KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060123

Rumah ibadah berperanan mewujudkan negara harmoni

Episod penghantaran dan penarikan balik memorandum meminda artikel 121 1(a) Perlembagaan Persekutuan oleh menteri-menteri kabinet bukan Islam telah mendebarkan semua pihak. Sudah pasti semua rakyat Malaysia ingin hidup dalam keadaan aman dan harmoni di dalam sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai lapisan agama dan bangsa.

Ianya menggambarkan bahawa masih terdapat jurang kefahaman antara agama dan bangsa di Malaysia ini. Justeru itu rumah-rumah ibadah antaranya masjid-masjid, kuil-kuil serta gereja-gereja seharusnya memainkan peranan untuk memberikan pemahaman kepada penganut agama masing-masing betapa peri pentingnya rakyat Malaysia ini harus hormat menghormati antara satu sama lain.

Sekiranya selama ini kerajaan begitu efisien mengawal serta memantau masjid-masjid serta pendakwah-pendakwah Islam yang memberi ceramah agar tidak mencampur adukkan politik dan agama yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia ini. Maka perkara yang sama haruslah diberi penekanan dan pemantauan kepada rumah-rumah ibadah yang lain, agar sami-sami, paderi-paderi , penceramah-penceramah bukan Islam tidak memberikan ceramah yang boleh membawa kepada perpecahan antara rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.

Sekiranya selama ini teks-teks khutbah Jumaat sentiasa dipantau dan diteliti oleh pihak berkuasa agama serta Majlis Agama Islam Negeri maka perkara yang sama haruslah dilakukan agar teks-teks khutbah serta ceramah agama lain sentiasa dipantau dan mendapat kelulusan kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malah tidak keterlaluan jika kerajaan mengambil inisiatif supaya diadakan perhimpunan tahunan imam-imam masjid, sami-sami dan paderi-paderi, dimana dalam perhimpunan ini diberi penerangan kepada ketua-ketua agama ini dimana mereka ini memainkan peranan yang penting untuk membentuk pengikut-pengikut agama masing-masing yang mempunyai sikap bertoleransi dalam agama, bukannya bersikap mengapi-apikan sentimen keagamaan dikalangan penganut –penganut agama mereka.

Ini adalah kerana imam-imam, sami-sami serta paderi-paderi adalah orang yang sentiasa menjadi tempat rujukan penganut-penganut pelbagai agama. Mereka-mereka inilah sebenarnya yang dapat membentuk masyarakat disekeliling mereka samada untuk menjadi masyarakat yang pasif, agresif, ofensif atau bertoleransi. Malah mereka ini jugalah yang menjadi sumber rujukan pihak pimpinan masyarakat dan pimpinan politik.