KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070315

Tahukah anda tanggungjawab seorang wakil rakyat ?

Sebagai rakyat Malaysia yang layak mengundi anda diberi pilihan untuk memilih wakil rakyat di kawasan anda untuk menyuarakan permasalahan dan kehendak rakyat di Dewan Undangan Negeri Sembilan serta di Parlimen Malaysia. Anda menentukan siapa calon pilihan anda. Siapa sahaja yang anda pilih sebagai wakil rakyat, pastikan wakil rakyat ini bertanggungjawab untuk memelihara hak anda sebagai warganegara Malaysia yang merdeka. Wakil rakyat dipilih untuk bekerja untuk rakyat serta mewakili rakyat, baik di waktu senang apatah lagi di waktu susah. Anda sebenarnya yang berkuasa di Malaysia ini, kerana andalah yang menentukan siapa yang terpilih untuk menjadi wakil rakyat , yang bekerja untuk menjaga hak serta kepentingan anda sekeluarga. Selamat menunaikan tanggungjawab anda sebagai pengundi.


TANGGUNGJAWAB SEORANG WAKIL RAKYAT

•Mengetahui keluasan kawasan yang diwakilinya antaranya daerah, kampung-kampung serta taman perumahan.
•Mengenali ketua-ketua kampung, pengerusi persatuan penduduk, imam serta nazir masjid/surau, ketua-ketua agama , pengerusi belia , pengerusi wanita di kawasan yang diwaklili.
•Mengenali ketua-ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun di kawasan yang diwakili.
•Mengadakan lawatan berkala meliputi seluruh daerah yang diwakili untuk mengenal pasti permasalahan semasa yang dihadapi oleh rakyat.
•Menyalurkan maklumat serta permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat di kawasan yang diwakilinya kepada agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkaitan.
•Memberi penerangan kepada rakyat dasar-dasar kerajaan yang sedang dan yang akan dilaksanakan yang melibatkan kepentingan rakyat setempat.
•Menyediakan pusat khidmat masyarakat serta dimaklumkan kepada penduduk setempat waktu berurusan.
•Menyediakan kemudahan kepada rakyat yang diwakili untuk mengemukakan cadangan atau aduan melalui Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) , sistem faksimili , borang maklumbalas , alamat surat menyurat atau laman web.
•Melantik pembantu sebagai wakil untuk memudahkan urusan rakyat apabila berada di luar kawasan atas urusan rasmi atau pun urusan peribadi.
•Menjadi jambatan penghubung antara rakyat serta agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun.
•Menyuarakan permasalahan serta pandangan rakyat di kawasan yang diwakili semasa sidang Dewan Undangan Negeri atau Parlimen agar dapat diselesaikan di peringkat kerajaan negeri atau kerajaan pusat.