagi sesi 2008/2010 meletakkan jawatan secara beramai-ramai pada November 2008 berikutan tidak sehaluan dengan kepemimpinan utamanya.

“Sebelum ini, ramai jemaah terutama golongan pesara yang datang untuk bersembahyang di masjid berkenaan tetapi kini tidak lagi dipercayai akibat kesuraman masjid sehingga menyebabkan ia kehilangan tarikan.

“Aktiviti keagamaan juga semakin berkurangan. Kalau sesetengah masjid mempunyai tazkirah atau majlis agama, masjid berkenaan agak kurang aktiviti berkenaan kecuali majlis tertentu dan ia diketuai oleh pengerusi surau itu sendiri,” katanya ketika ditemui Edisi Johor di sini, baru-baru ini.

Samsir berkata, pada Ramadan lalu, masalah persekitaran masjid yang bergelap menyebabkan orang ramai tidak menyedari di dalamnya ada diadakan tadarus al-Quran sedangkan di kawasan tempat lain, persekitaran cukup terang dan ceria.

Beliau berkata, keadaan yang gelap itu menyebabkan masjid berkenaan kini menjadi tumpuan kepada sekumpulan remaja menjadikan kawasan masjid itu sebagai tempat bercengkerama berikutan keadaan yang gelap dan pagarnya yang tidak berkunci.

“Masjid suatu tempat yang suci dan sepatutnya pengurusan masjid peka bagi mengelak remaja menjadikan masjid sebagai tempat remaja melakukan maksiat dan gejala sosial kerana ia boleh mengundang pandangan serong terhadap Islam,” katanya.

Mohd Saffaruddeen Ali, 36, pula berkata masjid yang mula digunakan pada Mac 2008 itu dikatakan mampu menerima sumbangan dalam jumlah yang banyak setiap minggu terutama pada solat Jumaat tetapi wang yang diterima itu tidak digunakan sebaik mungkin.

Beliau berkata, wang yang diterima sepatutnya digunakan untuk menyelenggara segala kerosakan pada kemudahan masjid tetapi kini difahamkan digunakan untuk membayar kakitangan masjid yang mendapat bayaran yang agak tinggi berbanding tempat lain.

“Selain itu, pengerusi masjid yang dilantik lebih memberi keutamaan kepada orang luar berbanding penduduk di kawasan taman berkenaan untuk jawatan noja dan imam dua. Walhal, sebelah masjid berkenaan adalah Rumah Pangsa Sri Indah yang dihuni 100 peratus orang Islam dengan sebahagiannya mampu mengisi jawatan itu,” katanya.

Katanya, beliau juga bimbang dengan aspek keselamatan masjid berikutan pintu masuk utama masjid yang terletak di kawasan strategik itu tidak pernah ditutup dan ruang solat tidak dikunci menyebabkan ia terdedah kepada kegiatan jenayah.

“Kelemahan aspek keselamatan dan kedudukan masjid di tepi jalan ini menyebabkan kawasan masjid ini menjadi sasaran penjenayah sehingga pernah mengalami kecurian apabila sebanyak 32 besi penutup longkangnya dicuri pihak tidak bertanggungjawab pada awal tahun ini,” katanya.

Selain itu, Abdul Rahman Majid, 34, pula berkata beliau kesal kerana ruangan yang dikhaskan untuk perpustakaan di masjid itu tidak digunakan sepenuhnya dan kini dijadikan stor sementara sedangkan ruangan bacaan itu boleh dijadikan sebagai tempat tarikan bagi kanak-kanak ke masjid.

Beliau berkata, walaupun keadaan fizikal masjid itu didapati masih baru, kelemahan pengurusan masjid menyebabkan permaidani di ruangan solat sudah lusuh berikutan jarang dibersihkan dengan mesin hampa gas sehingga menyebabkan kebanyakan jemaah yang alah sering bersin.

“Segala kelemahan yang didedahkan ini bukan untuk menuding jari bagi menyalahkan pihak tertentu tetapi bagi untuk kebaikan jemaah di kawasan ini kerana masjid sepatutnya boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Masjidsuram/Article

Tiada ulasan: