KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070219

Usahawan Melayu perlu tahu sihir, jin

Seringkali kita dengar usahawan Melayu yang rata-ratanya beragama Islam ada yang gagal dalam bidang perniagaan. Walaupun terdapat beberapa agensi kerajaan yang khusus untuk membantu bumiputera berniaga namun masih kedengaran suara sumbang yang mengatakan orang Melayu tidak pandai berniaga, banyak hasad dengki, tidak pandai melayan pelanggan dan sebagainya. Mungkin ada kebenarannya dan mungkin tidak semuanya seperti itu.

Namun terdapat faktor lain yang boleh menyebabkan kegagalan perniagaan usahawan Melayu. Faktor tersebut adanya unsur sihir serta ilmu hitam untuk menjatuhkan perniagaan seseorang itu. Perkara ini tidak pernah disentuh secara khusus oleh mana-mana agensi yang membantu peniaga-peniaga Melayu.

Sebelum ini saya telah mendengar cerita dari sumber yang boleh dipercayai bahawa ilmu hitam atau sihir digunakan untuk menjatuhkan peniaga-peniaga yang meningkat maju untuk mengurangkan persaingan. Antara cerita yang biasa didengari ialah bagaimana pelanggan tidak nampak kedai atau premis perniagaan, kalau nampak pun ianya seperti sudah ditutup atau tidak beroperasi. Setelah mendapat bantuan alim ulamak dan dilakukan usaha untuk memulihkan kedai tersebut menurut syariat Islam barulah kedai yang disihir tadi pulih semula.

Hari ini saya sendiri melalui kejadian yang serupa. Saya telah memasang niat untuk pergi ke kedai Melayu tersebut kerana untuk mendapatkan perkhidmatan, dari jauh saya telah nampak kedai tersebut. Apabila saya memasuki kawasan kedai tersebut, entah macamana saya termasuk ke kedai yang lain. Apabila saya berada dalam kedai tersebut saya terasa begitu tidak selesa dan tertanya-tanya kenapa saya berada di kedai tersebut. Setelah sedar barulah saya tahu saya berada di kedai yang salah dan beristighfar. Lalu saya keluar dengan berhati-hati dan mencari kedai yang sepatutnya saya pergi.

Ketika mendapatkan perkhidmatan di kedai yang sepatutnya, saya tanyalah kepada Pak Haji (sebab dia pakai kopiah) yang menjadi taukeh dan pekerja. Saya tanya dah berapa lama berniaga, dia kata tujuh bulan. Semenjak berniaga ada tak apa-apa masalah atau orang kacau. Pak Haji tadi mulanya tidak faham maksud saya. Lalu saya katakan ada tak orang cuba sihir kedai dia. Baru dia teringat dia ada ternampak kesan air berwarna di luar kedainya yang tidak terdapat dikedai lain pada waktu pagi. Juga beberapa limau nipis.

Setelah panjang berbual dengan Pak Haji tadi, saya katakanlah kepada beliau, cubalah minta bantuan daripada alim ulamak untuk mendapatkan perlindungan daripada sihir yang menutup kedainya. Cubalah jumpa Sheikh Faiz ( adik Mufti N.Sembilan ), atau Mufti sendiri atau sesiapa yang mengamalkan perubatan Islam . Pak Haji tadi mulanya rasa tak berapa yakin, tetapi setelah dibuka cerita bagaimana dia dulu pun pernah berniaga di tempat lain orang ramai keliling kedai tapi pelanggan kurang.

Dalam hati saya mungkin telah ditakdirkan untuk saya ditarik masuk ke kedai yang pertama tadi untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Justeru saya berbincanglah dengan AJK Surau supaya ditekankan perkara sihir dan ilmu hitam ini , dimana masyarakat Islam kita semakin lalai. Ianya perlu dibentangkan dalam kuliah, dalam ceramah, dalam ceramah agar umat Islam mengambil langkah-langkah yang menurut syariat untuk meminta pertolongan daripada Allah agar dijauhi daripada keburukan sihir dan ilmu hitam dalam kehidupan seharian.

Terlalu banyak cerita mengenai sihir dan ilmu hitam ini yang hendak diceritakan. Malah dalam Al Quran dan Hadith banyak diterangkan langkah-langkah untuk mengelakkan sihir dan ilmu hitam ini dengan izin Allah.

Oleh itu saya nasihatkan kepada umat Islam semua agar mengambil serius perkara ini. Dapatkanlah nasihat dan panduan dari alim ulamak. Hidupkanlah dan makmurkanlah masjid dan surau di kariah kita. Kerana kemakmuran masjid dan surau di tempat kita adalah merupakan nadi untuk mengelakkan daripada keburukan sihir dan ilmu hitam. Disamping kita menghidupkan rumah kita dengan solat, solat sunat, zikir, bacaan Al Quran dan sebagainya.

Antara yang ditekankan oleh pengamal perubatan Islam kepada saya ialah, sebelum Maghrib pastikan keluarga kita terutama anak-anak tidak berada diluar rumah. Sesiapa yang ada hobi memancing malam, hentikanlah, atau jangan memancing waktu malam, senja, awal pagi, sebelum subuh. Jangan makan ditempat yang kita tidak biasa, paling baik makan dirumah, kalau berjalan ditempat yang kita tidak biasa, bawalah bekal. Dan beberapa panduan, dengan izin Allah dapat melindungi kita dari keburukan sihir dan ilmu hitam.

Sehebat mana ilmu hitam seseorang , kita jangan lupa, Allah adalah lebih berkuasa, yang menjadikan setiap makhluk di muka bumi dan alam ini termasuk jin dan syaitan.

Sesiapa yang ada kemusykilan jangan tanya saya, kerana saya hanyalah insan biasa, tanyalah tok-tok guru, alim ulamak yang sering datang berceramah di surau dan masjid berhampiran kita.

Sekian, wassalam.