KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20120707

Lanjutan kisah wanita di serang di tempat letak kereta

Akhbar hari ini mengesahkan kejadian yang menimpa Nooralida M Noor yang diserang di tempat letak kereta sebuah pasaraya terkenal di ibu kota pada siang hari. Pembaca boleh membaca detik-detik serangan tersebut secara terperinci yang disiarkan di beberapa blog di internet antaranya di http://meramonst.blogspot.com/2012/07/serius-cubaan-merogol-dan-merompak-di.html . Jenayah kejam yang dilakukan pada siang hari di tempat awam sebegini benar-benar meletakkan rakyat Malaysia dalam kebimbangan, seolah-olah penjenayah di Malaysia ini bebas melakukan sekehendak hati mereka.

Hanya kepada Allah kita mohon perlindungan.

Leher dirodok penyamun
Harian Metro 7 Julai 2012

AMPANG: Seorang wanita kini bertarung nyawa namun stabil selepas menjalani pembedahan pada paru-para kanan lebih tujuh jam ekoran tragedi hitam yang menimpanya apabila hampir disamun dan diculik seorang lelaki di sebuah pasar raya besar di Ampang, di sini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 2 petang Selasa lalu itu, mangsa berusia 30-an bersendirian membeli beberapa barangan di pasar raya berkenaan sebelum dihampiri seorang lelaki ketika mahu masuk dalam kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan pasar raya itu.

Lelaki itu meletakkan pisau di leher mangsa. Ketika mangsa meronta mahu melepaskan diri, lelaki terbabit merodok lehernya hingga mencederakan paru-paru kanannya.
Kejadian itu tersebar melalui laman sosial facebook mangsa yang dikenali sebagai Nooralida M Noor.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berjaya menyelamatkan diri sebelum dibawa menerima rawatan lanjut di Hospital Gleneagles, di sini.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek.

Sementara itu, jurucakap hospital berkenaan memberitahu mangsa dilaporkan mengalami kecederaan kritikal pada leher dan paru-paru kanan akibat dirodok dengan pisau dan menjalani pembedahan jam 8 malam kelmarin sebelum dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini dilaporkan stabil namun masih di bawah pemantauan pihak hospital.

Dalam laman facebook, Nooralida berkata, dia diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau ketika mahu masuk dalam keretanya.

Katanya, lelaki itu meletakkan pisau pada lehernya dan memegang tangannya dipercayai bagi mengelakkannya melawan.

Menurutnya, dia melawan tindakan lelaki itu menyebabkan lelaki terbabit merodok lehernya hingga berlaku pendarahan serius.

“Saya membunyikan hon menyebabkan seorang wanita bersama anak lelakinya berusia 20-an hairan dan mengesyaki sesuatu berlaku.

“Lelaki itu yang menyedari kehadiran mereka melarikan diri sebelum saya menahan kesakitan dan memandu kereta ke balai polis berhampiran membuat laporan,” katanya.

Katanya, polis menghantar mangsa ke hospital dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati paru-paru kanannya mengalami kecederaan serius akibat terkena tikaman.

Bagaimanapun, mangsa sudah menjalani pembedahan dan kini dimasukkan ke ICU selain dilaporkan stabil.

Usaha Harian Metro semalam untuk menemui keluarganya gagal apabila enggan ditemu bual kerana masih terkejut dan bersedih dengan kejadian menimpa mangsa.

1 ulasan:

Abu berkata...

Inikah yg disebut bala akhir zaman kerana menolak hudud ?
Nikmat keselamatan ditarik satu persatu.
Azab jenayah semakin meningkat.