KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080603

Aku dan YB , salah faham fungsi rakyat dan wakil rakyat

Satu Sabtu, YB menalipon aku. Katanya ada seorang penduduk di taman ABC (bukan nama taman sebenar di pinggir bandar Seremban) iaitu Encik Chong (bukan nama sebenar) mengadu padanya memerlukan bantuan untuk dipasang lampu jalan. YB kata dia ada mesyuarat pagi itu, dia meminta aku berjumpa dengan Encik Chong untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kebetulan hari Sabtu memang hari cuti ku. Dan pagi itu tiada jadual khusus. Tepat jam 8 pagi aku berjumpa dengan Encik Chong. Encik Chong bersama isterinya dan bapanya ku temui di perkarangan rumah di kawasan taman perumahan rumah teres setingkat.

Ku kata aku ni kawan YB (kawan tak bergaji , berserta beberapa kawan lain YB yang membantu YB secara sukarela , maklumlah elaun pusat khidmat masyarakat di N.Sembilan sudah ditarik balik) , YB tak dapat datang sebab ada urusan lain. Dengan pen dan buku nota aku pun mulalah mencatat butiran peribadi dan aduan beliau. Dia kata jalan depan rumahnya pada waktu malam amat gelap kerana tiada langsung lampu jalan di sepanjang jalan depan rumahnya. Disebabkan jalan yang gelap pada waktu malam terdapat beberapa kejadian ragut dan wanita yang berjalan di kawasan tersebut sering diganggu. Tambah beliau wakil rakyat yang sebelum ini sudah dua penggal dan dua kali beliau minta diadakan lampu jalan namun tidak juga dapat dipasang lampu jalan.

Lalu aku catitlah nombor tiang elektrik di jalan tersebut, ada empat tiang semuanya. Aku kata pada Encik Chong, kita akan cuba buat permohonan.

Aku pun buatlah permohonan kepada pihak yang berwajib dengan menggunakan nama Encik Chong dan tidak melibatkan nama YB. Pada fikiran dan pertimbangan ku , perkara sebegini sepatutnya penduduk setempat ada hak untuk menyatakan aduan mereka terus kepada pihak yang berwajib tanpa perlu merujuk kepada wakil rakyat.

Selang beberapa minggu aku mendapat maklumbalas bertulis dari pihak yang berwajib bahawa mereka akan memasang bukan sahaja satu lampu jalan, bahkan empat lampu jalan. Selang beberapa minggu kemudian aku dapati jalan tersebut umpama pesta sudah terang benderang ( Gambar sebenar di jalan depan rumah Encik Chong di sini ).

Baru-baru ini aku berjumpa pula dengan Encik Hamdan (juga bukan nama sebenar) yang tinggal di taman yang sama dengan Encik Chong mengadu bahawa jalan di hadapan rumahnya pun amat gelap pada waktu malam kerana tiada lampu jalan. Kes kecurian motosikal dan pecah rumah telah menjadi lumrah di jalan beliau. Perkara ini pernah persatuan penduduk setempat ajukan kepada Ahli Parlimen penggal yang lalu (penggal sekarang belum lagi kerana Ahli Parlimen yang baru). Jawapan Ahli Parlimen penggal yang lalu itu amat mengecewakan, kata Ahli Parlimen tersebut ialah kalau pasang lampu jalan nanti terang sangat , susah nanti orang di jalan tersebut nak tidur.

Aku berkata pada Encik Hamdan , mintalah pengerusi tamannya membuat permohonan terus pada pihak yang berwajib, dan aku berilah cara-caranya bagaimana untuk membuat permohonan tersebut. Samada ianya diluluskan atau tidak permohonan tersebut sudah pasti ianya akan dimaklumkan. Kalau tidak diluluskan barulah dicuba saluran lain pula samada melalui wakil rakyat, pihak media dan sebagainya. Bukannya aku tidak boleh membantu Encik Hamdan membuat permohonan tersebut secara langsung , tetapi biarlah beliau belajar cara berurusan dengan pihak berwajib.

