KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060101

Yang berjudi orang Melayu, bukan orang Cina

Pagi Sabtu 31 Disember 2005, hari terakhir tahun ini, saya bergegas ke bank di Senawang untuk mengeluarkan duit dari ATM. Hampa, mesin ATM semuanya tidak dapat mengeluarkan duit, lalu saya bergegas ke bandar Seremban meredah kesesakan bandar Seremban, pun di Seremban saya mengalami nasib yang sama, semua mesin ATM tidak dapat mengeluarkan duit. Nasib baik buku bank dibawa bersama lalu saya mengambil nombor. Sementara menunggu giliran saya mencari tempat duduk yang sesuai. Lalu ada satu tempat duduk yang kosong di sebelah seorang pakcik berbangsa Cina.

Melihatkan nombor giliran masih lama, saya pun menegur pakcik tadi. Katanya dia juga dari Senawang, hendak keluar duit ATM Senawang juga tidak dapat, lalu dia datang ke Seremban. Saya fikirkan pakcik ini usianya sudah lanjut pastinya hanya duduk rumah dengan wang pencen atau wang simpanan. Sangkaan saya meleset, pakcik tadi memberitahu umurnya 66 tahun, dan masih bekerja di sebuah kilang di Senawang. Dia telah bekerja di kilang yang sama sejak 30 tahun yang lalu sebagai mesin operator.

Lalu saya bertanya mengenai keluarga beliau. Pakcik tadi mempunyai empat orang anak lelaki, semuanya mendapat pendidikan di kolej dan universiti dan telah bekerja dalam bidang professional. Tiga orang anak lelakinya bekerja di Kuala Lumpur, sementara seorang yang telah berkahwin bekerja di Senawang.

Nombor giliran masih lama, saya menunjukkan nombor giliran saya , nombornya ialah 88, saya mengusik pakcik tadi nombor 88 ramai yang suka. Pakcik tadi terus berkata dia tak main nombor-nombor. Puas saya fikir nombor apa, rupanya pakcik tadi katakan beliau tidak pernah bermain nombor ekor atau berjudi. Malu rasanya bila pakcik Cina yang beragama Buddha tadi berkata beliau begitu benci dengan judi nombor ekor, walhal ramai orang Melayu yang beliau kenal di tempat kerjanya dan di pekan Senawang yang sampai ketagih melanggani dua kedai ekor yang terdapat di pekan Senawang ini.

Pakcik tadi kata main judi tak ada kayanya, dengan sikap beliau yang berjimat cermat hanya sebagai mesin operator dan menggunakan motosikal yang sama sejak 30 tahun lalu beliau dapat membesarkan empat orang anak lelaki beliau menjadi orang yang berjaya. Malah menurut pakcik tadi semua anaknya tidak berjudi, tidak suka minum arak dan tidak menghisap rokok. Lalu saya berkata dalam hati saya macamana saya hendak menerangkan kepada pakcik ini kebaikan agama Islam jika perangai orang Islam terutamanya orang Melayu lebih teruk daripada perangai orang bukan Islam. Sementara orang Islam yang baik perangainya pula tidak bergaul mesra dengan orang bukan Islam.

Malah apa yang begitu menyentuh perasaan saya ialah apabila pakcik tadi kata ketiga-tiga anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur akan pulang menziarahi ibu bapanya di Senawang setiap hujung minggu. Katanya anak-anak lelakinya sayangkan ibu mereka. Sedangkan anak-anak Melayu kita yang bekerja di Kuala Lumpur ada yang balik menziarahi ibu bapa mereka hanya apabila menyambut Hari Raya.

Kemudian pakcik tadi bercerita lagi beliau tidak suka hisap rokok dan anak-anak beliau juga mengikuti jejak langkahnya tidak menghisap rokok walaupun anak-anak mereka yang berjawatan professional tersebut berkemampuan. Pakcik tadi kata sekotak rokok dah RM 6, kalau sehari dua kotak, dia boleh makan nasi dua kali. Pakcik tadi telah berjaya mendidik anaknya supaya tidak menghisap rokok tanpa perlu berbelanja berjuta-juta ringgit untuk Kempen Tak Nak Rokok. Sedangkan ada antara kita ayahnya yang hisap rokok marah anaknya menghisap rokok, gurunya yang menghisap rokok marah muridnya yang menghisap rokok. Mendengarkan cerita pakcik tadi terasa begitu cepat nombor giliran dipanggil.

Selepas selesai urusan dibank saya pun ke bengkel kereta untuk membaiki kereta. Sambil menunggu lain pula senarionya. Sepasang anak muda dengan kereta ala sportnya menghantar kereta untuk di “modify” pula. Menggeleng juga kepala saya melihat gelagat pasangan anak muda Melayu ini. Pasangannya dengan pakaian yang sendat dan seksi sementara yang lelakinya memakai subang ditelinga.

Anak muda begini kalau hendak dinasihat pasti mereka akan melenting. Lalu saya bertanyakanlah serba sedikit mengenai kereta, lalu anak muda tadi begitu seronok menceritakan mengenai spesifikasi kereta, kelab kereta tempatan yang beliau turut serta dan sebagainya.

Sementara itu saya perhatikan pekerja-pekerja di bengkel berkenaan semuanya belia-belia berbangsa Cina, yang saya rasa ada diantara mereka yang tidak tamat sekolah menengah pun, tapi bersungguh-sungguh melakukan kerja mereka serta nampaknya mereka mahir dalam tugas masing-masing.

Penghujung tahun 2005 kali ini membuatkan saya berfikir bahawa sekiranya semua pihak kenal mengenali antara satu sama lain tanpa mengenal erti batasan fahaman agama, fahaman politik, bangsa dan budaya, sudah pasti masyarakat Malaysia akan dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Untuk memulihkan remaja yang terjebak dalam Black Metal, penagihan dadah, seks bebas, gejala murtad dan sebagainya, kita mesti memahami dulu jiwa remaja tersebut. Sekiranya kita menjauhi diri kita daripada mereka, maka mereka akan terus tenggelam dalam bahagia yang singkat tapi derita selamanya. Memahami jiwa remaja tidak semestinya kita menukar hukum hakam yang telah ditetapkan. Yang halal tetap halal, yang haram tetap haram.

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, NS