KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070831

Khalifah Merdeka selit hadis Rasulullah dalam lagu

(Tahniah kepada Mu’adz, cucu warga Rembau) Utusan Malaysia 31 Ogos 2007. SEBELUM ini, pernahkah anda mendengar hadis pemimpin ulung, Rasulullah s.a.w dilagukan?. Penyanyi syarikat rakaman Nature Record, Mu’adz Dzulkefly, 28, mencetus revolusi terkini apabila albumnya, Al-‘asr...a moment, menyelitkan hadis Rasul junjungan dalam setiap 10 buah lagu yang dinyanyikan.

Percaya atau tidak, album Al-‘asr...a moment juga merupakan album yang pertama di dunia mengaplikasikan hadis sebagai lirik lagu.

Mu’adz yang juga bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), turut mempertaruhkan lagu Khalifah Merdeka sempena bulan kemerdekaan negara untuk membangkitkan lagi semangat juang dan patriotik rakyat negara ini melalui nyanyiannya.

“Saya katakan lagu Khalifah Merdeka dipertaruhkan sempena bulan kemerdekaan kerana secara umum mesejnya mengajak setiap individu memerdekakan diri daripada setiap kejahatan dan kemungkaran.

“Saya cuba menyampaikan mesej itu kerana kita sebagai manusia perlu bergerak kehadapan untuk memerdekakan diri,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Lagu Khalifah Merdeka kini sering diputarkan di corong-corong radio malah pernah memegang gelaran juara carta radio Penang FM kategori irama nasyid.

Hadis yang dimuatkan dalam lagu Khalifah Merdeka adalah petikan dari hadis riwayat Al-Bukhari.

Lagu tersebut dicipta dan ditulis liriknya oleh Abdul Naser Abdul Rahman (Xifu Naser) dan diterbitkan olah Dak Mie.

Menurut Mu'adz lagi, mereka juga adalah komposer yang terlibat secara langsung dalam pembikinan album Al-'asr...a moment.

Pemegang ijazah perundangan dari UIAM itu memberitahu, album yang berkonsepkan hadis sebagai lirik itu mendapat sambutan yang menggalakkan dan kini sudah dicetak sebanyak 2,500 unit.

Sementara itu, antara pemuzik yang terlibat dalam album Al-‘asr...a moment ialah Eddie Marzuki, Hilary Ang (Search), Sham (Kamikaze) dan Ramli (Mohram).

Xifu Naser ketika diminta mengulas mengenai lagu Khalifah Merdeka berkata, lagu tersebut menceritakan tentang peranan dan hala tuju manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

“Secara tidak langsung, ia mengajar manusia sejagat memerdekakan diri dari kesesatan dan sebarang bentuk penindasan,” kata komposer dan juga penulis lirik Khalifah Merdeka.

Album tersebut memuatkan tiga bahasa iaitu Melayu, Arab dan Inggeris dalam setiap lirik yang dihasilkan.

Menurut Xifu Naser, percampuran tiga bahasa itu adalah persediaan bagi memenuhi pasaran global dan ia juga sebagai langkah mempromosikan lagu-lagu dakwah kepada seluruh masyarakat dunia.

Mu’adz ketika diminta mengulas mengenai percampuran tiga bahasa dalam albumnya itu berkata, ia adalah bagi memudahkan pemahaman dan penerimaan masyarakat terhadap apa yang cuba disampaikan.

“Bagi saya pemahaman adalah penting. Jika masyarakat mendengar dan dapat menghafal 10 lagu dalam album saya bermakna mereka juga telah menghafal 10 hadis Rasulullah s.a.w.,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm