KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060423

MB N.Sembilan berani memperkatakan yang benar

Kebiasaannya jarang kita dengar pemimpin negara atau negeri untuk menyatakan keadaan sebenar kewangan negara atau negeri. Akan tetapi sebaliknya Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan secara terus terang menyatakan kewangan Negeri Sembilan berada dalam keadaan yang tidak baik apabila kerajaan Negeri Sembilan mengalami defisit yang tinggi akibat penganjuran SUKMA ke 10 dan dibawa dalam belanjawan 2005 dan 2006.

Sebagai pemimpin mereka haruslah bercakap benar agar rakyat tahu keadaan sebenar negeri mereka justeru mereka dapat berusaha bersama-sama untuk memajukan negeri mereka sendiri.

Akibat daripada defisit ini kerajaan Negeri Sembilan telah mengurangkan peruntukan sebanyak RM 30,000 bagi pelaksanaan Projek-Projek Kerja-Kerja Kecil 2006 kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Walaupun cukai tanah dan cukai pintu di kebanyakkan tempat di Negeri Sembilan ini telah dinaikkan berkali ganda, nampaknya ianya tidak dapat menampung defisit kerajaan negeri yang begitu banyak.


Berita Harian Khamis 20 April 2006 ( Muka surat C6 SENTRAL)

Peruntukan Adun dikurang – Pengurangan peruntukan sebanyak RM 30,000 bagi pelaksanaan Projek-Projek Kerja-Kerja Kecil 2006 kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bukan disebabkan pendapatan kerajaan negeri merosot.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pengurangan itu sebaliknya bertujuan mengurangkan defisit kerajaan negeri selain melaksanakan perbelanjaan berhemah.

Katanya, kerajaan negeri mengalami defisit tinggi pada 2004 berikutan perbelanjaan menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) X dan dibawa dalam belanjawan 2005 dan 2006.

“Saya memberi jaminan pengurangan peruntukan tidak akan mengorbankan program pembangunan yang dirancang dan akan dilaksanakan terutama di luar bandar”, katanya.

Menteri Besar menjawab soalan Datuk Ishak Ismail (BN-Lenggeng) yang mahukan penjelasan mengenai tindakan kerajaan negeri mengurangkan peruntukan ini.

Berikutan itu, Exco diperuntukkan sebanyak RM 140,000 berbanding RM 170,000 pada 2005, manakala Adun memperolehi RM 100,000 , berbanding RM 130,000 tahun sebelumnya.

20060420

Saudara baru sentiasa mengharap, bantulah mereka

Beberapa minggu lalu teman saya memberikan sumbangan sebanyak RM 600 minta diagihkan kepada orang yang memerlukan. Kali ini saya cuba untuk mengagihkan kepada saudara baru atau muallaf, kerana Islam amat menekankan agar kita sentiasa mendampingi dan membantu mereka yang baru masuk Islam.

Lalu saya cuba buat pertama kali menghubungi Yayasan Kasih Sayang (YKS) , sebuah persatuan sukarela yang membantu saudara-saudara baru di Negeri Sembilan. Saya telah menyalurkan sumbangan RM 600 kepada YKS.

Hari ini saya menerima surat daripada YKS menyatakan butiran terperinci ke mana sumbangan RM 600 tersebut disalurkan beserta dengan resit pembelian sekali, walaupun saya tidak pernah meminta mereka berbuat demikian. Inilah pertama kali saya mendapat laporan daripada sebuah persatuan sukarela ke mana sumbangan yang diberikan oleh orang ramai disalurkan. Justeru itu saya menyerulah kepada semua umat Islam yang berkemampuan, khususnya di Negeri Sembilan ini, jika ingin membantu saudara-saudara baru boleh menghubungi Pn Hajjah Norizan 012-6321519 atau Adnan 012-6116467 Yayasan Kasih Sayang N.Sembilan.

