KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080603

Kurangkan Kompaun Untuk Kurangkan Rasuah

Tanyalah kepada pemberi dan penerima rasuah adakah mereka suka dengan perbuatan rasuah ? Adakah mereka yakin bahawa rasuah dapat memberi kebahagian kekal abadi buat selama-lamanya ? Adakah mereka yakin rasuah akan menyelesaikan masalah kewangan mereka ?

Mereka yang melakukan rasuah tidak akan melakukan rasuah sekiranya pada ketika mereka mengamalkan rasuah mereka berada dalam keadaan yang sempurna imannya.

Tanyalah kepada penjenayah sekali pun, mereka pun kalau boleh tidak ingin mengamalkan rasuah. Tetapi kenapa rasuah masih menjadi bicara masa kini. Dan kenapa sesetengah agensi kerajaan sahaja yang dikaitkan dengan rasuah sedangkan rakyat biasa pun boleh terlibat dengan amalan rasuah ?

Kenapa tidak rakyat biasa boleh menjadi pemangkin kepada amalan rasuah ? Katakan seorang rakyat biasa ditahan oleh seorang penguatkuasa kerana memandu tanpa lesen memandu ? Berapakah kadar kompaunnya atau kadar dendanya ? Mungkin RM 100, mungkin RM 200 atau mungkin RM 300 ? Sebagai rakyat biasa yang mungkin berpendapatan RM 900 sebulan kalau kadar kompaunnya RM 300 ianya satu pertiga daripada gajinya. Kalau rakyat biasa tadi berfikiran pendek RM 50 sudah pasti jauh lebih murah daripada RM 300. RM 50 boleh dibayar secara terus, RM 300 perlu dibayar di pejabat penguatkuasa yang mungkin di tengah bandar, sedangkan rakyat biasa tadi duduk di pedalaman desa atau pinggir bandar.

Sebagai rakyat biasa yang berfikiran mudah, lebih baik dipujuk sahaja penguatkuasa tadi supaya menerima RM 50 daripada dikenakan denda RM 300. Sekali pujuk mungkin tak berjaya, tetapi kalau dah lebih 10 orang rakyat biasa penguatkuasa tadi temui mahu tak mahu ada juga yang nak tak hendak diterimanya juga RM 50 tadi atau dilepaskan rakyat biasa tadi begitu sahaja. Dan mungkin ada yang tidak terlepas kerana mungkin setiap penguatkuasa ada kuotanya berapa saman perlu dikeluarkan dalam sehari, dalam seminggu dalam sebulan ?

Apa kata kadar saman tadi dikurang , mungkin setiap kesalahan dari RM 10 paling minima dan RM 50 ke paling maksima ? Dan rakyat diberi pilihan pula sekiranya membayar terus pada masa tersebut tidak akan dikenakan bayaran tambahan RM 10 ? Contohnya anda ditahan kerana tidak memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu kereta. Mungkin kadar samannya RM 20 , kalau anda bayar terus anda hanya perlu membayar RM 20 beserta dengan resit rasmi (bukan rasuah). Tetapi jika sekiranya anda pilih untuk membayar di ibu pejabat penguatkuasa anda akan dikenakan bayaran tambahan RM 10 menjadikan jumlahnya RM 30. Rasionalnya bayaran tambahan tersebut ialah untuk menggalakkan orang ramai membayar terus ketika disaman, membayar kemudian nak tak nak anda akan tetap membayar tambahan RM 10 atau mungkin lebih, kerana anda mungkin terpaksa mengambil cuti, duit minyak untuk ke tempat membayar saman, duit tempat letak kereta dan sebagainya.

Kalau saman dikurangkan , macam tu lebih senanglah orang akan melakukan kesalahan, terutamanya mereka yang banyak duit ? Tidak , bayaran kompuan minima ini mungkin untuk kesalahan pertama, ianya boleh dinaikkan untuk kesalahan kedua, ketiga dan seterusnya.

Haruslah diingatkan kompaun , saman atau denda tidak sepatutnya dijadikan sumber pendapatan sesebuah agensi kerajaan. Mendenda, mengkompaun, menyaman adalah merupakan satu cara terakhir untuk mendidik rakyat agar mematuhi peraturan serta undang-undang andaikata pendekatan berhemah seperti kempen, nasihat, pendidikan formal tidak dapat membimbing rakyat agar mematuhi peraturan dan undang-undang di negara ini.

Suasana , sistem perundangan , cara kerja , prosedur jabatan dan sebagainya secara tidak langsung di sini menyumbang kepada amalan rasuah di negara ini. Justeru itu ianya haruslah dikaji dari masa ke semasa agar ianya lebih mudah serta lebih telus untuk mengurangkan amalan rasuah di negara ini yang boleh dianggap penyakit sosial utama atau mungkin barah utama di negara ini.

Disamping itu usaha untuk memperkukuhkan iman umat Islam di negara ini bukan sahaja di kalangan pihak berkuasa bahkan rakyat jelata juga harus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mengubat penyakit ini dari menjadi epidemik yang tidak terkawal.