Inilah salah faham masyarakat , rakyat dan wakil rakyat akan fungsi tugas mereka. Justeru itu tidak hairanlah kita dapati pelbagai permasalahan remeh temeh masyarakat didedahkan dalam media sedangkan ianya boleh diselesaikan dengan cara yang lebih baik. Apakah segala aduan dan masalah masyarakat perlu mendapat kelulusan wakil rakyat, perlu diajukan kepada wakil rakyat ? Apakah tugas wakil rakyat sekadar merasmikan majlis, membuat pecah tanah, meluluskan permohonan perumahan rakyat dan sebagainya ?

Aku amat terperanjat apabila dibaca buku laporan Dewan Undangan Negeri Sembilan penggal pertama 2008 ada wakil rakyat yang membuat permohonan memasang lampu jalan di kawasannya, sedangkan memasang lampu jalan boleh dipohon terus kepada pihak yang berwajib, tak perlu tunggu sehingga sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang (beberapa bulan lagi?), melainkan jika ianya menelan kos yang tinggi seperti menggunakan teknologi solar.

Nampaknya bukan rakyat sahaja yang keliru dengan fungsi wakil rakyat, bahkan wakil rakyat sendiri keliru dengan fungsi wakil rakyat. Cuba kita buat carian dalam internet mengenai fungsi wakil rakyat, setakat apa yang ku ketahui tiada kerajaan negeri yang menyenaraikan secara khusus fungsi dan tanggungjawab wakil rakyat serta peranan rakyat untuk membangunkan kawasan setempat.

Menjelang 100 hari YB di kawasan ku memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat banyak ku dapati aduan remeh temeh yang diajukan kepada YB. Walaupun hampir ke semua aduan tersebut remeh temeh, YB tetap menerima semua aduan tersebut dan disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Dari masalah longkang tersumbat, tanah runtuh, monyet berkeliaran, rumput tepi jalan panjang, tiang talipon yang nak tumbang , permohonan bantuan Baitul Mal, permohonan bantuan Jabatan Kebajikan dan banyak lagi. Malah terdapat beberapa individu dari kawasan Dewan Undangan Negeri yang lain datang mengadu ke YB tempat ku untuk mendapatkan bantuan dan tandatangan tetap dilayan juga oleh YB ku.

Kebanyakkan permasalahan yang diajukan tersebut kebanyakannya sepatutnya dapat diselesaikan oleh Pengerusi JKKK, Pengerusi Taman dan Surau, Ketua-Ketua Cawangan samada dari parti yang memerintah atau parti pembangkang malah individu sendiri di tempat tersebut.

Sekiranya peranan rakyat, wakil rakyat dan agensi kerajaan yang berkaitan dapat difahami oleh semua pihak akan pasti lebih banyak masalah remeh temeh dan permasalahan setempat dapat diselesaikan. Dengan ini wakil-wakil rakyat akan lebih memberikan tumpuan kepada permasalahan setempat yang lebih kritikal seperti masalah pengangguran , masalah penagihan dadah , gejala sosial para remaja , masalah perumahan terbengkalai , permasalahan yang terlepas pandang oleh Pengerusi JKKK/Taman/Ketua Kampung dan sebagainya.

Begitu juga peranan mereka yang bersahabat atau rapat dengan YB, sepatutnya membantu YB untuk memperkemaskan lagi hubungan antara wakil rakyat dan rakyat untuk menyelesaikan masalah setempat. Mereka yang bersahabat atau rapat dengan YB ini sepatutnya tidak memikirkan peluang untuk mendapatkan projek , mendapatkan tanah , mendapatkan balak , mendapatkan perumahan rakyat dan lain-lain ganjaran. Boleh bercita-cita dan mengidamkan ganjaran yang lebih besar dan utama , iaitu ganjaran pahala dan syurga ALLAH swt kerana melakukan ini kerana ALLAH , bak kata-kata Ahli Unit Amal – Beramal Kerana ALLAH.

Fungsi dan wakil rakyat menurut Blog RHI Rembau_Hari_Ini