Semalam ada seorang “parent” beritahu saya kejadian gaduh antara dua kumpulan pelajar Melayu dari dua buah sekolah sekitar Senawang dan Seremban, sekitar 1-3 minggu lepas.
Cerita sebenar belum diketahui, saya masih mencari laporan akhbar dan sebagainya. Banyak cerita mulut , tapi ini semua tidak dapat disahkan. Menurut cerita pergaduhan adalah berpunca kes perempuan dan berlaku di luar kawasan sekolah. Kumpulan pelajar Melayu dari sekolah A menyerang kumpulan pelajar Melayu dari sekolah B, agak parah, dengar cerita koma. Kemudian kumpulan pelajar Melayu dari sekolah B pula membalas dendam dan menyerang kumpulan pelajar Melayu dari sekolah A, dengar cerita ada yang mati, ada yang putus telinga, ada yang tangan hancur dilanggar tayar motosikal dan sebagainya.
Sejauh mana kebenaran cerita ini , saya belum dapat sahkan. Cuma ianya datang dari sumber “parent” yang ada jawatan. Dan anak-anak jiran saya di taman juga mengesahkan cerita tersebut, cuma terdapat beberapa versi.
Jika sekiranya cerita ini benar, ini bermakna kita ibu bapa, terutama di Senawang dan Seremban harus mengambil serius perkara ini. Baru-baru ini saya sempat meleraikan pergaduhan di kalangan anak-anak jiran saya yang baru tingkatan 1. Puncanya yang A ejek B, kemudian B tumbuk A. B lari jumpa saya kerana A kejar nak tumbuk balik dengan 2 orang rakannya. Saya bawa B jumpa A dan minta mereka jumpa ibu bapa masing-masing kalau ada masalah.
Semua pihak harus ambil peranan dalam isu gensterisma ini, jangan serah bulat-bulat pada polis dan sekolah, ibu bapa dan jiran-jiran harus bersatu. Hidupkan masyarakat , hidupkan surau dan masjid.
Polis dan JPJ juga harap dapat melakukan operasi tahan semua pelajar yang bawa motosikal dan kereta tanpa lesen. Walaupun dalam kawasan taman perumahan. Motosikal inilah salah satu punca pelajar bebas bergerak dan mula membentuk kumpulan. Saya perhatikan kawasan Senawang dan Seremban ini pelajar begitu bebas bawa motosikal ke sekolah ada yang tingkatan 1. Ada yang sekolah rendah pun bawa motosikal.
Bulan sudah kereta isteri saya dilangar oleh pelajar tingkatan 5 yang tiada lesen. Akibatnya emak ayahnya juga yang susah, kena hantar anak hospital, kena baiki motosikal, kena bayar ganti rugi tunai.
Sama-samalah kita membentuk generasi yang beriman dan bertakwa. Jangan hanya berpeluk tubuh dan berdoa. Jangan ambil sikap kau, kau , aku, aku.