KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080201

JOM CEGAH PENCULIKAN KANAK-KANAK

APAKAH RISIKO KANAK-KANAK DICULIK ?

Kanak-kanak tanpa mengira umur dari bayi hinggalah ke peringkat remaja boleh diculik di mana sahaja oleh sesiapa sahaja.

Antara tempat boleh berlaku penculikan ialah seperti taman permaianan, pusat membeli belah, pasar malam , cybercafe , luar kawasan sekolah, di halaman rumah malah di perkarangan tempat ibadah seperti masjid dan kuil.


SIAPAKAH YANG TERBAIK UNTUK MELATIH ANAK-ANAK ?

Ibu bapa adalah mereka yang terbaik untuk mengajar anak-anak langkah-langkah pencegahan dari menjadi mangsa penculikan.

Ketahui aktiviti harian anak-anak anda, di mana dia bermain, berjalan-jalan dan sebagainya dan dengan siapa.


APA YANG ANDA PERLU AJAR ?

Beritahu anak-anak anda supaya sentiasa berhati-hati dan sentiasa pentingkan keselamatan diri.

Pastikan anak-anak memberitahu ke mana dia hendak pergi, sekiranya ada perubahan rancangan hendaklah diberitahu segera. Ajar anak-anak anda untuk meminta izin untuk pergi ke mana-mana luar dari rumah.

Anak-anak mesti tahu nama penuh mereka, nombor talipon rumah dan ibu bapa mereka, dan talian kecemasan 999 atau Talian NUR 15999 atau balai polis berhampiran. Pastikan anak anda tidak bermain dengan talian kecemasan.

Paparkan dengan jelas maklumat ini di rumah anda.

Latih anak-anak menggunakan talipon bimbit, talipon rumah dan talipon awam.

Sekiranya anda mempunyai pembantu rumah pastikan mereka boleh dipercayai dan anda mempunyai salinan lengkap butiran peribadi pembantu rumah anda

Sentiasa berhubung dengan jiran anda sekiranya anak-anak anda ada di rumah jiran anda.

Jangan tinggalkan anak-anak sendirian di pusat membeli belah, panggung wayang, cybercafe atau taman permainan.

Beritahu anak anda jangan sekali-kali melayan orang yang tidak dikenali yang ingin bertanyakan arah jalan atau sesuatu.

Jangan tinggalkan anak anda bersendirian di dalam kereta.

Jangan benarkan anak-anak mendekati kenderaan yang pemandu atau penumpangnya mereka tidak kenali.

Pastikan anak-anak memberitahu anda sebelum menerima sebarang pemberian hadiah , makanan, minuman walaupun dari orang yang mereka kenali.

Pastikan anak-anak anda tidak menerima sebarang pemberian hadiah , makanan, minuman dari orang yang mereka tidak kenali.

Apabila di rumah pastikan pintu rumah sentiasa dikunci.

Jika ada panggilan talipon dari mereka yang tidak dikenali bertanyakan ada sesiapa di rumah suruh mereka letak talipon segera.

Jangan biarkan anak anda membuka pintu atau tingkap rumah sekiranya ada sesiapa yang tidak dikenali mengetuk pintu walaupun mereka mengenalkan diri mereka sebagai anggota polis, bomba dan sebagainya.


KESELAMATAN PERJALANAN KE SEKOLAH

Kenal pasti laluan anak-anak ke sekolah dan beritahu mereka tempat yang mempunyai risiko untuk dielakkan seperti lorong sunyi, rumah tinggal dan sebagainya.

Pastikan anak-anak pergi ke sekolah dengan kawan yang anda kenali samada berjalan kaki, menunggang basikal, menunggu bas atau menaiki bas sekolah

Ajar anak anda untuk menjerit seperti “Tolong, Ini bukan ayah saya atau Ini bukan ibu saya”, sekiranya mereka sudah mula hendak diculik, ditarik dalam kereta atau berada dalam pengangkutan awam.


REKOD ANAK-ANAK ANDA

Sentiasa simpan butiran peribadi terkini anak-anak anda termasuk cop jari mereka dan contoh DNA mereka jika ada kemudahan tersebut

Ambil gambar warna anak anda setiap enam bulan

Simpan rekod perubatan anak anda, terutama rekod pergigian