Assalamualaikum,
Beberapa hari sudah saya ada menyiarkan kisah seorang makcik di Bahau , N.Sembilan yang dalam kesempitan hidup, berpisah dengan suami, tidak diberi nafkah, menyara hidup berniaga makanan, terpaksa meminjam dari “Along” untuk meneruskan perniagaan, menyara anak-anak, sewa rumah dan sewa gerai banyak tertunggak.
Semalam makcik tersebut Pn Zainah mengirim SMS mengucapkan terimakasih kepada mereka yang telah menghulurkan bantuan, ada yang secara langsung berjumpa dengan beliau. Beliau amat terharu , kerana tiada saudara mara yang mahu menolong, hanya mahu menyalahkan diri beliau.
Alhamdulillah, semua pertolongan tersebut adalah dengan izin Allah. Dibukakan pintu hati komuniti siber ini untuk membantu beliau.
Sebenarnya masih ramai lagi diluar sana yang memerlukan bantuan. Mungkin mereka saudara mara kita, mungkin mereka ini jiran kita, mungkin mereka ini orang kampung kita.
Kalau nak mengharapkan Pusat Zakat dan Pegawai Kebajikan Masyarakat mereka ini adakalanya terlalu banyak kerja. Ada antaranya hanya seorang pegawai zakat atau pegawai kebajikan masyarakat untuk memantau satu kawasan parlimen yang menjangkau puluhan atau ratusan ribu orang.
Tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan bantuan adalah tanggungjawab semua. Kalau kita tak mampu hendak membantu, kita sampaikanlah kepada mereka yang mampu, Baitul Mal, Kebajikan Masyarakat, dermawan, Jawatankuasa Masjid dan Surau. Ada sesetengah masjid mempunyai simpanan tabung mencecah beratus ribu ringgit dan jutaan ringgit, mengapa tidak tabungan beratus ribu ringgit ini digunakan untuk membantu peniaga kecil, bantuan pembayaran yuran pelajar dan siswazah.
Sekiranya semua pihak memainkan peranan, insyaAllah, akan turun keberkatan, masyarakat aman dan harmoni, terhindar segala penyakit sosial, akidah dan masyarakat.
Sekiranya kita tidak mampu langsung untuk membantu atau kenal sesiapa untuk membantu, setidak-tidaknya kita berdoa , bermunajjat kepada Allah swt agar mereka yang memerlukan bantuan tadi dipermudahkan dari beban tanggungan mereka dan mereka diberi taufik dan hidayah.
Wassalam.