KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070616

Ustaz Akhil Hayy , Otai , Nazrey , Utusan

Nazrey antara album dan motivasi
Utusan Malaysia 15 Jun 2007. SEJAK menganggotai kumpulan Raihan pada tahun 1997, Nazrey Johani hanya menumpukan perhatiannya terhadap bidang nyanyian semata-mata.

Bagaimanapun selepas keluar daripada Raihan pada tahun lalu, penyanyi yang berasal dari Ranau, Sabah ini mula berjinak-jinak dalam bidang motivasi.

Selain bergelar penyanyi solo, Nazrey juga kini dikenali sebagai motivator bebas dan banyak berceramah di merata-rata tempat.

Menurut penyanyi berusia 36 tahun ini, dia mengambil peluang mempromosikan album solo pertamanya berjudul Syahadah semasa mengadakan program tersebut.

“Cara ini amat bagus kerana saya dapat bertemu terus dengan para peminat saya. Walaupun cara ini dianggap promosi untuk traditional market (pasaran tradisional) tetapi ia berkesan.

“Melalui cara itu, saya dapat menjual terus album saya kepada mereka (peminat),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program Sembang-Sembang Bersama 2 Otai di kilang Shin Etsu, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pada program motivasi untuk para pekerja kilang elektronik tersebut, Nazrey bersama bekas vokalis kumpulan rock D’Riyadh iaitu Akhil Hayy turut sama menjayakannya.

Syahadah yang diterbitkan oleh Inteam Records itu memuatkan 10 lagu ciptaan Nazrey dan sudah berada di pasaran sejak 7 Jun lalu menampilkan konsep irama nasyid universal.

“Konsep irama yang saya ketengahkan ini berbeza dengan konsep muzik Raihan yang lebih ke arah nasyid kontemporari.

“Selain itu, saya turut berduet dengan Akhil menerusi lagu Suara Hidayah. Ini sebagai satu tarikan untuk menarik lebih ramai pendengar.

“Apatah lagi saya dan Akhil masing-masing mempunyai peminat yang tersendiri,” ujarnya yang memeluk Islam pada tahun 1983 .

Akhil Hayy yang ditemui selepas mengadakan program motivasi tersebut berbangga apabila diberi peluang berduet dengan penyanyi nasyid tersohor itu.

Jelasnya melalui peluang itu, dia dapat menambah bilangan peminatnya selain berganding bahu menjayakan program-program motivasi pada masa depan.

“Kebetulan saya juga salah seorang peminat Nazrey. Apabila Nazrey menjemput saya berduet saya menerimanya dengan gembira.

“Ini kerana, kini saya bersama Nazrey menjayakan program-program motivasi seperti ini sambil mempromosikan album masing-masing,” katanya yang baru muncul dengan album solo pada hujung tahun lalu.

Selepas memberi motivasi yang dipengerusikan oleh Pegawai Keselamatan Kanan Shin Etsu, Mohd. Sani Hassan, Nazrey dan Akhil turut berduet menyanyikan lagu Suara Hidayah.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm