Terlebih dahulu salam takziah buat Sdr Jazimin dan Puan Norazian diatas pemergian anak kesayangannya Nurin Jazlin, yang telah mendahului kita semua. InsyaAllah akan menanti kedua ibu bapanya di pintu syurga. Kita yang tidak mengalami perkara demikian tidak akan memahami betapa sedih dan tertekannya perasaan mereka.
Sebelum kita menyalahkan orang lain dalam kes sebegini, marilah kita salahkan diri kita sendiri terlebih dahulu. Jika kita sebagai seorang jiran, apa salah kita. Jika kita sebagai seorang saudara, apa salah kita. Jika kita sebagai seorang polis, apa salah kita. Jika kita sebagai seorang wakil rakyat apa salah kita. Jika kita sebagai seorang pemerintah, apa salah kita. Hentikanlah tuding menuding jari yang sedang berlaku sekarang ini.
Ini adalah masalah kita semua. Masyarakat kita, masyarakat Malaysia, masyarakat Melayu yang sedang sakit. Kita tidak peka apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita lebih suka menjadi pemerhati, selesa dengan apa yang ada pada diri kita. Tidak mahu hendak mengambil peduli keadaan sekeliling kita. Prinsip kita ialah, kita tak kacau orang, orang tak kacau kita.
Saya bukanlah hendak menyalahkan pihak polis dalam perkara ini. Pihak polis sepatutnya dibiarkan bersikap professional dalam lokaliti mereka. Janganlah ada tangan-tangan tertentu untuk mengarahkan pihak polis untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu.
Sebagai AJK Surau Taman Alamanda, Senawang, saya kerap kali di soal siasat oleh pihak polis tanpa mengira waktu akan kegiatan di surau kami. Saya faham tugas mereka, kerana mereka telah diarahkan untuk mendapatkan maklumat. Lalu saya berilah maklumat apa yang sepatutnya.
Kerana pada saya tujuan saya mengadakan aktiviti di surau ini adalah untuk memberi keinsafan dan kesedaran serta merapatkan ukhuwwah sesama kita. Surau bukanlah medan menunjukkan kehebatan politik. Ianya sebagai tempat perpaduan. Ada wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional yang datang anjurkan program kita sambut dan alu-alukan. Ada penceramah dari PAS atau PKR yang datang beri kuliah, juga kita alu-alukan. Yang penting ialah ilmu yang diberikan oleh penceramah tersebut , tak kiralah dari parti apa sekali pun.
Pernah saya menjemput ADUN UMNO/BN Batu Kurau YB Kapt(B) Dato' Hj Mohd Najmuddin berceramah. Begitu juga pernah saya menjemput Pesuruhjaya PAS N.Sembilan Sdr Zulkefly Mohamed Omar berceramah, dan ramai lagi. Salah ke kalau di jemput mereka dari pelbagai parti ini ? Biarlah pemikiran orang Melayu ini lebih terbuka. Soal undi atau tidak undi itu , terpulanglah kepada individu masing-masing.
Kalau di universiti kita boleh mendapatkan ilmu dari pensyarah bukan Islam, pensyarah beragama Kristian, pensyarah beragama Hindhu. Takkan di surau kita tidak boleh menerima ilmu dari sesama Islam yang berlainan parti ?
Pihak yang mengarahkan polis memantau ceramah-ceramah di surau dan masjid, cukuplah. Bantulah polis untuk mencegah jenayah yang semakin kronik sekarang ini. Bantulah mencegah jenayah di kejiranan anda sendiri. Janganlah nak menyibuk arah polis pantau ceramah di surau dan masjid.
Cuba peka sedikit. Cuba perhatikan keselamatan anak-anak jiran kita. Tegur sikit anak jiran kita yang main carbide dan mercun, yang membawa motosikal bawah umur, yang berjalan seorang diri.
Saya perhatikan di Surau Alamanda minggu lepas setiap pagi seawal jam 7:15 pagi ada seorang kanak-kanak perempuan umur sekitar 7 tahun , menunggu seorang diri dalam surau untuk kelas mengaji yang bermula sekitar jam 8 pagi. Resah dengan keadaan kanak-kanak perempuan tadi yang bersendirian saya SMS pada Guru Mengaji agar menasihati kepada ibu bapa budak tadi supaya jangan tinggalkan anaknya sendiri, walaupun dalam surau.
Marilah kita lebih peka dengan keadaan sekeliling kita. Marilah kita bantu polis dengan tugas pencegahan jenayah. Janganlah kita bebankan polis dengan tugas yang tidak masuk akal.
Salam Ramadhan Al Mubarak kepada teman-teman saya di Balai Polis Bandar Baru Senawang, IPD Seremban, IPD Rembau dan IPK NS serta seluruh muslimin dan muslimat.