Berikut ialah butiran sumbangan RM 600 dibelanjakan :
1. Tambang ke IJN suami saudara baru sakit jantung RM 80
2. Beli buku rujukan anak saudara baru RM 38.45
3. Bantuan barangan runcit saudara baru RM 36.78
4. Berkhatan untuk saudara baru suami RM 45
5. Berkhatan untuk bayi saudara baru RM 30
6. Berkhatan untuk isteri saudara baru RM 40
7. Makan tengahari untuk pelajar pondok saudara baru RM 9.90
8. Pakaian dan barangan keperluan untuk 4 orang saudara baru RM 325.90

JUMLAH PERBELANJAAN RM 606.30

20060417

Jabatan Alam Sekitar perlu contohi MPS tangani masalah alam sekitar

Saban hari alam sekitar di Malaysia ini menjadi perbualan hangat kerana yang menerima bahana akibat permasalahan alam sekitar yang tercemar ialah orang ramai.

Yang menjadi mangsanya pula ialah Jabatan Alam Sekitar. Sedangkan orang ramai tidak mengetahui kedudukan sebenar Jabatan Alam Sekitar samada mereka mempunya sumber yang secukupnya untuk menangani masalah alam sekitar yang semakin mencabar mutakhir ini. Samada sumber yang cukup dari segi kakitangan penguatkuasa, sumber yang cukup dari segi kemudahan pengangkutan seperti helikopter untuk mengawasi sungai yang tercemar, sumber kewangan yang mencukupi untuk mengendalikan sistem maklumat yang berkesan dan seterusnya.

Yang pasti ada golongan yang seronok menuding jari kepada pihak tertentu apabila sesuatu masalah itu timbul tanpa menyedari hakikat sebenar permasalahan serta puncanya.

Apa yang ingin saya cadangkan disini ialah orang ramai yang prihatin akan masalah alam sekitar haruslah menjadi mata dan telinga kepada Jabatan Alam Sekitar. Sekiranya mereka mempunyai masalah berkenaan alam sekitar mereka boleh membuat aduan secara terus kepada Jabatan Alam Sekitar sepertimana Polis DiRaja Malaysia mengadakan konsep Rakan Cop untuk mengawal jenayah di Malaysia ini.

Pujian harus diberikan kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) kerana mereka mempunyai sistem mata dan telinga yang cukup efisien untuk orang ramai membuat aduan secara terus dan secara rasmi kepada MPS mengenai permasalahan berkaitan pihak berkuasa tempatan melalui sistem e-Public.

Saya telah menggunakan sistem e-Public MPS ini sejak ianya mula dilancarkan. Dan saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan dan maklumbalas serta tindakan susulan pihak MPS melalui sistem ini. Setiap aduan yang dibuat melalui e-Public ini direkodkan dan dapat disemak status pelaksanaannya dari masa ke semasa oleh pengadu.

Justeru itu sekiranya Jabatan Alam Sekitar dapat mengintegrasikan sistem seumpama e-Public atau Rakan Cop untuk mengawasi permasalahan alam sekitar, sudah pasti penjenayah-penjenayah alam sekitar tidak lagi akan bermaharaja lela apabila mereka melakukan aktiviti mengaut keuntungan yang hanya bahagia seketika tetapi derita selamanya.

Oleh itu sumber kewangan , sumber tenaga serta kerjasama daripada orang ramai adalah begitu penting dalam mempastikan negara kita Malaysia ini bebas daripada sebarang bentuk pencemaran yang akan membawa derita kepada kaum keluarga kita sendiri pada akhirnya.

Kerajaan bertanggung jawab menyediakan sumber tersebut melalui Rancangan Malaysia ke 9, Jabatan Alam Sekitar bertanggungjawab melaksanakannya, rakyat bertanggungjawab untuk memberikan kerjasama.

20060412

Syor orang Hindu cara perangi rasuah di Malaysia

Artikel ini dipetik dari ruangan surat pembaca Berita Harian 12 April 2006. Apa yang menarik ianya ditulis oleh warganegara Malaysia yang beragama Hindu. Jika orang Hindu begitu prihatin mengenai soal rasuah, sumber rezeki yang halal, bagaimana dengan kita orang Melayu serta umat Islam di Malaysia ini ? Jika orang India di Malaysia boleh menulis dengan gaya bahasa Melayu yang tersusun, bagaimana kita orang Melayu ?

**********************************

Pengundi boleh perangi rasuah, oleh K PUVIRAJAN, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

KITA harus sedar bahawa orang yang hendak memerangi gejala rasuah, haruslah terlebih dulu membuktikan dirinya bebas daripada rasuah.

Soalannya bagaimana membuktikan seseorang itu bebas daripada rasuah? Pada 3 April lalu, akhbar The New Straits Times menyiarkan temu ramah dengan Pengerusi Transparency National, Tan Sri Ramon Navaratnam.

Beliau mengatakan rakyat boleh memainkan peranan besar dalam memerangi rasuah dengan tidak memilih semula ahli Parlimen yang pernah terbabit dalam kegiatan itu. Juga disarankan supaya pengundi melihat rekod setiap calon bertanding untuk mengetahui sama ada calon itu bersih daripada rasuah.

Dengan berbuat demikian beliau berpendapat pengundi boleh membuat pilihan bijak ketika mengundi dalam pilihan raya. Calon disyaki dicemari rasuah harus ditolak, tegasnya.

Adakah mustahil untuk kita menggubal undang-undang mewajibkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen mengisytiharkan jumlah pendapatan tahunan daripada semua sumber serta semua pembelian aset dan simpanan wang kepada pengundi di kawasan masing-masing setiap tahun?

Setiap ahli Parlimen dan Adun harus mempamerkan maklumat mengenai jumlah pendapatan dan pemilikan harta di kawasan yang ditandingi dan menang, serta ketika pilihan raya di kawasan bertanding supaya rakyat dapat menyemak rekod calon seperti yang disyorkan Ramon.

Lihat saja maklumat di tempat awam seperti poster ketika pilihan raya. Juga boleh diletakkan satu buku yang lengkap dengan maklumat berkenaan di tempat tertentu.

Jadi apa salahnya jika pengundi mengetahui pendapatan serta aset calon mereka.

Adakah mereka yang hidup mewah itu mendapat pendapatan daripada sumber yang halal? Adakah mereka ini hidup mewah di luar kemampuan? Soalan seperti ini akan ditanya rakyat.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Surat/20060411214424/Article/

20060409

Anak Yatim Pembawa Rezeki – Bersama Mu YAMNS

Sabtu 8 April 2006 merupakan hari yang penuh dengan kenangan. Seperti biasa sebelah paginya melakukan kerja-kerja di rumah yang banyak tertangguh akibat kesibukan kerja pada hari biasa. Pada waktu tengahari sedang saya mengemas kertas-kertas dan fail di tingkat atas terdengar loceng rumah berbunyi “Assalamualaikum”. Anak saya dibawah memberitahu saya ada orang jual buku.

Apabila saya membuka pintu rumah didapati seorang budak lelaki dalam usia 12-14 tahun memegang beg plastik dan memberitahu ada buku-buku agama untuk dijual. Saya mengajak budak tadi duduk di bangku santai di luar rumah.

Sambil membelek-belek buku-buku sekitar 10-15 buah saya tanya budak tadi dari mana ? Dia kata dia dari Taman Ampangan. Saya tanya lagi sekolah mana ? Dia kata Sekolah Seri Ampangan. Saya tanya lagi ayah kerja apa ? Dia kata ayah dah meninggal. Saya masih membelek-belek buku yang sesuai untuk dibeli sambil anak-anak saya memerhatikan perbualan kami. Kemudian saya tanya, emak kerja apa ? Emak tak kerja. Saya tanya lagi, adik beradik berapa orang ? Jawabnya 6 orang. Saya bertanya abang dan kakak dah kerja ? Dia kata abang kerja di Alor Star, kakak dah kahwin ikut suami di KL.

