Hujung minggu sedang ku rehat di ruang tamu rumah ku, kedengaran bunyi orang beri salam di luar. Ketika itu hujan sedang turun agak lebat. Rupanya 2 orang jiran ku dari jalan 1.
Saya pun tanya apa halnya ni ? Abg Omar kata projek pembentungan berpusat belakang rumahnya yang mula hampir setahun sudah buat hal lagi. Kali ni katanya kontraktor telah melepaskan air kumbahan IWK dari Taman Satria terus ke anak sungai belakang rumahnya. Dia kata benda ni berlaku 2 minggu sudah sehingga ke hari ini. Setiap kali hujan pasti baunya menusuk kalbu dan rupanya jangan cakaplah.
Saya pun kata pada abg Omar dan jiran seorang lagi. Abang pergi Balai Polis Bandar Baru Senawang dan buat laporan polis. Supaya mudah kita nak ajukan masalah ini ke pihak berkaitan, kontraktor, Jabatan Alam Sekitar, Menteri Besar (yang baru-baru ini dipertanggungjawabkan oleh kerajaan pusat untuk menjaga kesucian sungai).
Selang beberapa hari Pengerusi Surau dan Taman pun membuatlah aduan bertulis difakskan kepada kontraktor, Jabatan Alam Sekitar, Menteri Besar, IWK, JPS dan MPS.
Keesokan harinya kontraktor dan IWK menalipon Pengerusi Surau (Ustaz Aimi) untuk bertanyakan lebih lanjut masalah berkenaan dan berjanji akan menyiasat dan mengambil tindakan.
Kesimpulannya rakyat mesti ambil peduli apa yang berlaku disekeliling mereka. Jangan jadi macam bangau atau jadi macam katak bawah tempurung. Ada masalah, dibincang bersama. Ajukan masalah tersebut kepada pihak yang berkenaan. Laporan media hanyalah langkah terakhir sekiranya semua pihak tidak melayan aduan kita.
Janganlah nak harapkan wakil rakyat, pengarah jabatan, EXCO untuk turun padang. Sebab terlalu banyak masalah rakyat yang perlu diambil peduli. Rakyatlah yang perlu ubah sikap, bersikap proaktif, bersatu hati untuk menyuarakan masalah mereka. Kita sudah ada pelbagai saluran untuk mengadukan masalah kita kepada pihak yang bertanggungjawab, samada melalui on-line, surat menyurat, fax dan sms.
Sebarang masalah disekitar tempat kita ada jalan penyelesaiannya jika kita ambil peduli. Tapi kalau kita berpeluk tubuh harapkan pengerusi surau atau taman , harapkan pengerusi JKKK, harapkan ketua cawangan, harapkan wakil rakyat dan sebagainya, alamatnya kena tunggu wakil rakyat kawasan kita meninggal dunia barulah kawasan kita akan menjadi tumpuan negara ataupun kena tunggu menjadi bahan berita utama dalam akhbar atau TV.