KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20141217

Kisah Keberanian Mantan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus




Diugut tembak ketika lakukan serbuan
15 Dis 2014

Pengalaman terkurung dalam kelab malam tak mungkin dilupakan

Dikurung di kelab malam serta diugut dicederakan adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Zaidi Ramli, 43.

Beliau melalui detik cemas itu ketika melaksanakan operasi membanteras maksiat.

Menyandang jawatan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Siasatan JAWI ketika itu, dia mengakui pelbagai dugaan dilalui dalam menangani jenayah syariah di Lembah Klang.

Pengalaman luas dalam bidang nikah dan cerai memberi kelebihan kepadanya membantu menyelesaikan krisis rumah tangga.

Itu tugas pertama beliau ketika dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkahwinan apabila dipindahkan ke JAWI.

Pelbagai kategori individu ditemui, antaranya sikap kedekut suami walaupun berstatus jutawan sehingga menyebabkan pasangannya mengadu di mahkamah syariah.

Suami terlalu kedekut

"Antara kes yang paling saya ingat ialah rumah tangga berantakan kerana suami terlalu kedekut walaupun memiliki banyak harta.

"Isteri mengadu suaminya menanam pokok mangga di rumahnya dan berbuah sulung. Suatu hari, si suami perlu bertugas di luar kawasan.

"Sebelum pergi bertugas, dia berpesan pada isterinya menjaga dan memastikan buah tidak gugur. Ditakdirkan Allah, buah itu gugur dan sekembali daripada tugas, suami memarahi isteri kerana buah itu gugur," katanya.

Dalam kejadian lain, Mohd Zaidi berkata, isteri mengadu ketika mereka ke majlis makan malam, suami tercicir duit syiling 50 sen.

"Isterinya mengutip syiling berkenaan, namun si suami segera meminta syiling tanpa menunggu pulang ke rumah.

"Memandangkan sudah lama berkahwin dan sudah berusia, mereka tidak memilih perceraian sebagai jalan penyelesaian. Malangnya, sikap suami tidak berubah, terutamanya apabila dia tidak mencari agama sebagai panduan hidup," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Timbalan mufti termuda

Selain jawatan berkenaan, anak kelahiran Jempol, Negeri Sembilan itu berkata, dia pernah berkhidmat sebagai Timbalan Mufti Negeri Sembilan pada tahun 2004 ketika berusia 33 tahun. Pelantikan itu menjadikannya sebagai Timbalan Mufti termuda di negara ini ketika itu.

Jawatan lain pernah disandang termasuk Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (KESUMA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, sepanjang menguruskan bahagian kaunseling rumah tangga, beliau terkejut kerana isu penderaan seksual yang disifatkan sebagai melampau.

"Antara kes yang ditemui termasuklah isteri diikat serta digantung di dinding. Isteri disebat dan perlakuan ganas lain semata-mata untuk memuaskan nafsu pelik suami. Lebih mengejutkan mereka yang digelar fetish ini memiliki pendidikan tinggi," katanya.

Bapa kepada 10 cahaya mata ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kikir, Batu Kikir, sebelum meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAPL), Labu.

Ikuti jurusan komunikasi

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Pengajian Islam pengkhususan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan serta meneruskan Ijazah Sarjana di universiti sama dalam bidang Pengurusan Komunikasi.

Ketika menjadi penguat kuasa JAWI, Zaidi melalui pengalaman berbeza berbanding menguruskan isu rumah tangga.

Dia juga bertanggungjawab mendekati kawasan maksiat, selain mendekati belia yang mengabaikan nilai Islam dalam kehidupan.

"Saya pernah terkurung dalam satu kelab malam berdekatan Bukit Bintang ketika melakukan serbuan bersama kira-kira 20 pegawai lain. Malangnya, serbuan itu tidak berjalan seperti kebiasaan apabila kami ditahan dan diugut tembak. Nasib kami baik apabila tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku apabila pihak polis berjaya menyelesaikan dengan baik," katanya.

Jejaki gadis Islam

Beliau pernah menyamar sebagai pelanggan kelab malam ketika menjejaki gadis Islam berpendidikan tinggi memilih bekerja di kelab malam.

Kebanyakan yang memilih kerjaya itu katanya, kabur mata dengan imbuhan lumayan sekitar RM600 hingga RM800 satu malam. Ada juga yang menerima nasihat JAWI dan berhenti serta mencari kerjaya lain.

"Saya berjumpa wanita Islam bekerja sebagai juruwang di kelab malam dengan mengenakan imej bertudung. Apabila disoal, dia bercerita mengenai kesempitan hidup. Dia terpaksa bergilir bekerja dengan suaminya. Suami bekerja siang manakala dia waktu malam," katanya.

"Saya menasihatinya berhenti dan memberi jaminan membantu mendapatkan modal memulakan perniagaan," katanya.

Tukar kerjaya

Zaidi berkata, Alhamdulillah wanita berkenaan sudah berhenti dan menjual pisang goreng selepas memperoleh modal permulaan RM3,000 daripada JAWI.

Katanya, persepsi ramai selama ini menganggap tugas jabatan agama hanyalah menjatuhkan hukum adalah tidak tepat.

Beliau berkata, tugas mereka lebih menjurus kepada usaha menyelamatkan mereka yang tersasar daripada landasan syariat.

Dalam gerakan dakwahnya, Zaidi lebih gemar memilih pendekatan turun padang mendekati dan mengenali masyarakat. Pendidikannya dalam bidang komunikasi dimanfaatkan sebaik mungkin. Ini menjadikan dia mudah didekati dan berkongsi cerita.

