KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080713

Penyokong bolasepak N.Sembilan tidak professional

Baru-baru ini pertama kali saya menonton perlawanan bolasepak siri Piala Malaysia antara pasukan N.Sembilan dan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman , Paroi , Seremban. Pertama kali sebab anak lelaki yang bongsu berumur 8 tahun beria-ia benar mengajak saya dan 3 orang abangnya menonton bolasepak secara langsung di stadium. Sebelum ini mereka hanya menonton di kaca televisyen.

Saya bukanlah peminat tegar bolasepak, tetapi meminati menontonnya sekiranya ada masa lapang, minat menonton “skill” pemainnya dan srategi , taktikal yang diatur oleh jurulatihnya.

Kami masuk stadium agak lewat, sekitar jam 9:10 malam. Penyokong Negeri Sembilan berada di seberang “grand stand”, sementara penyokong Selangor berada di sebelah “grand stand” . Dari segi kehadiran penyokong Negeri Sembilan dikira agak memberangsangkan, dengan bendera-bendera Negeri Sembilan dikibarkan sekali sekala, paluan gendangnya, baju merah penyokong-penyokongnya. Dari sudut ini penyokong Negeri Sembilan haruslah diberi pujian, memberi sokongan kepada pasukan Negeri Sembilan.

Apa yang sedikit tidak professional ialah gelagat penyokong-penyokong bolasepak mungkin bukan hanya di Negeri Sembilan secara khusus, akan tetapi penyokong bolasepak Malaysia secara amnya. Sikap mem“boo” pemain pasukan lawan, penyokong pasukan lawan, pengadil, penjaga garisan malah ada kalanya mem“boo” pemain pasukan sendiri boleh dikatakan perkara biasa di Malaysia ini.

Menonton bolasepak bukan sekadar untuk menonton pasukan pilihan kita mesti menang. Menonton bolasepak ialah untuk memberi sokongan moral kepada para pemain pilihan kita samada mereka berada di puncak kejayaan mahu pun mereka menuju di ambang kekalahan. Menonton bolasepak adalah salah satu kaedah menunjukkan sayang kita kepada negeri atau negara. Menonton bolasepak seharusnya menjadi aktiviti bersama keluarga. Menonton bolasepak seharusnya menjadi sumber pendapatan negeri dan persatuan bolasepak negeri. Tetapi malangnya penjualan tiket semata-mata selalunya tidak dapat menampung perbelanjaan tahunan pasukan bolasepak.

Tahap bolasepak negara di peringkat antarabangsa semakin tahun semakin merudum. Sering yang dipersalahkan ialah pihak pengurusan, jurulatih dan para pemain. Tetapi bagaimana para penyokong ? Para penyokong juga secara tidak langsung menyumbang kepada penurunan tahap bolasepak negara. Lebih 50 tahun kita merdeka, masih ada lagi sikap tidak professional para penyokong. Sudah bertahun-tahun pasukan negeri menggunakan khidmat pemain import namun ianya tidak banyak membantu meningkatkan kualiti bolasepak negeri dan negara. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam arena bolasepak negeri dan negara baik dari segi pengurusan, jurulatih, pemain malah penyokong sendiri.

Jika pihak pengurusan, jurulatih dan pemain tidak dapat membuat perubahan, biarlah kita sebagai penyokong membuat perubahan terlebih dahulu. Antaranya ialah kita haruslah menghentikan sikap negatif ketika menonton bolasepak antaranya mem“boo” pemain pasukan lawan, penyokong pasukan lawan, pengadil, penjaga garisan malah ada kalanya mem“boo” pemain pasukan sendiri. Membuang sampah merata-rata tempat ketika menonton bolasepak, dengan kulit kacangnya dan botol airnya. Keluar dari stadium apabila pasukan pilihan kita diambang kekalahan, sedangkan para pemain mengharapkan sokongan hinggalah ke wisel penamat.

Yang penting sekali untuk penyokong bolasepak yang beragama Islam ialah solat jangan tinggal. Kalau tak sempat nak solat jemaah isyak di masjid atau surau, solatlah berjemaah bersama keluarga di rumah selepas perlawanan.

Dalam hal ini kedudukan Stadium Tuanku Abdul Rahman , Paroi boleh dikatakan amat tidak strategik. Ini adalah kerana stadium ini terletak betul-betul bersebelahan dengan Masjid Taman Paroi Jaya. Sorokan penonton akan berlawan-lawan ketika azan isyak dilaungkan, ketika imam sedang mengimamkan solat isya dan ketika penceramah sedang berceramah.

Ada baiknya pihak Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan berbincang dengan pihak pengurusan masjid samada untuk melewatkan sedikit perlawanan di stadium ini dari 8:45 malam ke 9:00 malam, atau mungkin pihak masjid perlu menjadualkan ceramah perdana agar ianya tidak bertembung dengan perlawanan bolasepak. Atau mungkin Negeri Sembilan perlu membina stadium baru yang lebih selesa yang tidak berjiran dengan masjid atau surau. Apa perasaan kita sebagai seorang Islam apabila laungan azan, laungan ALLAHU AKBAR disambut dengan orang Islam yang berada di dalam stadium dengan “boo” , walaupun “boo” tadi bukan mereka tujukan kepada azan tersebut ?

HOBIN JANG HOBIN

JOM SOLAT