Dikala pelbagai pihak melaung-laungkan perjuangan Melayu, hak orang Melayu, membela nasib orang Melayu, tidak banyak pihak yang tampil ke hadapan yang menjalankan usaha untuk membantu golongan Melayu iaitu golongan bumiputera.
Tahniah diucapkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi dan Sosial Bumiputera Melaka yang akan menerbitkan buku Direktori Usahawan Melaka. Rujuk laporan Utusan Malaysia 21 Mei 2008 Utusan
Sememangnya direktori sebegini sepatutnya sudah lama ada di setiap negeri. Malah usaha mengadakan direktori ini bukan hanya setakat dibukukan dan diedarkan , ianya sepatutnya dimasukkan didalam pekhidmatan internet secara percuma juga.
Pelbagai pihak sepatutnya terlibat dalam menerbitkan direktori ini, barulah nasib usahawan bumiputera akan terbela. Pihak Majlis Agama Islam Negeri, pihak Dewan Perniagaan Melayu, Persatuan Pengguna Islam, MARA dan pelbagai agensi lain, individu, swasta sepatutnya terlibat untuk menerbitkan direktori ini.
Pernah beberapa tahun lalu pihak Pusat Zakat Negeri Sembilan menerbitkan direktori usahawan bumiputera yang meliputi setiap bidang perniagaan dari makanan, takaful, pakaian, bengkel kereta, kedai jahit dan sebagainya. Namun sekarang usaha tersebut telah terhenti sejak sekian lama.
Sekiranya direktori usahawan bumiputera ini dapat dibukukan dan diedarkan serta diwujudkan secara maya adalah mudah pengguna dan pembeli berinteraksi dan mendapatkan perkhidmatan yang terbaik. Mana hendak cari kedai jahit baju melayu di Ampangan ? Mana hendak cari kedai kek Melayu di Tampin ? Mana hendak cari bengkel kereta Melayu di Bahau ? Mana nak cari kedai aksesori kereta Melayu di Rembau dan sebagainya ? Semua ini tidak dapat dicari sekarang ini baik secara “online” apatah lagi secara konvensional.
Semoga semua pihak yang melaung-laungkan agenda Melayu di Malaysia dan Negeri Sembilan khususnya , memikir dan bertindak secara serius untuk membela nasib usahawan dan pengguna Melayu.