Wanita berpakaian seksi

"Ada sekumpulan gadis berpakaian seksi mengusik, memanggil abang ustaz, saya pergi dan berbual dengan mereka. Saya beri nombor telefon dan cakap, kalau satu hari nanti adik penat pakai baju macam ini, telefon saya. Alhamdulillah, mereka telefon selepas beberapa bulan.

"Ketika berdakwah, saya tidak boleh terus tukar orang. Perlu ada satu transisi menjadikan mereka bersedia sebelum bergerak ke arah lebih positif.

"Bukan mereka tidak ada kesedaran, mungkin belum diberikan hidayah, atau pendekatan membawa mereka ke arah positif bersifat keterlaluan," katanya.

Bercerita mengenai keluarganya, beliau sentiasa berusaha mencuri masa meluangkan waktu bersama isteri dan anak.

"Isteri memainkan peranan dalam membesarkan anak-anak. Tuntutan kerja tidak menentu, namun saya akan cari masa untuk bersama keluarga. Petua yang saya pegang ialah kerap dukung dan peluk anak-anak supaya mereka tidak berdendam jika dimarah. Jika saya marah, isteri memujuk dan begitulah sebaliknya.

"Memujuk bukan memenangkan mereka, tapi memberi rasional kenapa mereka dimarah," katanya.



Bantu rakyat miliki rumah melalui Rumah Kontena




Pendekatan menaikkan had pinjaman bukanlah cara untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah atau sederhana untuk memiliki rumah. Pelbagai alternatif perlu difikirkan agar rakyat dapat memiliki rumah untuk berteduh. Kita ada ramai bijak pandai, jurutera, arkitek, majlis professor dan sebagainya.

Rumah kontena adalah alternatif untuk rumah mampu milik mereka yang berpendapatan rendah terutama di pinggir dan luar bandar.

Jangan fikir nak kaut untung saja, fikirkanlah kebajikan golongan ini.

Containers of Hope: Cheap Modern Cargo Container Home

Benjamin Garcia Saxe is a Costa Rican architect with a new take on recycled cargo container residences that mixes classic Modernist approaches, used materials and sustainable strategies.

The core two containers are staggered along the East/West access, providing selective access to natural sunlight and natural cross-ventilation.

In the center, a raised and tilted scrap-metal roof angles up to catch additional indirect daylight and  further facilitate passive cooling.

20141216

Tolong jangan buat pinjaman, ramai sudah tertipu




Kepada mereka yang terdesak, terutama pelajar IPTA yang perlu jelaskan yuran pengajian jika tidak mereka akan menerima status Gugur Taraf (GT), tunggu duit zakat belum dapat, tunggu PTPTN belum juga dapat, tunggu biasiswa pun belum dapat agar tidak membuat pinjaman peribadi.

Dah ramai yang kena tipu, tertipu dengan cara begini.

Berbincanglah dengan pensyarah, bendahari dan HEP jika ada masalah kerana belum dapat PTPTN, biasiswa atau duit zakat.

Hari ini seorang pelajar IPTA telah mengadu kepada saya kerana biasiswa hanya akan dapat bulan Januari 2015, tapi dia perlu bayar yuran IPTA sebelum 19 Dis 2014, jika tidak dia akan mendapat status Gugur Taraf.

Dia cuba meminjam pada agensi seperti ini, akhirnya tertipu, biasiswa belum dapat, mungkin terpaksa menerima hakikat Gugur Taraf pada 19 Dis 2014 nanti.

Yang menjalankan amanah,

Hj Rozmal bin Malakan
Timbalan Pengerusi
Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan
Tel: 0122267406
FB: Rozmal Malakan
16 Dis 2014

Minta izin Ketua Kampung sebelum salur bantuan



Ada kampung di Negeri Sembilan kalau sesiapa secara sukarela ingin menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung tersebut yang kesusahan, kesempitan dan memerlukan pertolongan, perlu cari dan minta izin serta kelulusan ketua kampung terlebih dahulu.

Semoga ianya tidak berlaku di kampung lain. Semoga ketua kampung tersebut mendapat petunjuk dan hidayah Allah serta diampunkan dosanya dan dosa kita.

Rumah Kontena, kediaman untuk mereka yang berpendapatan rendah




16 Disember 2014 JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal bersama enam anaknya terpaksa menumpang teduh di dalam kontena di Taman Perindustrian Berjaya Seelong, di sini kerana mengalami kesempitan hidup selepas kematian suami sejak setahun lalu.

Suryati Semaohoon, 44, berkata, meskipun pada mulanya anak-anak memberontak kerana terlalu sesak dalam kontena berkenaan, namun masing-masing mulai faham dengan keadaan sebenar keluarga mereka.

Menurutnya, kehilangan suami yang menghidap kanser paru-paru Disember tahun lalu benar-benar dirasai sehingga rumah yang disewa sebanyak RM400 sebulan di Kempas tidak mampu lagi ditanggung.

“Saya merayu kepada bekas majikan suami untuk menumpang teduh di kontena kerana tidak mampu lagi membayar rumah sewa dalam keadaan lima anak yang masih bersekolah.

“Pada mulanya memang kurang selesa kerana apabila cuaca panas terik memang bahangnya terlalu panas dalam keadaan dinding kontena dikelilingi zink.

“Tapi saya bersyukur kerana tak perlu bayar sewa dan menampung kos api dan air dalam keadaan kesukaran mendapatkan rumah sewa di bawah RM300 sebulan,” katanya ketika dibawa berbelanja kelengkapan sekolah di Pasaraya Econsave, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Prihatin Kempas, Salim Daud dan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Menurutnya, kelengkapan sekolah anak-anak pada tahun ini tidak dapat disediakan memandangkan hanya mengharapkan bantuan bulanan Baitulmal sebanyak RM300 dan hasil menjahit baju serta jualan kerepek.