Dah banyak kes macam ini sekarang. PDRM pun dah keluarkan
peringatan di TV semalam. Harap semua pengguna jalanraya lebih berhati-hati
Langgar, culik tengah jalan
29 Jan 2015
Kuala Lumpur: Langgar, culik dan samun. Itu taktik digunakan
dua lelaki yang berpura-pura terlanggar sebuah kereta sebelum menculik tiga
beradik dan menyamun mereka dalam kejadian di Jalan Syed Putra, di sini, Isnin
lalu.
Difahamkan, sebaik merampas telefon bimbit, barangan kemas
dan wang tunai dianggarkan RM20,000, suspek membebaskan mangsa di tepi jalan
raya di Klang selepas membawa mereka sejauh 40 kilometer dari lokasi ‘diculik’.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, kereta dipandu seorang
lelaki berusia 26 tahun bersama dua adik perempuannya dilanggar dari belakang
ketika melalui Jalan Syed Putra.
Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa
berhenti dan mahu berbincang dengan suspek, tetapi terkejut diacu pisau sebelum
dipaksa masuk ke dalam kereta penjenayah itu.
“Suspek menutup muka mangsa dengan baju sebelum
membelasahnya selama beberapa minit.
“Seorang lagi penjenayah mengarahkan adik perempuan mangsa
keluar dari kereta, namun mereka enggan menyebabkan suspek memecahkan cermin
kereta dan menarik mereka keluar,” katanya di sini, semalam.
Sumber berkata, suspek kemudian membawa mereka beredar dari
kawasan terbabit dan memaksa mereka menyerahkan barangan berharga.
“Mangsa yang ketakutan merayu dilepaskan, namun suspek
membelasahnya.
“Suspek merampas telefon bimbit, wang tunai dan barangan
kemas sebelum membebaskan mereka selepas dua jam menjadi tawanan,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa lelaki lebam seluruh
badan dan terpaksa pulang ke rumah menaiki teksi.
“Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee
untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur
Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan dan
siasatan lanjut sedang dijalankan.