Selepas puas membelek buku saya tanya anak-anak saya 2 buah buku, satu buku doa harian dengan ilustrasi satu lagi buku kisah-kisah tauladan. Anak-anak saya bersetuju. Saya tanya berapa harganya. Dia kata yang satu tu RM 7, yang satu tu RM 12. Lalu saya menghulurkan RM 20, budak tadi hendak memulangkan baki, saya kata tak apalah, simpan sahaja.

Lalu saya tanya, dah makan belum ? Dia kata belum makan. Saya tanya selalu makan apa tengahari ? Dia kata emak dia masak nasi dengan sayur sahaja. Saya tanya nak makan tak ? Dia mengangguk. Kebetulan isteri saya sudah selesai masak tengahari , lauk ikan kembung goreng dan gulai lemak cili api letak nenas dan ikan kurau kering. Saya tanya gulai makan tak ? Dia kata tak suka gulai. Ikan goreng dengan kicap sahaja boleh tak ? Dia mengangguk. Kemudian kakaknya juga yang sedang menjual buku rumah ke rumah lalu dihadapan, lalu saya mengajak sekali makan.

Isteri saya menyediakan makan tengahari, nasi, ikan goreng dan gulai serta air kosong untuk 2 orang. Dihidangkan diluar rumah, yang memang ada diletakkan kerusi serta meja untuk bersantai. Budak tadi pun makanlah adik beradik diluar dengan penuh sopan, tidak berebut-rebut. Yang adik cuma makan ikan kembung goreng, nasi dengan kicap. Yang kakak nampaknya suka gulai. Nampak dari raut wajah mereka seperti mereka lama tidak makan nasi berlauk melainkan lauk sayur. Setelah selesai makan, budak-budak tadi pun, mengucapkan terima kasih dan meneruskan usaha mencari rezeki menjual buku rumah ke rumah.

Tengahari tersebut isteri saya sudah agak lama menyiapkan makan tengahari, tapi nampaknya anak-anak saya tidak ada selera nak makan. Selepas anak-anak saya memerhatikan tetamu tadi makan dengan berselera lalu anak-anak saya pun begitu berselera makan tengahari sampai tak cukup nasi. Lalu isteri saya beritahu anak-anak kami yang kita patut banyak bersyukur, tengok budak-budak tadi macamana susah mereka, begitu bersyukur dan berselera makan walaupun hanya ikan goreng dan kicap.

Dua buah buku yang dibeli juga begitu menarik minat anak saya untuk membacanya. Walhal kalau dicari dikedai pun ada dijual buku tersebut. Kalau sebelum ini anak-anak lelaki saya membaca buku komik naruto atas tilam, saya perhatikan mereka membaca buku kisah tauladan dengan begitu khusyuk tanpa henti-henti.

Begitulah ceritanya tetamu yang tidak diundang, tetapi membawa bersama mereka keberkatan dan rahmat, tambahan pula anak-anak yatim.

Tidak lama selepas itu hujan mula turun. Jam 3.30 petang hujan mula turun dengan lebatnya di Senawang dan Seremban. Jam 4 petang ribut melanda, hinggakan sebelum ini tak pernah hujan tempias di bilik belakang, ianya tempias meleleh di tingkap belakang.

Mulanya angin kencang bertiup dari arah kiri ke kanan rumah. Selepas itu diperhatikan pula arah angin berpusing 180 darjah dari kanan ke kiri pula. Guruh dan petir berdentum, kilat sabung menyabung. Deruan hujan begitu kuat. Hampir Asr hujan mula reda. Lalu saya pergi ke surau sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Hujan masih turun tetapi tidak lebat. Khemah di surau roboh akibat ribut. Surau Alamanda Alhamdulillah tiada kerosakan. Diperhatikan beberapa batang pokok tumbang. Keesokan harinya laporan akhbar mengatakan ribut tadi mendatangkan kerosakan yang agak teruk sekitar Senawang dan Seremban. Dan ada yang mengatakan angin puting beliung melanda.

Malam sebelum kejadian Dato Hj Arshad bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah NS menyampaikan Kuliah Feqah di Surau Alamanda, bab nikah kahwin, perceraian dsbnya. Pada akhir kuliah beliau memberitahu segala bencana alam yang berlaku sekarang ini adalah bala dan ada sebab dan hikmahnya. Semua harta yang ada pada kita ini milik Allah dan akan ditanya kelak katanya. Kereta yang kita beli adakah kita gunakan jalan yang betul. Kalau hujan adakah kita ke surau menaiki kereta, atau sayang nak pakai kereta pergi surau bila hujan kerana kereta baru dibasuh.

Kata-kata Us Arshad malam tersebut terngiang-ngiang apabila menyaksikan kemusnahan depan mata akibat ribut yang melanda Seremban pada 8 April 2006, tarikh yang sama kami sekeluarga dikunjungi tetamu yang amat istimewa.

Hiburan Punca Melayu Mundur - Kenyataan MT UMNO

Mingguan Malaysia 9 Apr 2006 - Melayu perlu kurangkan hiburan

PEKAN 8 April - Orang Melayu diingatkan supaya mengurangkan aktiviti yang menjurus kepada hiburan yang tidak berfaedah kerana ia boleh menyebabkan mereka merempat di tanah air sendiri.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, pengaruh hiburan yang melalaikan itu adalah salah satu punca kemunduran orang Melayu sehingga usaha kerajaan untuk membangunkan mereka menemui kegagalan.

Menurutnya, orang Melayu tidak boleh berasa selamat selama-lamanya kerana mendapat segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, sebaliknya perlu berusaha keras seperti kaum lain.

Katanya, orang Melayu mudah berasa selesa walaupun mereka sebenarnya tidak menguasai ekonomi dan bidang-bidang profesional yang lain.

``Sebaliknya orang bukan Melayu yang tidak menikmati kemudahan seperti itu sentiasa bekerja keras bagi mencapai kejayaan.

``Mereka sentiasa menanamkan `sifat' berasa tidak selamat berada di negara sendiri supaya kaum mereka sentiasa berusaha keras bagi menguasai semua bidang ilmu,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penerangan mengenai Cabaran dan Survival Bangsa anjuran UMNO Bahagian Pekan di Dewan Majlis Perbandaran Pekan, di sini hari ini.

Muhammad berkata, jika orang Melayu tidak memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup, menguasai ekonomi serta bidang-bidang utama yang lain, peluang-peluang tersebut akan `dirampas' oleh orang bukan Melayu.

Katanya, pada masa ini, orang Melayu mungkin tidak begitu melihat keperluan menguasai ilmu dan ekonomi tetapi kesannya akan ditanggung oleh generasi masa depan.

``Kemakmuran negara pada tahun 2020 akan dinikmati oleh bangsa bukan Melayu walaupun mereka ini sebenarnya tidak mendapat bantuan dan manfaat secara langsung daripada kerajaan sebelum ini,'' kata Muhammad Taib.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0409&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_05.htm&arc=hive

20060408

Kuliah Ilmu Dato Ishak Baharom 29 April Seremban

Siri Kuliah Pengajian Tafaqquh Fid Din – Siri 3

Bersama : Yg Bhg Dato Hj Ishak Baharom
Tajuk : Uslub Ad-Dakwah
Tarikh : Sabtu 29 April 2006
Masa : 8 pagi – 12 tgh
Tempat : Dewan Kuliah, Sekolah Agama Rakyat Gedung Lalang 162, Ampangan, Seremban

Anjuran : Pusat Pendidikan Islam At-Tibyan, Seremban

Yuran Pendaftaran : RM10 (tidak perlu jika telah hadir siri sebelumnya
Yuran kuliah : RM 40
Jamuan ringan, fail dan kertas kerja akan disediakan

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Ust Abd Ghani 012 6761187
Ust Fuad 019 3941353
Sdr Fahri 012 2589637
Tel/ Faksimili Pejabat : 06 6796258