KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080312

Kesian tengok orang tua pergi mengundi

Pilihanraya Umum ke 12 sudah pun melabuh tirainya. Namun kehangatannya masih dirasakan. Saya tidak ingin mengulas isu politik di sini. Banyak laman web lain dan blog lain yang mengulas isu politik.

Saya hanya sedih dan kesian tengok orang-orang tua yang pergi mengundi baik di bandar mahu pun di kampung. Pada 8 Mac 2008 yang lalu , saya telah berkesempatan untuk meninjau beberapa tempat mengundi di kawasan Parlimen Rembau. Antaranya ialah Balai Raya Kg Senama, Sekolah Kg Batu, Sekolah Bongek, Sekolah Ulu Gadong, Sekolah Kg Perah, Sekolah Sg Layang, Sekolah Undang Rembau, Sekolah Rendah Senawang, Sekolah Menengah Senawang dan Sekolah Rendah Seri Pagi dan Sekolah Menengah Seri Pagi.

Hampir kesemua tempat mengundi tersebut boleh dikatakan tidak mesra untuk pengundi tua dan tidak mesra untuk orang kurang upaya. Laluan dari pintu pagar ke tempat pembuangan undi tidak sesuai untuk menggunakan kerusi roda dengan adanya beberapa anak tangga dan longkang yang tidak bertutup.

Malah kerusi roda dan petugas yang disediakan pun tidak cukup. Saya merasa begitu kasihan meihatkan seorang pakcik tua yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Kg Perah, Kota, N.Sembilan terpaksa dipapah menaiki tangga, selepas itu terpaksa berhenti beberapa kali untuk berehat dan mengambil nafas. Malah kerusi roda di tempat tersebut pun tidak kelihatan, akhirnya seorang petugas parti telah memberi pinjam kerusi roda mereka dari tempat lain.

Hanya satu tempat pembuangan undi sahaja yang saya perhatikan agak selesa untuk pengundi tua dan orang kurang upaya iaitu di Balai Raya Kg Senama, Rembau. Yang lainnya saya perhatikan para pengundi terpaksa berjalan, dipapah, berkerusi roda sejauh beberapa puluh meter malahan ada yang ratusan meter, menuruni dan menaiki tangga. Sehinggakan ada dikhabarkan ada pengundi yang pengsan apabila menaiki bukit di Sekolah Kebangsaan Senawang di Taman Marida.

Justeru itu adalah disarankan kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia agar mengambil langkah yang perlu untuk mempastikan keselamatan dan keselesaan pengundi tua dan pengundi kurang upaya untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Kepada mereka yang beria-ia hendak membawa pengundi-pengundi tua dan orang kurang upaya ini untuk pergi mengundi pastikanlah mempunyai petugas dan peralatan yang cukup agar kita tidak menganiayai orang-orang tua dan orang kurang upaya. Janganlah seronok merayu undi di pondok panas sahaja.