KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060706

Adakah pertahanan udara negara begitu rapuh ?

Beberapa kemalangan yang menimpa pesawat Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) mutakhir ini menggusarkan rakyat Malaysia apakah sistem pertahanan negara kita rapuh serta mempertaruhkan nyawa anggota TUDM khususnya dan rakyat pada amnya. Dalam masa tidak sampai sebulan satu pesawat Hawk telah terhempas, satu pesawat Hawk telah melakukan pendaratan kecemasan dan satu helikopter Nuri juga telah melakukan pendaratan kecemasan.

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak selaku Menteri Pertahanan telah menyarankan agar pegawai-pegawai kerajaan dapat memberi pandangan, teguran serta cadangan kepada menteri-menteri dalam usaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kementerian masing-masing.

Dalam Kementerian Pertahanan sudah pasti yang lebih arif mengenai keperluan pertahanan negara adalah pegawai-pegawai serta anggota-anggota tentera sendiri dari yang tidak berpangkat hinggalah ke Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebagai rakyat biasa yang tiada kepakaran dalam bidang pertahanan negara atau pun ketenteraan, statistik kekuatan TUDM yang dipaparkan dalam beberapa laman web adalah amat menggusarkan. Ianya menggambarkan bahawa pertahanan udara negara jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jiran yang kerdil dan lebih sediki jumlah penduduknya iaitu Singapura.

Buat masa ini TUDM mempunyai 14 pesawat pejuang MiG-29N, 2 pesawat pejuang MiG29NUB, 8 pesawat pejuang F/A-18D Hornet, 7 pesawat pejuang Aermacchi MB-339A, 16 pesawat pejuang Hawk 208, 6 pesawat pejuang Hawk 108, 2 pesawat pejuang RF-5E Tigereye, 3 pesawat pejuang F-5F dan 10 pesawat pejuang F5E Tiger II.
TUDM juga mempunyai 17 pesawat pejuang MB-339C yang dibeli daripada Tentera Udara New Zealand pada tahun 2003 tapi masih tidak lagi beroperasi. TUDM juga akan menerima 18 pesawat pejuang Sukhoi SU 30MKM dalam masa terdekat ini secara berperingkat.

Sementara itu TUDM dalam kategori pesawat pengangkut pula mempunyai 8 pesawat Hercules C-130-30 , 2 pesawat Hercules C-130, 4 pesawat pengangkut minyak Hercules KC-130130H, 8 pesawat komunikasi Cessna 402B, 8 pesawat CN235-220M, 2 pesawat VIP CN235-220M, 1 pesawat VIP Boeing 737-700 BBJ, 1 pesawat VIP Bombardier Global Express, 1 pesawat VIP Bombardier CRJ-700 Regional Jet, 1 pesawat VIP Dassault FALCON 900B dan 1 pesawat VIP F28-100. Sementara itu TUDM telah menempah 4 pesawat pengangkut Airbus Military A400M.

Dalam bidang maritim pula TUDM memilikki 4 pesawat Beechcraft Super Kingair B200T MPA dan 2 pesawat Lockheed Hercules PC-130H.

Untuk kategori helikopter pula TUDM mempunyai 28 buah helikopter serbaguna Nuri Sikorsky S61A-4, 2 buah helikopter komunikasi Nuri Sikorsky S61A-4, 2 buah helikopter VIP Agusta Sikorsky A56-N1, 1 buah helikopter VIP Agusta A-109C dan 2 buah helikopter VIP Sikorsky S-70 Black Hawk. TUDM juga akan menerima 10 buah helikopter buatan Rusia Mi-171SH untuk tujuan mencari dan menyelamat.

Dalam kategori pesawat pelatih pula TUDM mempunyai 36 pesawat Pilatus PC-7, 8 pesawat Pilatus PC-7MkII, 20 pesawat MD3-160 Aerotiga dan 3 pesawat CTRM Eagle ARV.

