Agak terperanjat dan terkejut saya apabila membaca berita bahawa Kementerian Belia dan Sukan bercadang mewujudkan laman blog sendiri sebagai usaha mendekati dan berinteraksi dengan golongan belia di negara ini (Utusan Malaysia 24 Mac 2008)
Sepengetahuan saya laman blog pada kebiasaannya dikendalikan oleh individu atau kumpulan tertentu disebabkan oleh kekangan kewangan dan perhatian media perdana maka mereka menggunakan laman blog yang kebanyakannya adalah percuma untuk menyampaikan mesej atau tulisan mereka kepada orang ramai.
Kenapa perlu sebuah kementerian yang mempunyai kewangan yang mantap, kakitangan yang lengkap, fasiliti teknologi komunikasi terkini ingin menggunakan laman blog ? Apakah ianya sebahagian daripada langkah-langkah ke arah penjimatan perbelanjaan kementerian tersebut ? Sekiranya ya, maka ianya adalah amat-amat dialu-alukan. Akan tetapi mana akan disalurkan nanti lebihan kakitangan bahagian teknologi maklumat di kementerian berkenaan ?
Bukankah setiap kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan di Malaysia ini sudah ada laman web mereka sendiri ? Sekiranya orang ramai kurang melayari laman web kementerian tersebut maka ianya menunjukkan maklumat yang terdapat pada laman web kementerian berkenaan mungkin tidak dikemaskini dari masa ke semasa atau pun mungkin sistem aduan melalui internet tidak dilayan dengan sewajarnya.
Satu contoh laman web agensi kerajaan yang amat bermanafaat ialah laman web Majlis Perbandaran Seremban di www.mpsns.gov.my . Laman web MPSNS adalah pada pandangan saya dapat memberi faedah kepada penduduk Seremban dan sentiasa dikemaskini. Setiap aduan yang disalurkan melalui e-aduan mendapat respon dalam tempoh 24 jam. Malangnya masih ramai pengguna internet tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan seperti ini.
Kesimpulannya, jika setiap agensi kerajaan dapat mengendalikan dan mengemaskinikan laman web mereka dari masa ke semasa , serta dapat memberi respon yang pantas atas setiap masalah yang diutarakan melalui laman web atau e-mel , mengapa perlu ada laman blog ?
Berikut adalah tafsiran ringkas mengenai laman blog :
Blog merupakan singkatan dari "web log" adalah bentuk aplikasi web yang menyerupai tulisan-tulisan (yang dimuat sebagai “posting”) pada sebuah halaman web umum. Laman web semacam itu biasanya dapat diakses oleh semua pengguna internet sesuai dengan topik dan tujuan dari si pengguna blog tersebut.
Media blog pertama kali dipopularkan oleh Blogger.com, yang dimiliki oleh PyraLab sebelum akhirnya PyraLab diambil alih oleh Google.Com pada akhir tahun 2002 yang lalu. Semenjak itu, banyak terdapat aplikasi-aplikasi yang bersifat sumber terbuka yang diperuntukkan kepada perkembangan para penulis blog tersebut.
Blog mempunyai fungsi yang pelbagai, dari sebuah catatan harian, media publikasi dalam sebuah kempen politik dan sebagainya. Ada blog dikendalikan oleh seorang penulis tunggal, sementara sebahagian lainnya oleh beberapa penulis.
http://id.wikipedia.org/wiki/Blog
http://www.blogdrive.com/blog.html
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0324&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_10.htm&arc=hive