KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150108

SILA HUBUNGI BALAI POLIS TERDEKAT JIKA TERJUMPA KANAK-KANAK INI !!!




Hilang pergi kedai
Harian Metro 8 Jan 2015

Johor Bahru: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan abangnya berusia 11 tahun didapati hilang sejak 9 malam semalam.

Ibu saudara mangsa, Azrizah Ahmad, 44, berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua beradik keluar untuk membeli minuman di kedai berhampiran.

Menurutnya, ketika itu, ibu mangsa, Azriana Ahmad, 30, sedang mengajar mengaji di bangunan rumah kedai di Jalan Pinang 52, Taman Daya.

"Anak saudara saya tinggal bersama ibu, bapa tiri dan adik lelaki mereka berusia dua tahun.

"Mereka sesekali keluar membeli minuman, namun kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Sepupu saya (ibu kanak-kanak) sudah menghubungi keluarga mentua dan mereka juga terkejut dengan kejadian berkenaan.

"Saya membuat laporan polis di Balai Polis Taman Setia Indah malam tadi (semalam).

"Hingga kini kami tidak menerima sebarang maklumat berkaitan mereka," katanya ketika dihubungi tadi.

Jurucakap Polis Balai Taman Setia Indah mengesahkan menerima laporan.

Catuan air, paras Empangan Gemencheh berada di tahap kritikal




8 Januari 2015 - Paras air Empangan Gemencheh, Tampin berada di tahap kritikal dan hanya mampu bertahan sehingga 120 hari sahaja. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun hujan lebat di beberapa daerah negeri ini, selain kejadian banjir di pantai timur, namun tiada sebarang taburan hujan berlaku di empangan tersebut.

“Taburan hujan sedia ada tidak memberikan julat bacaan yang tinggi ke dalam kawasan tadahan Empangan Gemencheh. Malah, paras air di empangan tersebut dianggap kritikal sebab tiada air mencukupi.

“Paras air yang ada sekarang ini tidak mampu menampung permintaan sedia ada, di mana ia memerlukan lapan juta gelen sehari bagi daerah Tampin dan Rembau," katanya.

Berikutan perkembangan itu, pihaknya menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) terpaksa melakukan catuan air di Tampin dan Rembau bermula 12 Januari ini.

"Kita terpaksa membuat catuan air berjadual bagi membolehkan bekalan simpanan air di empangan tersebut bertahan sehingga lapan bulan sementara menunggu kerja-kerja pengepaman air dilakukan,” katanya pada sidang media mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Difahamkan, catuan berjadual akan bermula pada 12 sehingga 30 Januari, kecuali 14 Januari kerana cuti umum.

Catuan bekalan secara berjadual ini akan dibuat secara bergilir-gilir di kedua-dua daerah, bermula jam 10 pagi hingga 10 pagi hari berikutnya.

Lima sekawan sesat di Gunung Datuk



Dah banyak kes di Gunung Datuk ini. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk aktiviti sebegini

Lima sekawan sesat di Gunung Datuk
8 Januari 2015

REMBAU – Hajat lima sekawan dari Melaka untuk menikmati keindahan puncak Gunung Datuk, dekat sini, berakhir dengan insiden mencemaskan apabila mereka dipercayai sesat setelah setengah jam pendakian, semalam.

Sinar Harian difahamkan, lima sekawan berusia 20-an itu, mula mendaftar nama di Pejabat Perhutanan Hutan Lipur Gunung Datuk kira-kira jam 9.22 pagi.

Sekitar jam 11.30 pagi, lima sekawan itu menghubungi agensi berkenaan untuk memaklumkan mereka tersasar dari laluan dan sehingga kini mereka masih belum ditemui.

Menurut Ketua Balai Bomba Rembau, Mohd Ridwan Abd Rahman, pihaknya menerima panggilan memaklumkan terdapat lima individu melibatkan empat wanita dan seorang lelaki dipercayai sesat sekitar jam 4.37 petang. Sebaik tiba di lokasi, pihak renjer sudah memulakan pencarian.

“Kita dimaklumkan mangsa menghubungi pihak renjer dan kali pertama dihubungi, mangsa menyatakan mereka berada berhampiran sungai. Mangsa juga cuba memberikan koordinat lokasi, namun mangsa tidak berjaya ditemui di lokasi berkenaan.

“Mangsa sekali lagi memberikan koordinat mereka dan menyatakan mereka sudah berada jauh dari sungai.  Namun, terbaru mangsa menghubungi pihak penyelamat dan menyatakan ada antara mereka yang mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Tapak Kaki Gunung Datuk, dekat sini, semalam.

