Minggu lepas saya menerima satu panggilan talipon mengatakan satu keluarga di Ampangan , Seremban amat memerlukan bantuan dimana ketua keluarga tersebut telah lebih 10 tahun tidak dapat bekerja kerana masalah tulang belakang selepas kemalangan jalanraya pada 1997.
Hanya petang tadi barulah saya berkesempatan berjumpa dengan keluarga tersebut. Sebelum Asar hujan turun dengan begitu lebat sekali di Seremban. Alhamdulillah selepas Asar dalam perjalanan ke Ampangan hujan telah mula reda.
Saya pun mencarilah rumah keluarga tersebut di No 99, Kg Sekolah , Ampangan. Kawasan perumahan seperti kawasan rumah setinggan atau rumah kongsi agak daif. Kedudukannya betul-betul belakang stesen minyak Petronas di Ampangan berhampiran Sekolah Kebangsaan Ampangan.
Encik Sahreny Abdul Aziz 41 tahun tinggal bersama isterinya Puan Norma binti Mat Lazin 38 tahun dan empat orang anaknya Norhidayah 10 tahun, Noriman Idayu 6 tahun, Saniza Adila 4 tahun dan Mohd Shanor 1 tahun dirumah yang agak daif, sempit dan serba kekurangan.
Encik Sahreny mengalami Bengkok Tulang Belakang (Scoliosis) pada tahun 1997 akibat kemalangan jalan raya. Sejak dari itu beliau tidak dapat bekerja dimana sebelum itu beliau hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Beliau tidak dapat berdiri, berjalan lama dan buat kerja-kerja berat, ada kalanya beliau akan hilang kawalan untuk berjalan.
Pada tahun 2005 beliau pernah memohon untuk mendapatkan bantuan dari Tabung Perubatan Nasional untuk Kos Implan dan Rawatan Susulan yang memerlukan belanja sekitar RM 20,000 dimana hingga ke saat ini belum ada jawapan walaupun pada tahun 2007 beliau ada memohon sekali lagi dengan sokongan dari Hospital Seremban dan wakil rakyat setempat.
Puan Norma sebelum ini menampung perbelanjaan dapur dengan menjual keropok, namun sekarang tidak lagi kerana menjaga suami dan anak-anak disamping persaingan dalam perniagaan kecil pada ketika ini.
Mereka setakat ini telah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk 4 orang anak mereka. Mujur anak-anak mereka Norhidayah Tahun 4 dan Noriman Pra Sekolah di Sekolah Kebangsaan Ampangan mendapat buku teks percuma dan tidak perlu membayar yuran sekolah untuk tahun ini.
Sekali-sekala ada juga mendapat sedikit bantuan dari Baitul Mal tetapi tidak pada kadar yang tetap.
Rumah yang agak daif tadi mereka sewa pada kadar RM 150 sebulan. Dengan keadaan suami yang sentiasa memerlukan rawatan dan tiada pendapatan lain hanya semata-mata mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sekitar RM 300 sebulan memanglah amat memeritkan.
Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah berjumpa terus Encik Sahreny Abdul Aziz dan Puan Norma binti Mat Lazin di No 99, Kg Sekolah, Ampangan, 70400 Seremban atau tel 017-3974701