KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070911

Undang Rembau ke 18 – Pejuang Agama dan Bangsa yang dilupakan

Nasionalisma dan reformasi ketika pemerintahan Dato Abdullah (1922–1938)

Kebanyakan kegiatan sosial dan budaya yang berkembang di merata Rembau dan seluruh Negeri Sembilan pada tahun 1920an dan 1930an adalah bertitik tolak dari aspirasi dan kejayaan Dato Abdullah bin Haji Dahan, yang menjadi Undang Rembau dari 1920 hingga 1938 dan diingati diperingkat Rembau sebagai seorang pemerintah yang berani dan pahlawan budaya moden.

Sepertimana kanak-kanak lain yang pintar dari golongan pemerintah, anak muda ini menerima sokongan British untuk menghadiri sekolah berbahasa Inggeris yang elit iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Ini adalah perkara biasa untuk anak-anak dari golongan pemerintah yang akan bekerja sebagai penjawat awam. Bagaimanapun beliau mempunyai cita-cita yang lebih tinggi di mana dia mencari kerjaya di bidang perubatan. Sekiranya dia melanjutkan pelajaran ke Hong Kong, dia adalah antara orang Melayu pertama yang mendapat pendidikan tinggi di luar koloni, dan mungkin antara doktor Melayu yang terawal.
Tapi oleh kerana ayahnya dan pihak berkuasa British memandang rendah cita-cita beliau, diputuskan beliau belajar perubatan di Singapura hanya untuk menjadi pembantu perubatan.

Pada tahun 1922 Dato Abdullah telah dilantik sebagai Undang Rembau menggantikan Dato Haji Sulong bin Ambia. Penulisan British ada menyatakan beliau dilantik sebagai Undang Rembau pada usia 17 tahun dengan kebolehan yang luar biasa, bercita-cita tinggi, pintar dan mempunyai kesungguhan tinggi.

Dia dilahirkan dari suku Sedia Raja dari golongan keluarga yang berada. Perjuangan Dato Abdullah bukanlah melalui peperangan di sepanjang Sungai Rembau tetapi adalah melalui memorandum, petisyen rasmi dan dalam majlis persidangan.

Dato Abdullah adalah orang yang paling kuat melobi untuk ditubuhkan beberapa sekolah perdagangan dan institusi berbahasa Inggeris supaya lebih ramai anak Melayu dapat menjadi pentadbir yang baik serta menjawat jawatan professional. Masa depan orang Melayu sedang berdepan risiko ketika itu dengan dasar pelajaran British. Bagaimanapun cadangan Dato Abdullah mendapat tentangan berterusan dari pentadbiran kolonial. Mereka bimbang sekiranya orang Melayu berpendidikan tinggi tiada siapa lagi yang akan menjadi kerani.

Perubahan yang dilakukan oleh Dato Abdullah bukan sahaja di bidang pendidikan. Bahkan dia banyak membantu menubuhkan beberapa koperasi dan persatuan di Negeri Sembilan untuk membangunkan masyarakat Melayu ketika itu.

Dato Abdullah juga sentiasa menasihatkan orang-orang kampung agar meninggalkan amalan khurafat dan syirik yang dikaitkan dengan roh-roh setempat.

Gelombang kebangkitan ulamak yang mendapat pendidikan di Kedah dan Kelantan pada awal 1900an serta dari Mesir dan Arab Saudi juga telah menyedarkan masyarakat Melayu bahawa kepercayaan karut tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Dato Abdullah juga pernah membicarakan mengenai percanggahan antara adat dan syarak dalam pembahagian harta dan harta sepencarian dimana hukum Islam sepatutnya diutamakan daripada hukum adat.

Dato Abdullah juga adalah antara orang yang menyuarakan penubuhan pasukan Askar Melayu. Usaha ini bermula semenjak tahun 1902 lagi. Banyak perbincangan oleh Raja-Raja Melayu dan Penasihat-Penasihat British telah dijalankan bagi mengujudkan pasukan ini. Dalam tahun 1913 Almarhum DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhamad ibni Yam Tunku Antah, Almarhum DYMM Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah, Almarhum Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan dan Almarhum Undang Rembau, Dato Abdullah bin Haji Dahan telah menyuarakan hasrat menubuhkan pasukan Askar Melayu. Hasrat Raja-Raja ini telah menjadi kenyataan apabila di dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pada 23 Januari 1933, Rang Undang-Undang Askar Melayu telah diluluskan dan dikenali sebagai Undang-Undang No. 11.

*********************************************************
Petikan terjemahan buku “Early Politics: Nationalists of My Land, Unite” (Politik Awal : Nasionalis Tanah Air Ku, Bersatulah)

Beliau ialah Dato Abdullah Bin Haji Dahan, Undang Rembau. Anak kepada seorang Dato di Negeri Sembilan, Abdullah mulanya belajar di sekolah Melayu kemudian lulus peperiksaan Senior Cambridge dengan cemerlang di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Antara ahli Majlis Persekutuan yang dilantik, beliau adalah yang paling lantang, terutamanya memperjuangkan hak-hak orang Melayu. Dia pernah secara terbuka mempersoalkan Inggeris yang melantik bukan Melayu di Jabatan Kerajaan. Pihak Inggeris menjawab, "Kerana tiada orang Melayu yang berpelajaran Inggeris. Sebenarnya adalah polisi Kerajaan British untuk tidak menggalakkan orang Melayu masuk ke sekolah aliran Inggeris sejak dari mula lagi.

Dato Abdullah berjuang untuk kepentingan Melayu. Beliau menggesa agar Inggeris memberikan lebih peruntukan untuk Tanah Rezab Melayu dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada Melayu di jabatan kerajaan yang dimonopoli oleh bangsa asing, seperti Keretapi Tanah Melayu, Telekom dan Jabatan Kerja Raya. Beliau mengakui ramai orang Melayu yang bekerja di peringkat bawahan, tapi bagaimana dengan jawatan kanan seperti Ketua Stesen ? Kenapa orang Melayu tidak diberi kepercayaan untuk memikul lebih tanggungjawab ?

Apabila Zaman Kemelesetan berlaku pada tahun 1929, pihak British memberhentikan ramai pekerja, Dato Abdullah memberi amaran kepada British, jangan sentuh pekerja Melayu. Dari cadangan tersebut pendatang asing harus dibuang kerja terlebih dahulu, dia pada ketika itu, tidak begitu disukai oleh pendatang Cina dan pendatang India.

Dato Undang Rembau adalah orang yang berani, lantang dalam tahun 1920an dan 1930an, ketika tiada siapa yang berani bersuara terhadap orang Inggeris.

Dato Undang Rembau akhirnya dikeluarkan daripada Majlis oleh pihak British atas alasan beliau menderita penyakit saraf. British akhirnya berjaya membuang duri dalam daging mereka.

Dato Abdullah juga adalah merupakan salah seorang daripada empat orang pembesar Melayu yang menubuhkan Rejimen Askar Melayu DiRaja.

************************************************
Rujukan :

A Share of the Harvest
Kinship, Property, and Social History among the Malays of Rembau
Michael Gates Peletz
UNIVERSITY OF CALIFORNIA PRESS
http://content.cdlib.org/view?docId=ft6m3nb481&chunk.id=d0e1991

Malay Nationalism Before UMNO
http://www.malaysia-today.net/books/2005/12/16-early-politics-nationalists-of-my.htm

http://en.wikipedia.org/wiki/Royal_Malay_Regiment

http://www.4dw.net/royalark/Malaysia/rembau.htm