Hanya kepada Allah kita mohon
perlindungan.
Leher dirodok penyamun
Harian Metro 7 Julai 2012
AMPANG: Seorang wanita kini bertarung
nyawa namun stabil selepas menjalani pembedahan pada paru-para kanan
lebih tujuh jam ekoran tragedi hitam yang menimpanya apabila hampir
disamun dan diculik seorang lelaki di sebuah pasar raya besar di
Ampang, di sini.
Difahamkan, dalam kejadian jam 2 petang
Selasa lalu itu, mangsa berusia 30-an bersendirian membeli beberapa
barangan di pasar raya berkenaan sebelum dihampiri seorang lelaki
ketika mahu masuk dalam kereta yang diletakkan di tempat letak
kenderaan pasar raya itu.
Lelaki itu meletakkan pisau di leher
mangsa. Ketika mangsa meronta mahu melepaskan diri, lelaki terbabit
merodok lehernya hingga mencederakan paru-paru kanannya.
Kejadian itu tersebar melalui laman
sosial facebook mangsa yang dikenali sebagai Nooralida M Noor.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten
Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan
daripada mangsa yang berjaya menyelamatkan diri sebelum dibawa
menerima rawatan lanjut di Hospital Gleneagles, di sini.
Beliau berkata, pihaknya menjalankan
siasatan lanjut bagi mengesan suspek.
Sementara itu, jurucakap hospital
berkenaan memberitahu mangsa dilaporkan mengalami kecederaan kritikal
pada leher dan paru-paru kanan akibat dirodok dengan pisau dan
menjalani pembedahan jam 8 malam kelmarin sebelum dimasukkan ke wad
Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini dilaporkan stabil namun masih di
bawah pemantauan pihak hospital.
Dalam laman facebook, Nooralida
berkata, dia diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau ketika mahu
masuk dalam keretanya.
Katanya, lelaki itu meletakkan pisau
pada lehernya dan memegang tangannya dipercayai bagi mengelakkannya
melawan.
Menurutnya, dia melawan tindakan lelaki
itu menyebabkan lelaki terbabit merodok lehernya hingga berlaku
pendarahan serius.
“Saya membunyikan hon menyebabkan
seorang wanita bersama anak lelakinya berusia 20-an hairan dan
mengesyaki sesuatu berlaku.
“Lelaki itu yang menyedari kehadiran
mereka melarikan diri sebelum saya menahan kesakitan dan memandu
kereta ke balai polis berhampiran membuat laporan,” katanya.
Katanya, polis menghantar mangsa ke
hospital dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati paru-paru kanannya
mengalami kecederaan serius akibat terkena tikaman.
Bagaimanapun, mangsa sudah menjalani
pembedahan dan kini dimasukkan ke ICU selain dilaporkan stabil.
Usaha Harian Metro semalam untuk
menemui keluarganya gagal apabila enggan ditemu bual kerana masih
terkejut dan bersedih dengan kejadian menimpa mangsa.
1 ulasan:
Inikah yg disebut bala akhir zaman kerana menolak hudud ?
Nikmat keselamatan ditarik satu persatu.
Azab jenayah semakin meningkat.
Catat Ulasan