KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100902

Mercun, tolonglah, insaflah bangsa Melayu ku

Tak tahulah apa nak jadi dengan generasi kita. Budaya bermain mercun semakin membarah. Di akhir Ramadhan sepatutnya diperhebatkan amal ibadah. Sebaliknya yang makin meriah di akhir Ramadhan ialah bazaar, kompleks membeli belah, main mercun, bunga api, pesta makanan, hiburan, lagu raya dan sebagainya. Bukannya tak boleh, tapi dah sampai tahap melampau.


*************
Graduan hancur tangan
Berita Harian 2 Sep 2010

Lelaki sumbat bahan letupan dalam batang besi katil

KOTA BHARU: Cubaan seorang graduan kejuruteraan menghasilkan mercun paip menggunakan besi katil, sekadar mengundang penyesalan sepanjang hayat, apabila tangan kirinya kudung akibat hancur terkena serpihan bahan itu yang meletup ketika sedang dimampatkan.

Pada kejadian kira-kira jam 6 petang Sabtu lalu dekat Bachok itu, pemuda berusia 23 tahun terbabit hancur tangan kiri sehingga paras pergelangan, cedera pada ibu jari kanan serta melecur pada badan terkena letupan. Adiknya berusia 17 tahun yang turut berada bersama melihat usaha pemuda terbabit turut cedera apabila terkoyak bahagian betis kaki kanannya.

Letupan kuat menyebabkan kesan gelombang sekitar kira-kira 30 meter di tempat kejadian itu berlaku ketika pemuda terbabit memampat batang besi katil dengan habuk kayu yang digaul campuran bahan letupan.

Pemuda itu berkata, ketika kejadian beliau sedang memampatkan batang besi kelima, selepas menyiapkan empat mercun sama tanpa sebarang masalah.

“Usaha menghasilkan mercun ini dibuat menggunakan habuk kayu yang dikeringkan sebelum dicampurkan dengan bahan letupan tertentu.

"Saya dan adik merancang menyediakan lima batang mercun untuk dimainkan pada malam berkenaan. Sebelum ini, kami pernah menghasilkan mercun sama tanpa sebarang masalah.

"Bagaimanapun, ketika menyiapkan mercun yang kelima secara tiba-tiba batang besi yang saya pegang sambil memampatkan habuk kayu di dalamnya, terasa panas dan meletup," katanya.

Ketika ditemui dalam rawatan di sebuah hospital di sini, semalam, pemuda terbabit memohon identiti dirahsiakan dan enggan gambarnya dirakam.

Beliau baru menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan automotif di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur pada April lalu.

Katanya, sejurus letupan berlaku, dia melihat tangan kirinya hancur hingga paras pergelangan tangan sebelum mengangkatnya dengan tangan kanan yang turut berlumuran darah.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Graduanhancurtangan/Article

Tiada ulasan: