Sabtu 17 Feb 2007, hujan hampir gerimis, suasana begitu hening dan tenang. Sepatutnya hujung minggu ini aku ada rancangan lain, tapi manusia merancang, Allah juga merancang. Lalu aku mengajak dan membawa ayah ke ceramah Sohibussamah Dato Seri Dr Hj Harussani Hj Zakaria di Masjid Jamek Tunku Besar Tampin. Sebelum maghrib ruang letak kereta masjid telah mula dipenuhi pengunjung. Satu perkara yang amat menggembirakan dan menenangkan hati ku bila dapat membawa ayah ke masjid dan ke majlis-majlis ilmu , lebih-lebih lagi yang memberi ceramah seorang tokoh ulamak yang disegani tetapi dicemuh oleh pihak yang tidak senang dengan mesej keamanan, kedamaian, keselamatan yang dibawa oleh Islam.
Sebelum maghrib semua ruang masjid hampir dipenuhi oleh muslimin dan muslimat yang menanti-nantikan kehadiran mufti. Akhirnya Dato Seri Dr Hj Harussani tiba disambut oleh Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin sendiri serta pimpinan setempat. Antara yang hadir meraikan ceramah tersebut ialah Dato Ir Jamlus EXCO Kerajaan N.Sembilan yang juga Ketua Pemuda UMNO N.S. serta beberapa pimpinan UMNO setempat, juga hadir EXCO Pemuda PAS N.Sembilan, Ketua Pemuda PAS Tampin serta beberapa pimpinan PAS setempat yang ku kenali.
Selepas maghrib Dato Seri Dr Hj Harussani memulakan ceramah beliau, pengerusi majlis menyatakan ceramah tersebut tiada tajuk khusus dan tiada had masa. Lalu Dato Seri Dr Hj Harussani memulakan ceramah beliau dengan tenang, dan suasana begitu hening, hadirin begitu khusyuk mendengar ceramah beliau.
Lalu aku hairan bagaimana ulamak yang tinggi ilmunya tapi merendah diri, lanjut pula usianya mencecah 70 tahun, dengar ceritanya di “larang” atau di “senarai hitamkan” untuk memberi ceramah di beberapa negeri di Malaysia ini, sedangkan mesej yang dibawa oleh beliau adalah untuk kepentingan umat Islam dan kaum lain di Malaysia ini. Amat malanglah negeri-negeri yang “menghalau” Dato Seri Dr Hj Harussani daripada berceramah di tempat mereka, seolah-olah menolak rezeki, menolak rahmat ke negeri tersebut. Sedangkan di Negeri Sembilan, dan di Tampin khususnya Dato Seri Dr Hj Harussani telah dapat menyatukan umat Islam dari pelbagai kaum, agama dan fahaman politik untuk memikirkan masalah agama dan masalah negara.
Hendak ku bentangkan isi ceramah beliau adalah terlalu panjang, hampir dua jam beliau berceramah melihatkan kesungguhan mereka yang hadir mendengar ceramah beliau.
Antara yang disentuh oleh beliau ialah :
1. Islam begitu toleran dan tidak menganiayai agama lain khususnya di Malaysia. Sebagai contoh di Perak terdapat 1.2 juta umat Islam di sana sementara penganut Hindu cuma 300,000 orang. Akan tetapi terdapat 600 masjid sementara 2000 kuil Hindu di Perak, di mana kebanyakkan kuil Hindu ini didirikan diatas tanah kerajaan.
2. Isu murtad juga turut disentuh beliau. Dimana kesimpulannya ialah hampir setiap hari beliau mendapat aduan kes murtad dan meminta semua umat Islam serius menangani gejala murtad.
3. Sebagai mufti beliau bertanggungjawab untuk menjaga akidah umat Islam. Tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua umat Islam, khususnya mereka yang ada kuasa memerintah.
4. Penghayatan Islam masih lemah di Malaysia ini. Kementerian Kebudayaan sepatutnya mempromosikan budaya Islam bukannya budaya yang bercanggah dengan Islam seperti menghidupkan semula Mak Yong dan Wayang Kulit.
5. Operasi tangkap khalwat mesti diteruskan. Kita bukan disuruh mengintai tetapi menangkap. Kalau kita nampak seorang anak gadis yang kita kenali masuk kedalam bilik, rumah, hotel bersama lelaki yang tidak dikenali atau bukan suami atau muhrimnya, lalu dikunci maka haruslah disiasat. Kita hendak menyelamatkan umat Islam yang melakukan maksiat dari api neraka bukan saja-saja suka nak tangkap orang. Kita menangkap orang dengan perasaan kasih sayang ingin menyelamatkan mereka dari kemurkaan Allah cuma bencikan maksiat yang mereka lakukan.
Banyak lagi perkara yang dikupas Dato Seri Dr Hj Harussani. Sesungguhnya umat Islam di Negeri Sembilan amat beruntung dengan kunjungan beliau yang secara tidak langsung menyatukan umat Islam di sini.
Rozmal Malakan, Senawang, NS