Pesawat-pesawat TUDM ini ditempatkan di 8 buah pengkalan udara iaitu di Gong Kedak, Alor Setar, Butterworth, Kuantan, Subang, Sungai Besi, Kuching dan Labuan.

Dibandingkan pula dengan keupayaan Tentera Udara Republic Singapura (RSAF – Republic of Singapore Air Force) semua negara yang kerdil. RASF mempunyai 26 pesawat pejuang F-16C Falcon, 36 pesawat pejuang F-16D Falcon, 36 pesawat pejuang F-5S Tiger 2, 9 pesawat pejuang F-5T Tiger 2 dan 8 pesawat pejuang RF-5S Tiger 2. Sementara itu RSAF menjangkakan akan menerima sebanyak 12 ke 20 buah pesawat pejuang tercanggih di dunia iaitu Boeing F-15SG pada tahun 2008 atau 2009.

Dalam kategori helikopter pula RSAF mempunyai 18 buah helikopter pengangkut berat Chinook CH-47SD, 22 buah helikopter pengangkut Super Puma AS 332M, 6 buah helikopter pengangkut Eurocopter AS 532UL Cougar, 20 helikopter tempur dan anti kereta kebal Apache Longbow AH-64D dan 6 helikopter anti kapal dan anti kapal selam Sikorsky ASW S-70B.

RSAF juga mempunyai 6 buah pesawat pengangkut berat Lockheed C-130H serta 4 buah pesawat VIP F50 UTL. Disamping itu RSAF memilikki 4 buah pesawat mengisi minyak di udara dari jenis Boeing KC-135R dan memilikki 4 buah pesawat mengisi minyak di udara dari jenis Lockheed KC-130B.

Menariknya RSAF mempunyai pesawat pengawasan amaran AEWACS (Airborne Early Warning) sebanyak 4 buah dari jenis Grumman E-2C Hawkeye. Serta 5 buah pesawat maritim dari jenis Fokker F50 ME2 yang dilengkapi dengan persenjataan Harpoon.

Dalam kategori pesawat pelatih pula RSAF menggunakan 27 pesawat pejuang Marchetti S.211, 4 pesawat pejuang Super Skyhawk A-4SU, 4 pesawat pejuang Super Skyhawk TA-4SU dan sekurang-kurangnya 5 buah helikopter Eurocopter EC120 dan AS 550U.

RSAF juga mempunyai beberapa pesawat pengintip tanpa juruterbang iaitu sebanyak 40 buah dari jenis IAI Searcher Mk2 dan beberapa buah lagi dari jenis IAI Malat Scout, ST Blue Horizon dan ST Firefly.

Pesawat-pesawat RSAF ini beroperasi di 6 buah pengkalan udara dalam negara Singapura iaitu di Changi (Barat), Changi (Timur), Paya Lebar, Sembawang, Tengah dan Kem Murai.

RSAF turut mempunyai beberapa pengkalan udara di luar Singapura iaitu Pengkalan Udara Pearce dan Oakey di Australia, Pengkalan Udara Cazaux di Perancis, Pengkalan Udara Luke, Cannon, Grand Prairie dan Silverbell di Amerika Syarikat. Pengkalan udara RSAF di luar negara ini menempatkan pesawat-pesawat dan anggota-anggota RSAF bagi tujuan latihan. RSAF juga telah menghadiahkan beberapa pesawat pejuang F-16 kepada Royal Thai Air Force sebagai pertukaran, RSAF akan menggunakan Pengakalan Udara Udon Thani di Thailand selama beberapa hari setiap tahun untuk tujuan latihan.

Pada tahun 2003 Singapura telah menyertai program pembangunan pesawat pejuang tercanggih F-35 Joint Strike Fighter (JSF) yang dijangkakan akan mula beroperasi pada tahun 2015. Dalam masa akan datang RSAF dijangkakan akan beroperasi dengan menggunakan dua jenis pesawat pejuang iaitu F-35 dan F-15.

Di atas kertas keupayaan RSAF jauh ke hadapan jika dibandingkan dengan TUDM. Walaupun negara Singapura begitu kerdil tetapi kekuatan tentera udaranya membanyangkan bahawa negara tersebut adalah gergasi pertahanan udara di rantau ini.

Statistik di atas menunjukkan bahawa RSAF lebih tertumpu kepada operasi pesawat dari jenis yang sama dengan ini akan memudahkan kerja penyenggaraan, mendapatkan alat ganti serta melatih anggota-anggota yang mengendali dan menyenggara pesawat tersebut. Sementara TUDM pula yang mempelbagaikan jenis pesawatnya dengan Sukhoi dan MIG dari Rusia, Hawk dari Britain, F-18 dari Amerika Syarikat, MB339 daripada Itali menyebabkan lebih banyak sumber diperlukan dari sudut kerja penyenggaraan, mendapatkan alat ganti serta melatih anggota-anggota yang mengendali dan menyenggara pesawat.

Apa yang menjadi tanda tanya di sini ialah mengapa TUDM mempunyai begitu banyak pesawat VIP iaitu 7 kapal terbang VIP dan 5 helikopter VIP, sedangkan RSAF hanya menggunakan 4 kapalterbang VIP dari jenis Fokker F50. Adakah kerana Malaysia mempunyai begitu ramai ahli politik, ahli parlimen, menteri dan jeneral maka TUDM perlu menyediakan banyak pesawat VIP ?

Persoalan juga timbul akan nasib 17 buah pesawat pejuang MB-339C yang dibeli daripada Tentera Udara New Zealand pada tahun 2003 tapi masih tidak lagi beroperasi.

Begitu juga dengan bentuk mukabumi di Malaysia yang dikelilingi laut yang sudah pastinya memerlukan lebih banyak pesawat maritim, pesawat AEWACS serta pesawat tanpa juruterbang serta helikopter, TUDM hanya mempunyai jumlah pesawat yang kecil untuk tujuan ini jika dibandingkan dengan RSAF.

Ini baru dari sudut pertahanan udara, belum lagi di sentuh dari sudut pertahanan darat dan laut. Justeru itu Kementerian Pertahanan haruslah melaksanakan Dasar Pertahanan Negara yang dapat meyakinkan rakyat bahawa negara kita Malaysia mampu mempertahankan diri dari sebarang ancaman luar.

Di samping itu kecanggihan senjata juga mestilah diiringi dengan kecanggihan mental dan spiritual anggota-anggota keselamatan. Anggota-anggota keselamatan yang beragama Islam haruslah diperkukuhkan iman dan amalan mereka agar mereka dapat mempertahankan negara ini dalam apa jua keadaan sekali pun. Ini adalah berdasarkan pengalaman yang diberikan oleh orang tua saya sendiri yang baru-baru ini “memberi” rahsia ketika beliau berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Di Raja dan menyertai beberapa operasi membanteras pengganas komunis dimana beliau mengamalkan apa yang diajar dalam Al Quran ketika bertugas. Dan salah satu daripada amalannya ialah mengamalkan beberapa zikir yang diajar oleh Al Marhum Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Sheikh Mohd Said. Dan untuk mengamalkan semua ini yang pasti amalan yang fardhu antaranya solat lima waktu hendaklah dilaksanakan terlebih dahulu. Elakkan daripada amalan-amalan yang syirik, khurafat, tangkal dan sebagainya untuk menjadikan diri seseorang itu kebal, ghaib dan sebagainya.

SELAMAT MENYAMBUT HARI PAHLAWAN

Marilah kita menghadiahkan Al Fatihah kepada anggota-anggota keselamatan kita yang telah gugurkan mempertahankan negara.

Sumber rujukan : Ensaiklopedia Wikipedia
http://en.wikipedia.org/wiki/Royal_Malaysian_Air_Force
http://en.wikipedia.org/wiki/Republic_of_Singapore_Air_Force

Rozmal bin Malakan
Negeri Sembilan