Dalam insiden berkenaan, lebih 30 individu terdiri daripada bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), renjer hutan dan juga penduduk menyertai operasi mencari mangsa.

Mohd Ridwan berkata, pihaknya akan memulakan operasi pencarian setelah pihak renjer turun.

"Kini kami berhadapan dengan kesukaran memandangkan air dari atas melimpah melalui trek Gunung Datuk susulan hujan lebat," katanya.

Pemilik homestay perlu berhati-hati




Homestay jadi sasaran penyamun
8 Januari 2015

BUKIT BERUANG - Berpura-pura mahu menyewa tempat penginapan sebelum bertindak menyamun. Itu modus operandi digunakan sekumpulan penjenayah untuk menyamun pemilik homestay di negeri ini.

Dalam kejadian terbaru di sini Isnin lalu, seorang pemilik homestay bukan sahaja diikat dan dikurung dalam sebuah rumah, malah wang tunai bernilai lebih RM1,500 dan tiga telefon bimbit miliknya dilarikan tiga lelaki berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketiga-tiga lelaki itu terdahalu menghubungi mangsa yang juga seorang suri rumah berusia 29 tahun kira-kira 11.30 pagi sebelum mereka bersetuju bertemu tiga jam kemudian di homestay berkenaan.

“Mangsa yang datang mahu menyerahkan kunci dan menunjukkan rumah berkenaan kemudian diikat oleh ketiga-tiga suspek lalu dikurung di dalam sebuah bilik di tingkat dua rumah penginapan itu.

“Suspek bertindak menggeledah rumah berkenaan turut merampas wang tunai RM400, selain S$800 dan tiga telefon bimbit milik mangsa selain memaksa mangsa memberitahu nombor pin dua kad bank,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun melepaskan mangsa kira-kira 4.30 petang selepas berjaya mengeluarkan wang daripada ATM dan turut mengugut akan mencederakan pengadu sekiranya melaporkan kepada polis.

“Bertindak atas maklumat orang awam, seorang lelaki berusia 19 tahun juga salah seorang suspek berjaya ditahan ketika sedang bermain futsal kira-kira 6 jam di Taman Merdeka, Batu Berendam pada hari sama.

“Soal siasat suspek mengaku dua lagi lelaki yang terlibat adalah abang kandungnya berusia 23 dan 25 tahun dipercayai kini bersembunyi dan melarikan diri selepas menyedari adik mereka ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, hasil tangkapan salah seorang suspek itu, polis kemudian membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Alor Gajah dan menemui semua telefon bimbit milik mangsa dan beberapa kad pengenalan lain dipercayai kepunyaan mangsa kegiatan jenayah mereka.

“Kita merampas tujuh telefon bimbit termasuk empat milik suspek serta sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai digunakan ketika melakukan samun terhadap mangsa.

“Siasatan terhadap kad pengenalan lain yang ditemui didapati salah satunya bersangkut kes samun yang dilaporkan di Nusajaya, Johor pada Disember lalu,” katanya.

Beliau berkata, polis kini melancarkan Ops Beradik bagi mengesan dua suspek yang dipercayai masih berada dalam negeri ini atau di Johor.

Beliau berkata, polis sedang mencari Dennil dan R James Peter bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenali kedua-dua lelaki itu untuk tampil ke balai berhampiran.


20150105

PAKEJ SUMBANGAN BANTUAN MANGSA BANJIR




Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan dengan kerjasama Kedai Runcit Azhar menawarkan Pakej RM50 dan RM100 barang makanan kering untuk disalurkan ke Pusat Pengumpulan Bantuan Mangsa Banjir di Taman Tasik Jaya.

Barangan dalam pakej ini ialah beras, susu, tepung, gula, minyak, sardin, biskut, bihun, kicap dan teh.

Mereka yang ingin menyumbang bolehlah menghubungi Sdr Azizul 0129740363 di Kedai Runcit Azhar, No 80/224 Jln Selaseh 4, Kg. Sentosa, Paroi, 70400 Seremban.

Yang menjalankan amanah,

Hj Rozmal bin Malakan
Timbalan Pengerusi
Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan
Tel: 0122267406
FB: Rozmal Malakan
5 Jan 2015

20150104

Kempen Derma Darah 10 Jan 2015

Sertai Kempen Derma Darah di Masjid At Taqwa, Paroi, Seremban pada Sabtu 10 Jan 2015 dari 10 pg hingga 5 ptg sempena Mini Karnival Keluarga Milenea peringkat N.Sembilan