KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070903

50 tahun merdeka, tiada penggunting Melayu di Jelebu

Cuti hari kebangsaan ini digunakan sepenuhnya untuk melakukan tugasan keluarga yang banyak tertangguh di hari biasa. Saya membawa anak lelaki kedua saya yang berusia 13 tahun ke kedai gunting rambut kegemaran saya , kedai gunting Shamsul di Taman Kemuning, Senawang.

Dia dan rakannya baru sahaja membuka kedainya pagi tersebut dan anak saya adalah merupakan pelanggan pertama pada hari itu. Seperti biasa Shamsul seorang yang peramah akan berborak hal semasa.

Dia menceritakan baru-baru ini seorang yang berpengaruh di Jelebu telah datang menggunting rambut di kedainya. Orang tadi datang dari Kuala Klawang, Jelebu untuk menggunting rambut di Seremban kerana katanya tiada kedai gunting rambut yang diusahakan oleh orang Melayu di Jelebu.

Dalam hati saya berkata, macamana boleh jadi demikian ? Tidak ada langsungkah orang Melayu di Jelebu yang tahu menggunting rambut, atau orang Melayu di Jelebu tidak menyokong perniagaan orang Melayu di sana ? Saya rasa fenomena ini berlaku bukan sahaja di pekan Kuala Klawang, malah di kebanyakkan tempat di Negeri Sembilan ini, pastinya di Rembau, mungkin di Bahau, mungkin di Tampin.

Kalau orang dari Jelebu sanggup datang ke Senawang untuk mencari kedai gunting rambut yang diusahakan oleh orang Melayu, takkan kita di sekitar Seremban tidak boleh mencari kedai gunting rambut orang Melayu ?

Adakah kita hanya berbangga dengan korporat-korporat dan konglomerat-konglomerat Melayu yang berjaya tetapi melupakan usahawan Melayu yang baru hendak bertapak ? Terutamanya perniagaan yang dianggap fardhu kifayah seperti perniagaan servis kereta, motosikal, basikal, pembinaan rumah dan sebagainya ?

Sempena 50 tahun merdeka ini janganlah hanya sibuk berpesta-pestaan. Renung-renungkanlah keadaan di sekeliling kita. Dan tanya pada diri kita sendiri apa sumbangan kita untuk agama, bangsa dan negara ?

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang
http://waghih.blogspot.com