Tidak dapat dinafikan teknologi maklumat melalui internet mencorak senario politik di negara ini. Internet juga boleh mencorak budaya masyarakat di negara ini. Masyarakat dewasa ini dilanda dengan pelbagai penyakit masyarakat antaranya gejala sosial, penagihan dadah, konflik rumahtangga, gejala akidah dan sebagainya.
Internet juga digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan, tipu daya dan sebagainya. Yang kerap menjadi mangsa adalah golongan yang lemah dan mudah terpdaya terutamanya para remaja dan golongan wanita.
Tidak dapat dinafikan pihak Jabatan Agama Islam serta Majlis Agama Islam telah pun mempunyai khidmat kaunseling secara konvensional. Akan tetapi dengan perkembangan teknologi terkini serta cabaran masa kini yang menyebabkan ramai para remaja hanyut dengan kelekaan dan kealpaan, tidak dapat tidak, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Majlis Agama Islam Negeri serta Jabatan Agama Islam Negeri haruslah mengambil inisiatif untuk mengadakan perkhidmatan kaunseling maya “online” secara percuma.
Pekhidmatan kaunseling maya ini adalah penting kerana budaya masa kini kita dapati golongan remaja kurang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat dari para ustaz dan ustazah di masjid, surau atau pejabat agama. Mereka lebih gemar mendapatkan khidmat nasihat dari kawan-kawan mereka secara “online” melalui “chatting”, e-mel dan sebagainya.
JAKIM, Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam tidak seharusnya menumpukan usaha dakwah dan khidmat nasihat di masjid semata-mata. Mereka haruslah keluar dari kepompong pendekatan yang konvensional dengan mengikuti perkembangan teknologi masa kini, demi untuk menyelamatkan generasi umat Islam ketika ini yang hanyut dibawa arus pemodenan, hedonisma, hiburan melampau, pergaulan bebas dan sebagainya.
Apa yang menyedihkan terdapat laman web Jabatan Agama Islam yang tidak dikemaskini dari masa ke semasa seperti laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan http://www.ns.gov.my/jabatan/jheins/ . Ini menunjukkan agensi kerajaan yang berkaitan untuk menjaga kepentingan umat Islam di negara ini tidak begitu bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan umat Islam.
JAKIM dibawah kepimpinan menteri yang baru iaitu Dato Ahmad Zahid Hamidi haruslah mengorak langkah untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan untuk kepentingan umat Islam agar umat Islam di Malaysia ini dapat dijadikan contoh kepada penganut agama lain di negara ini secara khusus dan dunia secara amnya.