KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070307

Penerjunan Kutub Utara , Tahniah Putera UMNO

Tahniah diucapkan kepada Putera UMNO yang akan menghantar 10 orang ahlinya untuk menyertai misi penerjunan di Kutub Utara pada 18 April 2007 nanti.

Sehubungan dengan itu adalah diharapkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sebelum ini telah mengeluarkan panduan ibadah terutamanya panduan ibadah solah untuk bakal angkasawan negara, dapat juga mengeluarkan panduan ibadah solah untuk bakal-bakal penerjun negara di kutub utara nanti.

Ini adalah kerana suasana di kutub utara adalah jauh berbeza daripada suasana kita di Malaysia ini. Sebagaimana kita mahukan adik-adik Putera UMNO ini berjaya di dunia , kita mahukan mereka juga berjaya di akhirat nanti.

Bagaimanakah caranya untuk kita solat lima waktu di kutub utara, jika pada bulan April mungkin siangnya sepanjang masa, tiada waktu subuh, tiada waktu maghrib dan tiada waktu isya’ jika diikuti perkiraan naik turun matahari ? Adakah boleh ditinggalkan solat subuh, maghrib dan isya’ atau perlu mengikuti waktu solat negara berhampiran, waktu solat di Mekah atau waktu solat di Malaysia ?

Bagaimana pula caranya untuk mengambil wudhu, sekiranya sukar untuk membuka pakaian dan kasut disebabkan cuaca sejuk yang melampau ? Begitu juga bagaimana caranya untuk duduk antara dua sujud sekiranya sukar untuk menanggalkan kasut (boot) yang besar serta beberapa persoalan dan kemusykilan lain yang perlu diperjelaskan ?

Sekali lagi adalah diharapkan JAKIM serta bijak pandai bidang agama di negara ini dapat mengeluarkan panduan ibadah solah yang praktikal sesuai mengikut keadaan tempat dan masa.