KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060102

Komunis Cuba hantar 2600 doktor bantu Pakistan, tapi Malaysia ….

Berita Harian 2 Jan 2006
Amal Malaysia selami penderitaan
Oleh Kusyi Hirdan

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Rencana/20060101230039/Article/

HAMPIR 80 peratus daripada Balakot musnah dan boleh dikatakan tidak ada bangunan atau rumah yang tidak terkecuali. Masjid, pejabat, rumah kedai dan sekolah rata menyembah bumi. Semua hancur akibat gempa bumi pada 8 Oktober 2005.

Malah, ketika saya bersama misi kemanusiaan Amal Malaysia tiba di wilayah itu 19 Disember lalu, cuaca cukup sejuk mencecah negatif tujuh darjah selsius. Keadaan mungkin bertambah parah apabila tiba musim salji dan hujan awal bulan ini.

Gempa bumi yang melanda beberapa wilayah di Asia Selatan itu sehingga kini sudah meragut nyawa lebih 87,000 rakyat Pakistan, selain memusnahkan kediaman lebih 3.5 juta penduduk.

Di sekitar khemah Hassa yang dulunya kolej kerajaan, hanya papan hitam teguh berdiri, tetapi sekelilingnya hancur. Begitu hebat kuasa Allah dan petanda betapa kerdilnya kita. Baru sedikit digegar-Nya, padang jarak padang tekukur jadinya.

Dalam kesejukan itu, saya hanya mampu berdoa semoga tidak ditimpa demam atau sakit kerana jika ada yang ditimpa sakit, bagaimana dengan misi kemanusiaan kami? Paling penting, saya tidak mahu menyusahkan ahli kumpulan lain.

Sebenarnya, ini kali kedua saya mengikuti rombongan misi kemanusiaan Amal Malaysia. Pertengahan tahun lalu, saya menyertai rombongan perubatan ke Meaulaboh, Aceh, selama seminggu, membuka klinik bergerak di kem dan juga masjid.

Ketika itu, saya menyaksikan bagaimana doktor lebih banyak bertindak sebagai kaunselor kepada mangsa tsunami yang masih trauma walau sudah tujuh bulan bencana berlalu. Kebanyakan pesakit mahu meluahkan penderitaan yang terpendam.

Misi Amal Malaysia ke Pakistan antara 19 hingga 29 Disember lalu membabitkan lapan orang, termasuk doktor, paramedik dan sukarelawan yang ada di antaranya guru serta jurutera.

Kami tiba di Lahore pada 19 Disember dan terus ke Rawalpindi untuk bermalam. Keesokannya barulah ke Balakot. Perjalanan merentas tanah tinggi mengambil masa tujuh jam. Pergunungan di kiri kanan bukan saja gondol, malah kering dan berdebu.

Balakot adalah wilayah yang mempunyai ramai rakyat termiskin, tinggal di pedalaman di kawasan kaki atau lereng bukit.

Tragedi gempa bumi itu membuatkan mereka hilang tempat tinggal dan kesusahan yang sedia ada menjadi berganda. Jika dulu ada tempat berteduh ala kadar, kini hanya tinggal di khemah. Jumlah sebenar kematian di Balakot masih tidak dapat ditentukan. Kerajaan tempatan menganggarkan lebih 20,000 nyawa terkorban.

Amal Malaysia membawa wang derma dari rakyat Malaysia yang prihatin. Selain Kem Hassa, kami juga menghantar derma ke kem-kem lain yang memerlukannya seperti di Muzafarabad, ibu negeri Kashmir.

Setiap kali bertemu penduduk tempatan dan melihat kesan tragedi itu, urus setia kem pasti mengalirkan air mata kerana kami membawa sumbangan dan doa rakyat Malaysia dan keadaan ini sungguh mengharukan mereka. Mereka tidak menyangka rakyat Malaysia begitu pemurah.

Ketika di Kem Hassa, kami bertemu Dr Farah Haider, warga Pakistan yang sudah berhijrah ke Leeds, England. Beliau pulang selama seminggu semata-mata kerana mengetahui betapa masyarakatnya sangat memerlukan doktor wanita.

Wanita di pedalaman seperti Balakot hanya bertemu doktor lelaki jika keadaan betul-betul memaksa. Jadi Farah berasa ini tanggungjawab yang harus dilakukannya.

Selain Farah, ada lapan lagi doktor Pakistan, lima doktor Cuba yang merawat antara 100 hingga 200 pesakit sehari.

“Saya memang patut pulang membantu kerana ini negara saya. Tetapi saya tidak faham kenapa kamu semua sanggup datang beribu-ribu batu hanya untuk menjadi sukarelawan! Saya pasti kamu tentu mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli tiket penerbangan,” katanya.

Farah turut kagum dengan penyertaan dua jurutera wanita, Sofhia Rahim dan Nurhaniza Zubir, masing-masing 26 tahun dan guru tadika, Aminah Gama, 45, yang menyertai pasukan sukarelawan berkenaan demi untuk membantu sesama Islam. Ternyata ikatan agama menjadikan tiada sempadan yang boleh memisahkan.

“Bukan hanya Dr Farah yang bertanya, malah ada rakyat Malaysia sendiri mempertikaikan kenapa kami sibuk-sibuk membantu orang Pakistan sedangkan di negara sendiri, ramai lagi orang miskin.

“Tapi jawapan kami mudah. Orang Malaysia pun kami bantu juga jika tahu tenaga kami diperlukan. Bukan kami tutup mata pada penderitaan orang sendiri,” kata Nurhaniza yang tidak kenal penat ketika di Kem Hassa.

Beliau bersama anggota Amal Malaysia lain membersihkan wad hospital di kem berkenaan, membeli dan mengganti cadar serta bantal dan mengemaskannya supaya lebih bersih dan teratur.

Sememangnya, Kem Hassa memerlukan ‘sentuhan wanita’ kerana semua sukarelawan Pakistan sedia ada adalah lelaki dan tidak begitu menitikberatkan kekemasan dan kebersihan wad.

“Memang kami ada membawa bersama sumbangan wang, tetapi rasanya kami juga mahu menyumbang tenaga. Oleh kerana kami bukan doktor atau jururawat, kami tidak boleh membantu merawat pesakit. Jadi kami melawat khemah dan memberikan sumbangan sekadar mampu.

“Ternyata ada yang tidak punya stokin serta sarung tangan dan terpaksa menahan kesejukan yang mencengkam. Kami juga melawat sekolah dan memberi mereka buku nota dan alat tulis,” kata Nurhaniza.

Selama seminggu berkampung di Kem Hassa, sukarelawan Amal Malaysia berharap sekurang-kurangnya sumbangan mereka itu dapat menggembirakan hati mangsa gempa walau menghadapi kesukaran memahami bahasa.

“Apabila diberitahu kami dari Malaysia, ramai yang memeluk dan mengucapkan terima kasih. Ternyata nama Malaysia cukup dikenali,” kata Aminah yang boleh berbahasa Urdu dan bertindak sebagai jurubahasa dalam kumpulan kami.

Namun jumlah sukarelawan Malaysia terlalu kecil jika dibandingkan pasukan dari Cuba yang meliputi 2,600 doktor. Mereka sudah berkampung di Pakistan sejak tiga hari selepas bencana itu