12 Sep 2012 - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Politeknik Port Dickson akan menjalankan kajian seni bina rumah tradisional serta bangunan lama, termasuk bangunan kolonial di daerah Rembau.
Pengarah LMNS, Shamsuddin Ahmad berkata, 20 buah rumah
tradisional dipilih untuk kajian tersebut.
Katanya, kajian itu bertujuan memastikan tinggalan sejarah
dapat disimpan dan dipelihara dalam bentuk ilmu dan artifak untuk tatapan
generasi yang akan datang.
"Kajian kali ini tertumpu di daerah Rembau memandangkan
daerah itu adalah daerah terawal terbentuk di Negeri Sembilan,” katanya kepada
Bernama di sini hari ini.
Shamsuddin berkata, menerusi kajian ini, pelajar jabatan
kejuruteraan seni bina Politeknik Port Dickson akan melakukan lawatan, kajian,
penyelidikan dan mengukur bangunan warisan yang dipilih.
Beliau berharap di samping membuat kajian, para pelajar
terbabit juga dapat mengenali dan mempelajari adat perpatih serta tempat
bersejarah di Rembau.
Katanya, kajian ini akan dibuat dalam beberapa fasa dan fasa
pertama mengambil tempoh seminggu mulai Isnin ini.
"Hasil kajian ini nanti kita akan menerbitkan sebuah
buku dan mengadakan pameran seni bina rumah tradisional di Muzium Replika
Istana Raja Melewar, Rembau,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan