KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20111018

Jeneral kita masuk tandas pakai kalimah Allah



Adalah menjadi kenyataan bahawa Jeneral-Jeneral di Malaysia ini yang berpakaian seragam tentera akan memakai kalimah Allah apabila masuk ke tandas. Kenapa ini boleh berlaku sedang kita membincangkan isu untuk memartabatkan agama Islam dan menyelamatkan akidah umat? Adakah perkara ini isu remeh temeh sehingga semua pihak terlepas pandang?

Apa yang dimaksudkan ialah pada lencana pangkat seorang Jeneral ada 1 lencana crown atau mahkota yang jelas tertulis kalimah Allah dan Muhammad dalam tulisan jawi atau tulisan bahasa Al Quran.

Sudah pasti crown ini akan dibawa ke mana-mana oleh Jeneral tersebut apabila masuk ke tandas.

Yang menggunakan crown ini bukan hanya mereka berpangkat Jeneral, akan tetapi mereka yang berpangkat Mejar , Leftenan Kolonel, Kolonel, Leftenan Jeneral hinggalah ke Jeneral. Juga mereka berpangkat Pegawai Waran II dan Staf Sarjan juga memakai crown ini.

Penggunaan crown ini bukan hanya terdapat dalam perkhidmatan tentera , malah ianya digunakan dalam perkhidmatan polis, penjara, bomba dan lain-lain jabatan.

Baru-baru ini saya dengan rakan sepejabat yang bukan Islam saya berurusan dengan satu jabatan kerajaan. Kami bertemu seorang pegawai bukan Islam yang memakai pakaian seragam dengan pangkat pada kiri dan kanan bahunya jelas ada crown yang tertulis kalimah Allah.

Dalam hati saya terdetik, bagaimana pegawai bukan Islam ini memakai kalimah Allah tersebut dan menggunakannya semasa ke tandas.

Apabila selesai berurusan dalam perjalanan pulang dalam kereta, saya bertanyakan rakan saya yang bukan Islam. Saya berkata, tahu tak di Malaysia ini, orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah? Dia seakan terperanjat dan kata tidak tahu pula.

Saya tanya dia sekali lagi, dia perasan tak pegawai bukan Islam tadi ada kalimah Allah dan Muhammad pada pangkat di bahunya? Sekali lagi dia terperanjat dan dia memang amat-amat keliru akan apa yang berlaku sekarang.

Dia amat keliru kenapa pegawai kerajaan bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah dan dalam pada masa yang sama orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah.

Apa yang agak memalukan saya ialah apabila rakan saya yang bukan Islam tadi berkata, bukankan kalimah Allah itu dianggap suci oleh orang Islam, dan tidak patut di bawa ke tandas?

Saya pun diam sajalah.

Mungkin Mejar Jeneral (Bersara) Jamil Khir Baharom ada jawapannya?

Rozmal bin Malakan
http://waghih.blogspot.com/

Artikel saya sebelum ini mengenai masjid-masjid yang mati di Malaysia di http://waghih.blogspot.com/2011/03/masjid-masjid-yang-mati-di-nsembilan.html

Juga artikel berjuta-juta orang Melayu meruntuhkan agama Islam di Malaysia di http://waghih.blogspot.com/2011/10/12-juta-melayu-meruntuhkan-agama-islam.html

Sumber pangkat di http://ms.wikipedia.org/wiki/Lencana_pangkat_Angkatan_Tentera_Malaysia

5 ulasan:

Unknown berkata...

Hukum Membawa Tulisan Ayat Al-Qur’an ke Tandas
Membawa apa sahaja benda yang tertulis padanya ayat-ayat al-
Qur’an mahupun zikrullah ke tandas hukumnya adalah makruh.
Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang dimuliakan seperti
nama-nama Allah, para nabi dan malaikat-malaikatNya
sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.
Imam asy-Syirazi Rahimahullah berkata dalam kitabnya al-
Muhadzdzab : “Jika ada seseorang ingin memasuki tandas dan
bersama-samanya ada sesuatu yang terdapat padanya zikir-zikir
Allah, maka baginya menjauhkan benda tersebut daripada dirinya
(tidak membawanya masuk ke tandas), kerana telah diriwayatkan
oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak memasuki tandas,
Baginda meletakkan cincin Baginda itu di luar, ini kerana di atas
cincin Baginda itu ada tertulis perkataan محمد رسول الله yang Baginda
jadikan sebagai mohor atau cap Baginda dalam urusan surat
menyurat.”
Imam an-Nawawi Rahimahullah ketika mengulas kata-kata
pengarang kitab al-Muhadzzab ini telah berkata : “Para ulama asy-
Syafi‘eyyah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah sunat
dijauhkan sesuatu yang ada padanya zikir-zikir Allah ketika
seseorang itu hendak masuk tandas dan tidaklah wajib ianya
dijauhkan daripada dirinya (membukanya).”
Imam an-Nawawi Rahimahullah seterusnya menambah: “Sama
ada benda yang tertulis padanya zikir-zikir Allah itu duit perak
(dirham) atau emas (dinar) atau cincin atau lainnya, begitu juga
jika ada bersama-samanya tangkal ataupun azimat, sunat dijauhkan
benda-benda itu daripada dirinya ketika hendak memasuki tandas.”
Ini bertujuan bagi memuliakan ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat
pada alat-alat tersebut dan sebagai mencontohi perbuatan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang meletakkan cincin
Baginda (di luar) apabila hendak masuk ke tandas kerana terdapat
padanya ukiran perkataan

sumber:-http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2007/bil245.pdf

Askar Setia berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Askar Setia berkata...

Isu lama dan lapuk. Tapi, tak salah untuk kita saling ingat mengingati.

Ulama dah pun bersetuju bahawa hukumnya makruh.

terdapat banyak lagi cara untuk tegakkan syiar Islam dan apa kita kita buat dalam keluarga kita dahulu?

InshaAllah?

Tanpa Nama berkata...

Pada saya adalah terlarang secara tegasnya bagi perbuatan membawa kalimat-kalimat suci terutamanya nama Allah ke tempat-tempat kotor,sebabnya perbuatan yang demikian diiktiraf sebagai mencabul taraf kesucian imej-imej yang yang dimuliakan oleh Islam.Setakat ini yang hanya dimaafkan hanyalah membawa naskhah hadis ke tandas.Maka itu dimaafkan kerana martabat hadis adalah tidak sama maupun tinggi dari aspek kesuciannya berbanding al-qur'an.Menghormati kalimah ALLAH adalah wajib sepertimana menghormati al-Qur'an.Berbeza dengan nama Muhammad pula, adalah dimaafkan kerana muhammad ialah nama manusia dan bukan nama Tuhan.Demikianlah usul saya berkenaan hal yang pertama.Bagi penggunaan nama Allah bagi individu bukan Islam pula saya berpegang kepada kenyataan bahawasanya setiap manusia tidak kiralah sama ada penganut Islam atau pun bukan Islam sebenarnya layak menggunakan kalimah itu kerana Allah itu Tuahn kepada semua makhluk tanpa mengira apa pun anutan makhluk itu. Carilah dalam Al-Qur'an suatu versus yang terjemahannya:'Allah itu Tuhan kalian dan Tuhan kepada bapa-bapa kalian yang terdahulu."Maka apakah ada lagi hujjah terkuat untuk menudakkan penggunaan kalimah Allah bagi yang bukan Islam?

Tanpa Nama berkata...

Satu sja' saya boleh cakap:

Siapa suruh buat jata ada nama Allah? kan dah susah? Aku harap YDA nanti berkenan sekularkan jata kita.