KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080403

Boikot Belanda, Boikot Britain , Sufiah Yusof ?

Boikot adalah satu cara untuk menunjukkan kekuatan dan kesatuan umat Islam. Tapi kenapa akhir-akhir ini saja, umat Islam memboikot secara selektif bukan kolektif. Apakah umat Islam sengaja diprovokasi untuk memboikot sesuatu negara atau sesuatu produk tanpa kajian dijalankan dengan terperinci apa akibat atau kesan susulan jika boikot tersebut dilakukan ?

Kenapa tiada usaha pemboikotan secara besar-besaran terhadap syarikat atau produk yang menyumbang secara langsung untuk pembangunan Israel ?

Kenapa tiada usaha pemboikotan secara besar-besaran terhadap syarikat yang menyumbang dalam pencerobohan tentera Amerika di Afghanistan dan Iraq ?

Kenapa tiada usaha pemboikotan secara besar-besaran terhadap barangan daripada Britain kerana Salman Rushdie menghina Nabi saw lebih teruk lagi dalam bukunya The Satanic Verses apatah lagi beliau dianugerahkan bintang tertinggi Britain iaitu gelaran “Sir Salman Rushdie”.

Geert Wilders ahli parlimen Belanda menghina Islam melalui filem Fitna. Kenapa yang dihukum syarikat yang tiada kaitan dengan Geert Wilders , melainkan ada bukti yang syarikat tersebut menyokong tindakan Geert Wilders.

Oleh itu umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia ini mestilah bersikap realistik menangani sesuatu isu itu. Bukan tidak boleh boikot, bukan tidak boleh berdemonstrasi, tetapi kajilah dahulu sesuatu isu itu sebelum mengambil tindakan. Berbincanglah dengan semua pihak, para pemimpin, para ulamak, para cendekiawan akan langkah yang terbaik untuk memartabatkan agama Islam di Malaysia dan di seluruh pelusuk alam.

Begitulah juga halnya dengan Sufiah Yusof. Kenapa perlu diperbesarkan cerita ini, seolah-olah hanya satu Sufiah Yusof yang perlu diselamatkan ? Bukan tidak perlu diselamatkan Sufiah Yusof, ianya perlu. Tapi jangan lupa , di Malaysia ini ramai lagi gadis Melayu yang perlu diselamatkan akidah dan maruah mereka.