KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20101109

Peniaga Melayu tak pandai hidupkan Kompleks Perniagaan

Dimanakah silapnya banyak kompleks perniagaan Melayu di Malaysia ini kurang pelanggan ? Salah siapa ? Peniaga, agensi kerajaan seperti MARA, UDA atau salah kita orang Melayu? Tak payahlah salahkan sesiapa. Apa yang kita boleh bantu, kita bantu. Orang lain tak nak bantu, biarkanlah.

Contoh macam tukang parang Encik Zamri http://zamri-tukangparang.blogspot.com/ dari Jelebu. Saya tak kenal pun Encik Zamri ni, tapi terjumpa laman blog dia apabila saya sedang mencari parang sempena Idil Adha. Lantas saya ajukan kepada sahabat-sahabat mengenai parang Mentaus Craft, kerana saya lihat ianya memang berkualiti dan ada potensi besar untuk dijadikan sebuah industri seni, pelancongan yang dapat memberi keuntungan kepada semua pihak.

Saya tak tanya pun Encik Zamri ni orang parti apa pun, UMNO ke , PAS ke, PKR ke. Yang penting saya dapat lihat potensi industri ini. Dan saya dimaklumkan insyaAllah Rabu 10 November 2010 beliau akan muncul dalam Rancangan MHI TV3. Semoga Allah memberi rezeki yang melimpah ruah kepada Encik Zamri dan semoga Encik Zamri dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Sebelum ini pun saya ada menulis artikel mengenai kurangnya sambutan pelanggan di Seremban milik orang Melayu seperti di Bazaar MAINS, Plaza MARA Seremban dan Plaza UDA Ampangan pada pautan berikut http://waghih.blogspot.com/2008/10/faktor-bazaar-mains-kurang-pengunjung.html

Juga kisah syurga kain di KM Plaza Seremban yang dijalankan oleh peniaga Melayu Champa (Kampuchea) http://waghih.blogspot.com/2008/01/seremban-syurga-kain-tudung.html . Mungkin KM Plaza ini boleh juga dipanggil Little Malay Champa.

Juga boleh kunjungi blog Usahawan N.Sembilan yang saya kemaskini , jika ada kelapangan tanpa sebarang bayaran di http://usahawann9.blogspot.com/

Harap pihak MARA atau Dewan Perniagaan Melayu atau Pusat Zakat dan sebagainya dapat menyediakan laman web yang ada direktori usahawan yang dikemaskini dari masa ke semasa.

Orang Melayu ni , kena banyak belajar merendah diri untuk maju. Macam resmi padi, makin berisi , makin tunduk. Bukan resmi lalang.

Macam Leman Dawi, yang berjaya memajukan gerai milik PBT yang bertahun-tahun terbiar di jalan Seremban-Tampin , akhirnya menjadi pusat jualan Cendol Leman Dawi

TAK SEHEBAT NAMA
Berita Harian 9 Nov 2010

KOMPLEKS Niaga Tongkang Pechah lengang, manakala ramai peniaga tutup perniagaan berikutan kurang sambutan.Kompleks Niaga Tongkang Pechah sepi, gagal tarik pengunjung

BATU PAHAT: Kompleks Niaga Tongkang Pechah di sini berada dalam keadaan seolah-olah ‘hidup segan, mati tak mahu’ apabila keadaannya semakin sepi dan terbiar berikutan kebanyakan peniaga menutup perniagaan mereka disebabkan jumlah pengunjung yang berkurangan, sejak dibuka empat tahun lalu. Entah di mana silapnya, kompleks niaga gah yang menjadi mercu tanda Pekan Tongkang Pechah itu kelihatan suram dan tidak bermaya walaupun kedudukannya di tengah pekan dan terletak di jalan utama.

Tinjauan Edisi Johor ke kompleks dua tingkat yang mempunyai kira-kira 40 lot niaga termasuk medan selera di tingkat atas bangunan berkenaan yang dibangunkan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) baru-baru ini, mendapati hampir semua lot niaga di situ tidak beroperasi melainkan empat kedai yang mengusahakan perniagaan dandanan rambut, gerai air, buah-buahan serta kedai jahit.

Malah, ketika tinjauan dijalankan, keempat-empat lot niaga berkenaan tidak dikunjungi pelanggan melainkan pengusaha perniagaan terbabit yang tetap setia menanti kedatangan pengunjung walaupun keadaan kompleks berkenaan tidak mengujakan mata yang memandang.

Seorang peniaga yang masih bertahan berniaga di situ yang hanya dikenali sebagai Ah Leng berkata, keadaan suram dan sepi kompleks berkenaan adalah pemandangan harian biasa yang ditempuhi beberapa kerat peniaga yang masih membuka perniagaan mereka di situ.

“Dulu masa baru dibuka, kompleks ini meriah kerana kebanyakan lot niaga terutama di bahagian dalam dan depan bangunan ini dibuka tetapi selepas beberapa bulan, mereka menutup perniagaan selepas kedatangan pengunjung mendukacitakan.

“Kini hanya kira-kira empat lot perniagaan saja masih membuka perniagaan termasuk saya selepas ia mula dibuka sejak Januari 2007. Kami tidak tahu mahu ke mana lagi selain berniaga di sini walaupun pendapatan harian tidak memberangsangkan tetapi lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa,” katanya.

Seorang penduduk, Taufik Hamsan, 36, berkata pihak yang menguruskan kompleks berkenaan seharusnya membuat perancangan teliti sebelum mahu membuka kompleks niaga seperti itu supaya tidak membazir, menjadi projek gajah putih dan hanya memanfaatkan golongan kontraktor saja.

“Jika dilihat daripada luarannya, kompleks ini lengkap kemudahannya kerana selain selesa dan besar, ia juga mempunyai tempat letak kereta di sekelilingnya, tetapi malangnya tiada tarikan kepada pengunjung.

“Niat MPBP untuk membina kompleks ini amat murni iaitu untuk memberi kemudahan kepada penduduk setempat yang berminat berniaga, tetapi malangnya ia tidak kesampaian pula.

“Bagaimanapun, mungkin pihak berkenaan boleh melakukan sesuatu termasuk mengadakan skim khas kepada golongan belia yang minat berniaga supaya kompleks ini dapat disemarakkan lagi,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Taksehebatnama/Article

WANITA KIAN AKTIF BERNIAGA
Utusan Malaysia 5 Nov 2010


Antara peniaga wanita yang kini boleh berbangga memiliki kedai berkonsepkan busana muslimah di KM Plaza Jalan Tuanku Munawir, Seremban.
---------------------------------

SEREMBAN 4 Nov. - Kuasa wanita dalam sektor perniagaan tidak boleh dipandang sepi, sebaliknya transformasi yang berlaku hari ini telah melonjak perubahan besar terutama dalam membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

Hakikat itu menyebabkan semakin ramai golongan wanita yang dahulunya menghabiskan masa sebagai suri rumah, meneroka bidang perniagaan kecil- kecilan untuk menangkis persepsi kononnya mereka tidak mampu bersaing dalam sektor mencabar ini.

Justeru kini ramai wanita dilihat semakin berani menerobos perniagaan secara kecil-kecilan.

Ini diakui oleh seorang peniaga, Norlida Abd. Hamid, 30, yang berpendapat keadaan seperti ini bukan sesuatu yang janggal malah, ia juga dilihat sebagai satu cara bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

''Saya fikir adalah baik wanita menceburi bidang perniagaan berbanding menjadi suri rumah sepenuh masa. Kalau ada masa yang terluang tidak salah bagi mereka untuk berniaga.

''Banyak tanggungan yang perlu di bayar seperti persekolahan anak-anak oleh sebab itu jugalah wanita dilihat perlu menerokai bidang perniagaan walaupun berskala kecil," katanya.

Bagi peniaga Mariah Arshad, 62, yang mengusahakan perniagaan pisang goreng berkata, dia kini mampu menyara kehidupan keluarganya sejak suaminya tidak lagi bekerja.

''Saya sudah mengusahakan perniagaan ini hampir 40 tahun. Desakan hidup menjadi faktor utama saya menceburi bidang ini.

''Kebetulan pula suami tidak mempunyai sebarang bantuan dan duit pencen, sebab itu saya perlu memikirkan sesuatu untuk menyara keluarga.

''Alhamdulillah, walaupun ada masanya perniagaan tidak begitu memberangsangkan, bolehlah menyara keluarga," ujarnya.

Bagi peniaga Yati Abu Bakar, 44, beliau memulakan perniagaan dengan berbekalkan sedikit modal dan minat yang mendalam.

''Saya mula berniaga secara kecil-kecilan sejak lima tahun yang lalu di pasar malam Kuala Lumpur dan kini saya dapat membuka sebuah kedai, hasil titik peluh sendiri.

''Kini impian saya telah tercapai untuk memiliki kedai berkonsepkan busana muslimah, yang di berikan nama An Najihin Collection di KM Plaza Jalan Tuanku Munawir,'' katanya.

Jelasnya, ini merupakan salah satu cabang utama untuk wanita terus berjaya walaupun kerjaya itu sangat mencabar.

Anaknya, Nuraini Nabila Adrizal, 22, turut menceburi bidang perniagaan itu.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=1105&pg=ws_01.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&y=2010

Tiada ulasan: