KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20120928

Tak mampu bayar kos bedah anak


28 September 2012

SUNGAI LAYANG - Seorang ibu merayu jasa baik orang ramai dan mana-mana pihak berkaitan untuk membantunya mengumpulkan kos pembedahan anaknya, Muhammad Nazrul Zaquan Adha, 2, di Institut Jantung Negara (IJN) sebanyak RM4,000, Oktober ini.

Noraini Akin, 37, berkata, kos sebenar pembedahan kali pertama itu adalah RM15,000, namun pihak IJN memberikan kelonggaran kepadanya.

Menurutnya, buat masa ini, dia sudah memperoleh bantuan RM1,000 daripada pihak Baitulmal dan berharap pihak lain atau orang ramai dapat membantunya menyediakan RM3,000 lagi memandangkan dia tidak mempunyai wang sebanyak itu.

"Anak bongsu saya ini menderita sakit saluran jantung terbalik sejak kecil lagi.

"Saya tidak mampu untuk menampung kos perubatannya memandangkan hanya suami yang bekerja. Saya tidak bekerja kerana menjaga ayah saya yang sakit terlantar selain menguruskan lima anak berusia dua hingga 11 tahun," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Layang, dekat sini, semalam.

Noraini berkata, dua daripada anaknya pula mempunyai masalah pembelajaran dan bersekolah di sekolah khas di Sekolah Kebangsaan Pulau Besar.

"Oleh itu, saya sangat berharap ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” katanya.

Katanya, susulan masalah jantung, anaknya itu kurang aktif dan masih belum berjalan walaupun sudah berusia dua tahun.

"Selain itu, kuku jari kaki dan tangan serta bibir anak saya sering kebiru-biruan.

"Selepas ini, anak saya harus menjalani satu lagi pembedahan di IJN bila berusia lima tahun nanti dan kosnya mencecah RM60,000. Bagaimanapun, kos ini masih belum dirundingkan lagi dengan pihak IJN," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang prihatin dengan nasib Noraini boleh memberikan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional, Noraini 05300-41-00004580-3.

Tiada ulasan: