Adakalanya terasa bangga bila mendengar kata-kata mengangkasakan bangsa. Bangsa Melayu, Bangsa Malaysia dan sebagainya.
Kita cakap benda yang canggih-canggih, akan tetapi perkara yang asas diambil mudah. Terutamannya aspek kebersihan dan alam sekitar. Bak kata Menteri Alam Sekitar kita baru-baru ini mengenai kurangnya keprihatinan kita mengenai alam sekitar.
Mudah saja, tanya diri kita sendiri. Adakah kita mengamalkan amalan kitar semula ? Kalau ya, adakah kita mengajar anak-anak kita untuk kitar semula ? Kemudian tanya pada diri kita , adakah kita membuang plastik gula-gula apabila menaiki kereta di luar tingkap kereta, atau menyediakan bekas sampah dalam kereta ? Kalau ya, adakah kita mengajar anak-anak kita perkara yang sama ?
Masih ingat lagi Kempen Kitar Semula yang dijalankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ? Tong biru untuk kaca, tong oren untuk kertas, tong coklat untuk tin aluminium, keluli dan plastik ? Gambar berikut saya ambil di salah satu tempat kitar semula di stesen minyak sekitar Senawang. Tong kitar semula atau tong sampah ?
Jangan nak menuding jari pada sesiapa, jangan nak menuding jari pada kerajaan. Tanya dulu diri kita sendiri, adakah kita mengitar semula sampah di rumah kita, di pejabat kita ?
Yang saya nampak ada mengamalkan kitar semula ialah makcik-makcik dan pakcik-pakcik berbangsa Cina, pada hujung minggu apabila saya lalu di Dataran Senawang, mereka ini akan mengumpul kertas, tin, botol arak untuk di kitar semula. Mereka ini bukannya tidak ada duit, mereka ini bukannya bertenaga sangat. Tetapi mereka nampak jika dibiarkan ianya satu pembaziran. Di samping itu mereka dapat mengeluarkan peluh sambil berjogging.
Tolonglah selamatkan negara kita ini. Tolonglah kitar semula. Jangan tunggu orang lain buat baru kita nak buat. Jadikan ianya amalan keluarga kita, amalan anak-anak kita, amalan emak, ayah dan datuk nenek kita.
Kalau untuk orang Islam pula, jadikan ianya sebagai amal ibadah. Kita mengharapkan keredhaan Allah kerana Islam menekankan aspek kebersihan dan penjagaan alam sekitar.