KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130101

Sekolah Agama, walaupun kekurangan, tetap cemerlang








Alhamdulillah, pagi tahun baru 1 Jan 2013 selesai sesi pendaftaran anak kami yang bongsu ke Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Agama Rembau di pekan Rembau. Bak sirih pulang ke gagang, bak pinang pulang ke tampuk, bak belut pulang ke lumpur, begitulah adatnya. Walaupun saya adalah anak jati Rembau tapi tidak berkesempatan bersekolah di Rembau, paling hampir ialah bersekolah di Seremban, akhirnya anak saya yang bongsu pula yang bersekolah di Rembau.

Walaupun Sekolah Menengah Agama Rembau ini tidak mempunyai dewan perhimpunan, tidak mempunyai sebarang gelanggang permainan, tidak mempunyai gelanggang futsal apatah lagi padang bolasepak , namum pencapaian akademiknya adalah amat memberangsangkan.

Menurut GPK HEM yang memberi taklimat (kerana Guru Besar bercuti 1 bulan atas urusan yang amat penting, GPK 1 telah bertukar belum ada pengganti) , Sekolah Menengah Agama Rembau adalah satu-satunya Sekolah Agama di Negeri Sembilan antara 15 sekolah terbaik di N.Sembilan dalam PMR 2012 baru-baru ini, iaitu menduduki tempat ke 13.

Walaupun terlalu ramai yang memohon untuk masuk ke Tingkatan 1 tahun ini di Sekolah Menengah Agama Rembau, hanya 70 pelajar yang terbaik sahaja yang terpilih, walaupun boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja rayuan dari ibu bapa untuk memasukkan anak mereka ke sekolah ini.

Ini memandangkan sekolah ini hanya ada 8 kelas sahaja dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, dan ada pelajar terpaksa di tempatkan di makmal sebagai kelas. Manakala asrama untuk pelajar perempuan hanya boleh menempatkan 72 orang sementara asrama untuk pelajar lelaki hanya boleh menempatkan 32 orang sahaja.

Sebelum sesi penerangan bermula saya telah sempat meninjau keadaan sekeliling sekolah. Ternyata suasana yang tenang sekitar sekolah, dengan kakitangannya yang ramah dari pengawal hinggalah ke guru-guru.

Keceriaan sekolah pun adalah amat memuaskan dengan seni taman yang ringkas tetapi indah. Tandas adalah tempat yang pertama saya lawati, ianya amat bersih, tiada bau yang kurang menyenangkan, walaupun terdapat beberapa tandas yang tiada pintu, barangkali menunggu peruntukan untuk dibaiki.

Semoga sekolah ini akan lebih cemerlang lagi pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang, insyaAllah.

SEJARAH SEKOLAH

Penubuhan Sekolah Menengah Agama Pekan Rembau pada awalnya berasal daripada sebuah rumah masak yang terletak di Masjid Jamek Rembau.

Bangunan SMA Pekan Rembau telah dipindahkan daripada Masjid Jamek Rembau ke sebuah tapak baru yang kemudiannya dikenali sebagai SMRA Rembau dan telah dirasmikan pada 1 Mei 1959 bersamaan 23 Syawal 1378.

Di lokasi baru ini , bangunan satu tingkatan telah dibina serta menempatkan beberapa buah bilik seperti bilik pentadbiran, perpustakaan dan bilik darjah dari sekitar tahun 60an sehingga tahun 1996.

Sebagai permulaan, sekolah ini hanya menawarkan satu aliran mata pelajaran sahaja iaitu Bahasa Arab dan tidak menawarkan mata pelajaran akademik. Kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini adalah secara formal dan diajar dalam bahasa Arab.

Pada peringkat penubuhannya, kebanyakan pelajar sekolah ini terdiri daripada pelajar yang gagal dalam Lower Certificate Examination ( LCE) dan mereka yang berminat untuk mendalami pengajian agama.

Di samping itu, pihak sekolah turut menawarkan Sijil Menengah Rendah Agama yang mana ianya akan melayakkan para pelajar melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Tinggi.

Sekitar penghujung tahun 1990an, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam telah menyalurkan bantuan kewangan kepada pihak sekolah untuk membina sebuah bangunan dua tingkat sebagai penempatan baru bangunan sekolah. Penghujung tahun 1997, bangunan dua tingkatan ini mula digunakan dengan menempatkan bahagian pentadbiran sekolah di aras satu dan Pusat Sumber Sekolah di aras dua bangunan ini.

1 ulasan:

Anak Rembau berkata...

Tahniah tuan kerana anak tuan berjaya mendapat tawaran untuk bersekolah di SMA Rembau. Anak saya juga menerima tawaran di SMA Rembau tetapi beliau menolak. Beliau ingin meneruskan persekolahan di Maahad Ahmadi.

Tahniah.