KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080130

Kesian Tengok Polis Trafik di Malaysia

Kesesakan jalanraya adalah perkara biasa di kebanyakkan bandar di Malaysia ini, terutamanya waktu puncak, waktu pagi, waktu orang pergi kerja, waktu pelajar ke sekolah.

Contohnya seperti di Seremban, iaitu di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Ampangan. Kesian juga tengok polis trafik yang berdiri di tengah jalan. Menjadi sasaran maki hamun dalam hati pengguna jalan raya. Bukan itu saja, kesian juga tengok polis trafik ini, berhadapan dengan risiko dilanggar oleh kenderaan yang mengejar lampu isyarat, juga terpaksa berdiri lama di tengah persimpangan jalanraya menghidu asap karbon monoksida.

Manakan tidak bahayanya polis trafik tadi, lampu isyarat berwarna hijau, akan tetapi polis trafik di tengah-tengah simpang memberi arahan kenderaan dari arah bertentangan untuk teruskan pemanduan. Kalau pada sebelah pagi, sebelum masuk sekolah, yang paling teruk dan panjang kesesakan ialah kenderaan dari Paroi hendak menuju ke bandar Seremban.

Apa yang hendak dimarahkan polis tadi, mana dia hendak nampak, dari arah mana kenderaan banyak berpusu-pusu.

Justeru itu pihak yang bertanggungjawab , haruslah memikirkan bagaimanakah caranya untuk mengatasi kesesakan jalanraya di persimpangan lampu isyarat untuk mengurangkan risiko kemalangan samada di pihak polis mahupun pengguna jalanraya.

Antara pendekatan yang boleh diambil ialah mempastikan bahawa lampu isyarat di persimpangan yang terlibat hendaklah ditetapkan kawalannya berkelip pada lampu berwarna kuning. Dengan ini kenderaan dari semua arah akan lebih berhati-hati apabila sampai di persimpangan tersebut. Para pengguna jalanraya tidak akan teragak-agak samada untuk mematuhi lampu isyarat atau mematuhi arahan polis.

Pendekatan seterusnya ialah dengan memberi kemudahan kepada pihak polis mengawal lalulintas di persimpangan lampu isyarat secara kawalan jauh (remote control). Di sesetengah negara maju, sistem ini telah lama digunakan. Bahkan ianya digunakan oleh pasukan bomba di negara tersebut untuk mempastikan laluan bomba yang dalam perjalanan ke sesuatu tempat kecemasan, lampu isyaratnya sentiasa berwarna hijau. Sistem kawalan jauh ini juga sesuai digunakan apabila mengiringi pembesar-pembesar negara, dengan itu tidak perlu menggunakan begitu ramai anggota polis trafik untuk membawa pembesar-pembesar negara.

Malah untuk lebih memudahkan kerja, boleh juga difikirkan untuk memasang CCTV di persimpangan lampu isyarat yang sering mengalami kesesakan lalulintas. Dengan ini lampu isyarat di persimpangan yang terlibat boleh di kawal secara kawalan jauh dari bilik kawalan.

Dapatkah kita di Malaysia melakukannya ? Boleh jika semua pihak bekerjasama, pakar kejuruteraan trafik membuat kertas kerja, kontraktor yang jujur melakukan tugas pemasangan dan penyenggaraan yang terbaik, dan kerajaan memberikan bajet yang secukupnya.

Kebanyakkan sistem yang diketengahkan tadi tidak memakan kos yang tinggi kerana ianya mudah didapati di pasaran negara maju. Tak percaya klik sini http://www.intelligentsignals.com/Products.htm#rctl