KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20101118

Pecah rumah di Alamanda, Senawang, samun di Seremban 2

Kes jenayah semakin menjadi-jadi. Pada 17 Nov 2010 telah berlaku satu kes kejadian pecah rumah di Taman Alamanda, Senawang. Harap semua pihak ambil perhatian dan meningkatkan langkah keselamatan serta membuat laporan polis walaupun kerugian kecil, agar semua pihak sentiasa berwaspada

Tiga diikat sebelum disamun empat lelaki

Utusan Malaysia 18 Nov 2010

SEREMBAN 17 Nov. - Empat sekeluarga terpaksa menempuh pengalaman mencemaskan selepas diikat kaki dan tangan mereka oleh empat lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk rumah mereka di Park Avenue, Seremban 2, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, kesemua suspek bertopeng tersebut melarikan sebuah televisyen plasma, empat utas jam tangan, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai yang kesemuanya bernilai kira-kira RM10,000.

Mangsa, Yap Siok May, 40-an berkata, ketika kejadian dia tidur bersama suami dan seorang anak perempuan berusia empat tahun di sebuah bilik manakala ibu mertuanya berusia 60-an tidur di dalam bilik lain.

"Tiba-tiba saya dan suami terjaga apabila melihat kelibat beberapa lelaki bertopeng berada di dalam bilik kami.

"Salah seorang daripada mereka mengacukan parang ke arah saya dan mengarahkan kami masuk ke sebuah lagi bilik untuk mengejutkan ibu mertua," katanya di sini hari ini.

Siok May memberitahu, kesemua mangsa dikumpulkan dalam sebuah bilik sebelum diikat dengan wayar kecuali anaknya itu.

Ujarnya, penjenayah berkenaan kemudian menggeledah rumah kira-kira sejam sebelum melarikan diri bersama-sama barangan berharga.

"Selepas penjenayah itu keluar, saya membuka ikatan tangan suami dan ibu mertua sebelum menghubungi polis.

"Saya dan keluarga masih trauma dengan kejadian itu bagaimanapun bersyukur kerana kami tidak diapa-apakan," katanya.

Siok May berkata, kumpulan suspek itu dipercayai memasuki rumahnya melalui pintu tepi rumah mereka dengan memotong jeriji besi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi hari ini, mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan operasi mengesan suspek sedang giat dijalankan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_10.htm

Tiada ulasan: