KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070828

Jabatan Agama NS Lancar Ops Merdeka !

Laporkan Maksiat di Tempat Anda ! Hubungi Hotline 24 Jam Pegawai Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan di talian 06-7672756 , 06-7672757
Harian Metro 28 Ogos 2007 - SEREMBAN: Golongan remaja di negeri ini yang cuba mengambil kesempatan menyambut kemerdekaan ke-50 pada 31 Ogos ini dengan aktiviti tidak sihat diberi amaran supaya melupakan hasrat itu kerana Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan melakukan operasi cegah maksiat secara besar-besaran.

Ini bagi memastikan tiada pihak yang cuba mencemarkan hari baik itu dengan aktiviti yang tidak sihat atau maksiat.

Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS berkata, operasi yang dirahsiakan masa dan lokasi itu akan membabitkan seramai 40 kakitangan penguat kuasa agama.

Menurutnya, mereka akan dibahagikan kepada enam kumpulan dan bergerak ke destinasi yang sudah ditetapkan terutama di kawasan tumpuan yang kerap berlaku aktiviti tidak sihat sama ada membabitkan warga tempatan ataupun dari luar negeri ini.

"Operasi khas ini bertujuan memastikan negeri ini tidak dijadikan tempat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan melakukan kegiatan maksiat seperti berkhalwat dan cubaan melakukan persetubuhan haram.

"Kita sudah menyediakan anggota terlatih untuk membanteras kegiatan maksiat kerana sejak kebelakangan ini aktiviti itu masih berleluasa termasuk membabitkan kalangan remaja," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu ada pihak yang cuba bertindak mencemarkan suasana meriah sambutan jubli emas kemerdekaan negara dengan aktiviti bertentangan dengan agama serta mencemarkan nama baik negeri.

Jurucakap itu berkata, kemungkinan antara lokasi tumpuan dalam operasi itu ialah pantai Port Dickson, Nilai, Senawang dan di beberapa kawasan taman rekreasi serta perumahan.

"Berdasarkan rekod sebelum ini, kawasan terbabit kerap berlaku kegiatan tidak sihat membabitkan pasangan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim.

"Malah berpandukan rekod operasi mencegah maksiat yang dijalankan mendapati golongan remaja tidak ketinggalan terbabit dalam aktiviti itu," katanya.

Beliau berharap kerjasama orang ramai supaya melaporkan kepada JHEAINS jika terdapat sebarang aktiviti maksiat berlaku di kawasan mereka

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/38919/Article/index_html